Perjalanan hidup dan suka duka Jamal Abdillah akan dipaparkan menerusi konsert muzikal Jamal...Kembara SenimanTIGA puluh tahun mengharungi hidup sebagai anak seni telah membuatkan penyanyi tersohor ini sudah cukup 'masak' dengan industri hiburan ini. Dalam tempoh itu, banyak yang telah dipelajari dan dilalui oleh penghibur terkemuka, Jamal Abdillah.Pengalaman manis, pahit, episod hitam dan melalui zaman 'kejatuhan' - semuanya telah dirasai oleh Jamal. Namun, 'aura' penyanyi ini tidak pernah padam meskipun dilanda pelbagai kontroversi. Jamal nampaknya cukup bertuah kerana satu demi satu 'kesilapan' yang pernah dilakukannya sering 'dimaafkan' peminat dan masyarakat yang masih mahu menyaksikan dirinya di persada hiburan ini.Kini, penyanyi yang baru menyambut hari lahirnya yang ke-50 semalam, tidak mahu lagi menoleh ke belakang. Menyedari apa yang dilakukannya selama ini telah mengecewakan banyak pihak, Jamal bangkit semula dan muncul dengan album terbarunya, Tak Hilang Cinta, yang telah mula berada di pasaran sejak April lalu.Bukan itu saja, bagi menghargai sokongan peminat selama ini, sebuah konsert muzikal, 'Jamal...Kembara Seniman' akan dianjurkan oleh syarikatnya, Bintang Channel bersama Istana Budaya (IB) bagi memaparkan perjalanan seni Jamal selama 30 tahun di dalam bidang ini.Konsert tersebut akan berlangsung selama lima hari bermula 5 hingga 9 Ogos di Panggung Sari, IB."Kepada peminat saya yang mungkin malu meminati Jamal yang dulu, kini saya kembali dengan Jamal yang 'baru'. Janganlah malu jadi peminat saya lagi. Saya faham, saya juga meminati artis lain dan pernah minat artis yang kontroversi."Adakalanya saya malu nak mengaku saya adalah peminat artis tersebut. Dan sudah tentu orang lain juga akan merasakan perkara yang sama bila meminati saya dulu."Hanya menerusi album terbaru dan konsert inilah saya dapat membalas semula sokongan peminat terhadap saya selama ini," kata Jamal pada sidang media pengumuman konsert tersebut, di IB, semalam.Turut hadir pada sidang media itu ialah Ketua Pengarah Istana Budaya, Mohamed Juhari Shaarani dan Pengarah Persembahan, Azman Azhar.Menariknya, konsert muzikal ini akan diolah dengan penceritaan atau lakonan mengikut segmen tertentu dan diselitkan dengan lagu-lagu popularnya mengikut penceritaan tersebut yang mana Jamal bukan saja akan menyanyi, malah turut melakonkan semula perjalanan hidupnya itu."Sebenarnya idea ini saya cuba utarakan kepada Juhari dan tak sangka pula dia berminat dan merasakan ini satu idea yang baru untuk diketengahkan di IB."Saya cadangkan konsert ini berlangsung selama tiga hari, tapi pihak IB ingin memanjangkan sehingga lima hari. Dan disebabkan itu saya perlu buat persiapan yang lebih terperinci kerana mungkin setiap malam saya akan buat sedikit kelainan dari segi lagu."Apa yang pasti, konsert ini cukup berbeza dengan konsert-konsert yang pernah saya buat sebelum ini," katanya.Mengulas lanjut mengenai konsert muzikal itu, kata Jamal, setakat ini lima segmen akan ditampilkan di dalam konsert tersebut yang merangkumi kisah suka dukanya sejak lahir dan sehingga dia menceburi bidang seni."Bukan semua kehidupan 'hitam' saya akan dipaparkan. Saya akan tampilkan penceritaan yang orang tidak pernah tahu tentang Jamal Abdillah. Sebagai contoh, bila segmen itu adalah tentang kesedihan, saya akan paparkan bagaimana bila berdepan dengan peminat, saya nampak gembira tetapi bila di belakang pentas, saya berasa cukup sunyi."Ketika saya lahir dulu, arwah ayah saya selalu cakap saya sering menangis. Tetapi bila dengar lagu, pasti saya akan berhenti menangis. Kemudian ayah saya bawa saya berjumpa seseorang dan orang itu meramalkan saya akan menjadi seorang yang masyhur satu hari nanti. Benda-benda macam inilah yang saya akan kongsi bersama penonton," kata Jamal.Menurutnya lagi, banyak lagi kisah 'disebalik' tabir dirinya akan 'didedahkan', termasuklah pergaduhannya dengan komposer Datuk Ahmad Nawab sebelum ini."Saya akan melakonkan kisah pergaduhan saya dengan Datuk. Malah, Datuk sendiri bersetuju untuk turut berlakon di dalam segmen itu nanti."Saya juga akan menjemput beberapa artis lain untuk segmen-segmen lain seperti Salih Yaacob dan mungkin akan mengundang Ogy Ahmad Daud untuk turut berlakon bagi segmen yang menceritakan tentang penangan filem Azura," ujarnya yang turut mengharapkan tajaan daripada badan-badan korporat untuk memastikan konsert muzikal ini lebih hebat.Antara lagu yang akan dipersembahkan dengan iringan Orkestra Simfoni Kebangsaan di bawah pimpinan Mustafa Fuzer Nawi ini ialah Senandung Semalam, Azura, Sandarkan Pada Kenangan, Seniman Menangis, Jeritan Batin dan Suratan Nasib.Namun begitu, harga tiket bagi menyaksikan persembahan tersebut masih lagi belum ditetapkan oleh penganjur dan akan diumumkan kelak."Saya ingin fokus pada diri sendiri"Semalam, genaplah usia 50 tahun penyanyi ini. Akui Jamal, dia sendiri pada awalnya tidak mahu menghebahkan tentang tarikh lahirnya itu. Namun, 'kejutan' sambutan hari lahir yang turut dibuat oleh IB untuknya sejurus sidang media semalam memang benar-benar menyentuh hatinya.Ditanya apakah impiannya yang masih belum tercapai setakat ini, Jamal dalam nada perlahan berkata, meskipun masih banyak perkara yang belum dikecapinya, dia tetap bersyukur dengan apa yang dimilik setakat ini."Sepatutnya dalam usia sekarang, saya sudah mampu mencapai kemewahan atau kekayaan. Tapi apa yang saya ada ketika ini sebenarnya lebih bermakna. Saya ingin menjadi manusia yang berguna dan memulakan segalanya semula walaupun mungkin orang kata saya sudah terlambat untuk berbuat demikian."Tetapi saya bersyukur kerana masih mampu bertahan dan diberi penghargaan sehingga hari ini," kata Jamal.Tuturnya, dia kini lebih banyak memikirkan untuk memperbaiki diri dan tidak lagi memandang kepada hal-hal yang lain."Saya hanya ingin fokus terhadap diri sendiri. Cuma saya harap, apa yang telah saya lalui selama ini dapat dijadikan iktibar kepada orang lain. 'Kejatuhan' bukanlah penghalang untuk kembali berjaya."Saya redha dengan apa yang berlaku. Saya berharap, dengan album baru dan konsert muzikal itu nanti dapat menjadi hadiah dan meyakinkan semula kepercayaan peminat terhadap saya," katanya.