Aizat akan bertanding bagi dua kategori iaitu Lagu Kita untuk kategori Lagu Terbaik manakala lagu Hanya Kau Yang Mampu untuk kategori Persembahan Terbaik di pertandingan muzik pop antarabangsa di Varna, Bulgaria. -foto The Star oleh NORAFIFI EHSAN BERITA tentang selesema babi (H1N1) yang melanda Mexico dan kini menular ke Eropah sejak akhir-akhir ini menarik perhatian penyanyi kelahiran Akademi Fantasia musim ke-5, Muhammad Aizat Amdan atau Aizat, 20.Ini kerana penyanyi muda ini akan ke Bulgaria di benua Eropah di mana kawasan tersebut sedang meningkatkan pemeriksaan kesihatan di lapangan terbang dan sempadan. Nama Aizat terpilih untuk menyertai pertandingan muzik pop antarabangsa di Varna, Bulgaria iaitu 18th International Pop Music Festival Discovery 2009 pada 9 dan 10 Mei ini.Festival ‘Discovery’ ini telah diadakan setiap tahun semenjak 1992 di Varna, Bulgaria.Menurut Aizat, dia akan melakukan persediaan kesihatan sebagai langkah berjaga-jaga sebelum bertolak ke Bulgaria pada 6 Mei depan.“Apa yang saya tahu setakat ini wabak selesema babi ini berasal dari Mexico dan harap-harap penyakit ini tidak merebak ke Bulgaria.“Bagaimanapun saya akan melakukan pemeriksaan doktor dahulu sebelum ke sana,” kata Aizat.Ketika sidang media di Restoran Bora Ombak, Ampang, semalam, Aizat berada dalam keadaan tidak sihat selepas pulang dari Konsert Jom Heboh di Lumut, Perak.“Saya akan menjaga kesihatan dengan baik sebelum pergi dan meminta pandangan doktor tentang persediaan untuk ke sana bagi mengelakkan terkena jangkitan tersebut.“Tetapi saya redha jika ditakdirkan keadaan tidak mengizinkan saya untuk ke sana,” luah penyanyi popular dengan lagu Hanya Kau Mampu dan Lagu Kita ini.Aizat terpilih ke Bulgaria selepas pihak penganjur rasmi di Malaysia iaitu Nellomar Productions Sdn. Bhd. mencalonkan nama Aizat dan beberapa penyanyi tempatan lain kepada pihak Discoveryfest, Varna, Bulgaria.Di sana, mereka telah memilih Aizat menerusi peringkat saringan di mana mereka menilai penyanyi-penyanyi ini menggunakan CD dan kaset yang dihantar.“Mereka memilih Aizat berdasarkan kriteria yang dia ada iaitu bukan sahaja boleh menyanyi malah boleh bermain alat muzik dan menggubah lagu dan mencipta lirik.“Penyanyi lain yang turut dicalonkan bersama Aizat tidak semestinya perlu pandai serba-serbi seperti Aizat.“Bagaimanapun, kami memilih berdasarkan kriteria yang ‘kuat’ dan Aizat dilihat mempunyai kelebihan di situ.“Aizat akan bertanding dengan 19 peserta dari 14 buah negara lain di mana ada antara mereka yang menyanyi dari kecil. Jadi, kami lihat Aizat ada potensi dan riang,” jelas Pengerusi Nellomar Productions Sdn. Bhd., Fauziah Rauf.Pada tahun lalu, penyanyi kecil molek Mila AF5 telah menyertai pertandingan ini dan berjaya meraih kemenangan bagi kategori Lagu Terbaik, Artis Muda Berbakat dan ‘Miss Tourism Bulgaria Award’.Kali ini, Aizat akan bertanding bagi dua kategori iaitu Lagu Kita untuk kategori Lagu Terbaik manakala lagu Hanya Kau Yang Mampu untuk kategori Persembahan Terbaik.Menurut Aizat, sebolehnya dia ingin menonjolkan dirinya dalam imej seorang penulis lirik dan komposer kepada orang di Bulgaria.“Jadi, sebab itu saya berani memilih Lagu Kita agar juri dapat memilih lagu bermakna yang saya ciptakan sendiri. Lagipun saya rasa Lagu Kita merupakan lagu yang paling jujur bagi diri saya.“Sementara lagu Hanya Kau Yang Mampu juga dipilih selepas saya berbincang dengan keluarga kerana sebolehnya saya inginkan lagu yang dicipta sendiri.“Saya yakin 100 peratus untuk menyertai pertandingan ini kerana menganggap seolah-olah ia bukan sebuah pertandingan tetapi lebih kepada mempromosikan Malaysia dan budaya kita.“Saya juga merasa seronok untuk berjumpa dengan kenalan baru di sana dan ini adalah rezeki yang baik iaitu mengenengahkan bakat orang Islam ke luar negara.“Saya sukakan cabaran baru yang belum pernah saya lakukan dan sungguh gembira dengan penyertaan ini. Saya harap dapat jadi juara keseluruhan,” luah Aizat dalam nada ceria.Menyentuh tentang cara mempromosikan Malaysia dan budaya kita, menurut Aizat dia akan membawa majalah, muzik seperti CD dan makanan dari Malaysia ke sana selain memperagakan baju batik dan menghadiahkan kain batik kepada orang di sana.Menurut Timbalan Pemasaran Promosi Kraftangan Malaysia, Ibrahim Ismail, sebanyak 30 helai kain batik dan sehelai baju kemeja batik diberikan kepada Aizat untuk dibawa ke Bulgaria.Aizat akan menyarungkan baju kemeja batik ketika melakukan salah sebuah persembahannya di pertandingan itu nanti.Selain itu, Aizat memikirkan langkahnya ke Bulgaria sebagai satu cara untuk memasarkan muzik dan albumnya di sana.Ditanya tentang persediaan, latihan dan perancangan untuk persembahan di sana, Aizat berkata, “Saya hanya membuat latihan nyanyian dengan menggunakan komposisi yang sama, menjaga vokal dan kesihatan.“Saya akan membuat persembahan di sana sambil bermain gitar dan selebihnya turut diiringi oleh muzik lain,” ulasnya.Selama lima hari berada di sana, Aizat turut akan ditemuramah oleh pihak media tempatan di sana.Selain menerima ucapan tahniah oleh keluarga dan rakan-rakannya yang lain, Aizat turut menerima ucapan tahniah oleh kawan karibnya, aktres Liyana Jasmay selepas mendapat berita dia terpilih ke Varna, Bulgaria.“Saya dan dia hanya kawan dan kami bekerja secara profesional. Kalau orang kata saya dan dia bercinta, itu tidak benar.“Mungkin kerana secara kebetulan, kami dilihat selalu bersama. Jadi sebab itu orang kata kami bercinta."Saya juga tidak pernah memanggil Liyana dengan gelaran 'babe' dan 'sayang'."Yang bestnya tentang Liyana, dia merupakan seorang yang bekerja keras," jawabnya.