suria

Azharina kahwin diam-diam lagi?

Nina nafi dikatakan telah berkahwin lagi dengan seorang Datuk - foto THE STAR oleh VICTOR NG
Nina nafi dikatakan telah berkahwin lagi dengan seorang Datuk - foto THE STAR oleh VICTOR NG
Nina nafi dikatakan telah berkahwin lagi dengan seorang Datuk - foto THE STAR oleh VICTOR NG

PENYANYI ini pernah 'dikecam' ramai gara-gara perkahwinan secara diam-diam dengan usahawan Datuk Shukri Mohamed kira-kira tiga tahun lalu.

Hanya setelah berita perceraiannya pada awal Februari tahun lalu berjaya dihidu banyak pihak, barulah Azharina membuka mulut menceritakan tentang rumahtangga yang dibina dan bertahan selama tiga tahun itu.

Namun, baru setahun lebih penyanyi kelahiran Kota Kinabalu Sabah ini menutup kisah duka itu, Azharina yang mesra dengan panggilan Nina ini dikatakan telah pun berkahwin lagi dengan seorang lelaki yang juga berpangkat Datuk dan turut berasal dari Kelantan, sama seperti bekas suaminya dulu.

Diajukan pertanyaan tentang perkara itu, Nina dalam reaksi terkejut akui tidak menyangka kisah seperti itu sekali lagi kembali menyelubungi dirinya.

"Kekasih pun saya tak ada buat masa ini, jadi macam mana pula saya boleh kahwin? Saya sebenarnya pelik bagaimana cerita seperti ini boleh timbul.

"Macam-macam sebenarnya orang bercakap tentang saya...ada yang kata saya sudah berkahwin dengan jejaka Filipina lah, sudah bertunang lah...banyak betul ceritanya.

"Saya bukan milik mana-mana lelaki sekarang ini. Apatah lagi dengan jadual kerja saya yang cukup padat, saya tidak ada masa untuk fikir tentang perkara seperti ini. Henti-hentikanlah membuat cerita seperti ini," kata Nina yang ditemui pada acara Minggu Setiausaha di Hotel Istana, semalam.

Ketika ini, ujar Nina, dia lebih senang memikirkan tentang karier saja serta pada masa yang sama memberikan tumpuan terhadap syarikat miliknya, Top 3 Production Sdn Bhd dan Azharina Entertainment.

"Adakalanya agak tertekan jika memikirkan tentang perkara ini. Saya juga manusia biasa yang ada hati dan perasaan. Sebab itu saya lebih selesa fokus kepada kerjaya saja ketika ini.

"Insya-Allah, saya juga ada perancangan untuk mengerjakan umrah pada tahun ini. Saya ingin berubah...ingin berubah dalam banyak perkara.

"Rasanya, sekarang ini pun saya semakin banyak berubah. Dulu saya sangat lantang bersuara tentang apa saja, tetapi sekarang saya sudah 'tone down'," kata Nina yang akan memasarkan single Rawan di Indonesia di Indonesia tidak lama lagi.

Namun, ditanya sama ada dia akan tetap 'menyembunyikan' perkahwinannya kelak andai kata sudah menemui pengganti, tutur penyanyi yang pernah popular dengan lagu Elergi Sepi ini, dia tidak mampu menolak perkara itu seandainya itu adalah permintaan bakal suaminya itu nanti.

"Saya tidak tahu apa yang akan berlaku pada masa akan datang. Tetapi andai kata lelaki itu nanti sama seperti bekas suami saya yang mahukan cerita tentang perkahwinan kami tidak diketahui oleh orang ramai, saya kena hormati keputusan itu kerana dia adalah suami saya.

"Bukan ingin sengaja merahsiakan. Malah, saya sendiri kalau boleh ingin orang tahu tentang perkahwinan saya. Tetapi sebagai isteri, saya perlu patuh dengan kata suami," kata Nina dalam nada tegas.

Dalam perkembangan lain, Nina yang beraksi pada Minggu Setiausaha anjuran Lord's Tailor dan Hotel Istana semalam telah mempersembahkan single terbarunya, Rasa yang kini sudah pun mula diputarkan di stesen-stesen radio.

Lagu tersebut akan turut dimuatkan di dalam album terbaru Nina yang dijangka akan berada di pasaran sekitar bulan Julai depan.

Selain Rasa, lagu Rawan juga akan dimuatkan di dalam album itu serta beberapa buah lagu lain seperti Hey Lelaki yang menampilkan Mimi One Nation Emcees dan sebuah lagu 'cover version' dendangan Allahyarham P.Ramlee iaitu Gitar Berbunyi.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain