suria

Qushairi simpan impian bergelar pemuzik

Qushairi Razali (Budi)
Qushairi Razali (Budi)
Qushairi Razali (Budi)

CITA-CITANYA adalah menjadi pemuzik. Namun, atas ketentuan Ilahi, Budi atau nama sebenarnya, Qushairi Razali menjadi pengacara rancangan Destination Budget terlebih dulu.

Terbaru, dia menjadi pelakon dalam drama bersiri, Blogger Boy. Budi ialah nama watak utama dalam drama tersebut.

"Impian saya adalah menjadi pemuzik... Namun, dapat tawaran pengacaraan terlebih dulu,... dua musim saya menghoskan Destination Budget.

"Cita-cita itu tidak mati, tapi saya simpan buat masa ini," kata Budi sambil menambah Blogger Boy mempunyai dua atau tiga lagu ciptaannya sendiri.

Qushairi, 32, yang ditemui semasa penayangan drama (preview) tersebut untuk media baru-baru ini berkata, antara lagu tersebut ialah Butterfly dan Break Me.

Menurutnya, dia menggunakan komputer untuk mencipta lagu. Katanya lagi, dia akan menilai sejauhmana orang ramai menerima lagu ciptaannya dalam drama yang mempunyai 20 episod tersebut.

"Kalau orang lain suka muzik saya, saya mungkin buat single," tambahnya yang berasal dari Pulau Pinang dan merupakan anak bongsu daripada 4 (empat) adik-beradik.

Qushairi memberitahu, penulis skrip Blogger Boy, Rafidah Abdullah telah mengubah skrip sedikit-sebanyak bagi menonjolkan watak tersebut boleh bermain gitar.

Mengenai lakonan pertamanya itu, Qushairi berkata, dia terkejut kerana mendapati watak Budi mempunyai persamaan sebanyak 40 peratus - selepas membaca skrip drama tersebut.

"Saya pernah menangis, kecewa dan tidak menjangkakan kisah hidup saya dilakonkan semula," ujarnya. Dia mengakui hatinya tersentuh setelah teringat kisah lampu setelah membaca skrip episod 5 dan 6.

Ditanya apakah sifat-sifat sebenarnya yang turut dilakonkan dalam drama tersebut, kata Qushairi, dia merupakan budak lurus, kelakar dan romantis.

"Ya, realitinya, saya memang akan meletakkan cincin dalam agar-agar untuk memberikan kejutan kepada kekasih saya," katanya merujuk kepada satu adegan dalam drama tersebut.

Dalam pada itu, Qushairi mendedahkan, dia kurang bernasib baik dalam soal percintaan sebagaimana watak Budi yang dibawanya.

"Ibu memang ada paksa saya berkahwin. Itu yang menakutkan. Emak memang membebel," katanya berseloroh.

Dia menyasarkan 3 atau 4 tahun lagi untuk mengakhiri zaman bujang kerana buat masa ini, dia ingin memfokus pada kerjayanya terlebih dahulu.

"Falsafah cinta saya ialah tidak payah cari (kerana jodoh ditakdirkan Tuhan). Pun begitu, biarlah teman hidup itu serasi, faham, pandai dan sedap mata memandang," katanya.

Dalam Blogger Boy, Budi meluahkan semua perasaan dalam blog. Bagaimanapun, Qushairi (Budi) hanya mempunyai blog tahun lalu. Blognya beralamat throughchi'seyes.blogspot.

Sementara itu, gadis pilihan Budi dalam drama tersebut iaitu Nina Koh (lakonan Julie Woon) turut pertama kali berlakon dalam drama siri.

Julie berkelulusan ekonomi, pemasaran dan kewangan tetapi kerjayanya berkisar kepada aktres, pengacara dan hos televisyen.

"Saya ialah seorang yang extrovert," akuinya yang turut meminati pemotoran seperti Formula One.

Bagaimana Julie yang jelita itu boleh menceburi bidang lakonan pula? Kata Julie, dia diburu oleh agensi dan apabila membaca skripnya, dia terus merebut peluang tersebut.

"Watak Nina perlu berkomunikasi separuh Bahasa Melayu dan separuh Bahasa Inggeris. Ini amat bersesuaian dengan saya yang lebih fasih berbahasa Melayu berbanding bahasa ibunda, Mandarin atau Kantonis," katanya.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain