suria

Nyanyian Farith Taib tidak jauh beza dengan Afgan?

Farith Taib bakal tampil dengan album Dinamik Cita dan Cinta pada Julai depan. -foto The Star oleh SAMUEL ONG
Farith Taib bakal tampil dengan album Dinamik Cita dan Cinta pada Julai depan. -foto The Star oleh SAMUEL ONG
Farith Taib bakal tampil dengan album Dinamik Cita dan Cinta pada Julai depan. -foto The Star oleh SAMUEL ONG

SENARIO penyanyi baru sekarang mungkin berbeza dengan apa yang dicari oleh penyanyi zaman dahulu. Rata-rata mereka yang baru terjun ke dunia muzik sekarang boleh menyanyi, cuma antara menyedapkan halwa telinga atau sebaliknya.

Setiap kali pencinta muzik menantikan kemunculan pendatang baru dalam industri muzik ini, pasti kelainan yang dicari oleh mereka.

Penyanyi Farith Taib, 28, anak didik penyanyi, penulis lirik dan komposer Hazami sudah lama bersabar untuk memenuhi cita-citanya sejak tiga tahun lalu.

Bagi Farith atau nama sebenarnya Farizzudin Mohamad Taib, dia bersetuju dengan apa yang difikirkan oleh orang lain di mana seseorang artis itu perlu mengikut persepsi orang.

“Saya tahu yang pendengar sekarang lebih suka menghargai lagu dari luar dan mungkin tidak nampak apa yang penyanyi tempatan lakukan.

“Kami di sini juga cuba untuk menyampaikan lagu yang sama hebat seperti penyanyi luar negara.

“Misalnya, lagu-lagu dalam album Afgan tidak jauh beza dengan apa yang saya boleh bawa,” kata Farith yang ditemubual di Menara Star semalam.

Farith memulakan cita-citanya untuk bergelar penyanyi sejak berada di tingkatan lima. Selepas tamat sekolah, dia menyambung pelajaran dalam bidang perniagaan di Kolej PTPL sambil meminta kerja sebagai penyanyi sambilan di kelab malam dan hotel. Namun dia hanya belajar sehingga semester keempat dan belum berkesempatan menyambung pelajarannya itu buat masa ini.

Pada tahun 2004, dia menyertai Malaysian Idol musim pertama dan hanya sempat melangkah ke pusingan ‘wildcard’.

Dari situ, dia mula mengenali Hazami sehinggalah dia menyertai program Mentor pada tahun 2006 dengan bermentorkan Hazami. Namun, dia hanya bertahan sehingga top 12.

Walaupun pernah kecundang, dia tidak serik untuk meneruskan cita-citanya berbekalkan tunjuk ajar daripada Hazami.

“Saya tidak menyesal memilih bidang ini kerana sudah tiga tahun saya menunggu album ini. Saya pernah ‘give up’ sehingga mahu sambung belajar semula.

“Tetapi sekarang saya sudah banyak belajar tentang ‘chord’ dan belajar membuat lagu sendiri untuk dikumpul dalam simpanan sendiri.

“Saya seronok dan ‘enjoy’ membuatnya,” tegas Farith.

Kini, dia sudah boleh meneruskan langkahnya untuk terus maju ke hadapan setelah berjaya menyiapkan album pertama, Dinamik Cita dan Cinta yang bakal diterbitkan pada Julai depan.

Sebanyak 10 buah lagu yang bakal dimuatkan dalam album itu seperti Merindu Cinta, Haruskah, Demi Cinta Indah Ini, Permainan Ini, Syair Puisi Sepi, Akan Setia, Pulang, Bawa Daku Pergi, Tak Ingin Luka dan Cinta Yang Ku Damba.

‘Saya tidak sama dengan Hazami’

Tidak dinafikan yang sesetengah penyanyi dalam industri ini dibayangi oleh penyanyi senior sebelum ini.

Begitu juga dengan cara nyanyian Farith yang didengari seakan-akan sama seperti mentornya, Hazami.

Namun begitu, Farith menafikannya dan merasakan ‘saya tidak sama dengan Hazami.’

Ulasnya, “Tak semestinya mentor dan protege akan mempunyai persamaan kerana sebelum ini ada juga penyanyi yang bukan mentor dan protege tetapi ada persamaan.

“Misalnya, orang pernah kata Hazami menyanyi seperti Anuar Zain dan selepas itu Fazli Zainal pula yang dikatakan mengikut cara nyanyian Hazami.

“Buat permulaan ini, saya ingin orang kenal ‘tone’ suara saya terlebih dahulu. Selepas itu, baru mereka boleh membuat perbandingan antara saya dengan Hazami kerana dia penuh akrobatik tetapi saya bersuara besar.

“Tetapi orang tetap mengatakan saya klon Hazami,” jelasnya.

Erti cita dan cinta

Tajuk album Dinamik Cita dan Cinta yang dipilih olehnya sendiri itu memberikan maksud bermakna untuk Farith.

“Bukan senang untuk saya membuat album ini kerana penuh dengan gelora, kesusahan dan keperitan. Jadi, tajuk album ini iaitu ‘dinamik’ memberikan makna ‘turun naik’ manakala ‘cita dan cinta’ adalah ‘susah senang saya’,” akhirinya.

Bagaikan gementar dengan kemunculan album pertamanya yang akan muncul pada Julai depan, Farith berkata: “Saya takut samada orang akan terima atau tidak lagu-lagu saya. Bagaimanapun, saya kena ‘push’ orang untuk menilai dan mendengar lagu saya.”

Artikel Sebelum

Artikel Lain