suria

Ida berterima kasih kepada peminat, tekad jadi juri

Ida seorang yang ceria dan ‘hiper aktif’. -foto EVAN HWONG
Ida seorang yang ceria dan ‘hiper aktif’. -foto EVAN HWONG
Ida seorang yang ceria dan ‘hiper aktif’. -foto EVAN HWONG

AKTRES yang jatuh tangga sehingga cedera teruk pada tulang belakang, Ida Nerina tekad untuk menjadi juri ‘BMW Shorties 2009’ walaupun dia masih dirawat di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), Kuala Lumpur sekarang.

Menurut pengurusnya, Fizaruddin Harun atau Fizar, dia terpaksa akur dengan keputusan Ida yang nekad untuk menjadi juri pertandingan filem pendek itu.

“Pada mulanya memang saya beritahu yang Ida akan menarik diri untuk menjadi juri pertandingan itu kerana dia baru lepas pembedahan.

“Tetapi, selang dua hari selepas itu, Ida memberitahu saya yang dia tetap mahu menjadi juri kerana bosan duduk di hospital.

“Ida akan melakukan kerja penjurian di hospital. Ida hanya perlu menonton video filem pendek itu dan memberikan markah.

“Lagipun semalam dia dah ‘ok’,” kata Fizar ketika dihubungi tadi.

Fizar berkata, Ida telah melibatkan diri sebagai salah seorang juri pertandingan anjuran BMW itu sejak Mei lalu.

Fizar menambah, Ida kelihatan bersemangat untuk melakukan kerja itu memandangkan dia merupakan seorang yang ‘hiper aktif’.

“Kadangkala, dia merengek hendak keluar kerana bosan tetapi doktor nasihatkan dia untuk berehat sehingga pulih.

“Dia sedang pulih dengan perlahan selepas pembedahan dan sedang mendapat pemerhatian para doktor.

”Sehingga kini, kita belum tahu bila dia akan ‘discharge’ kerana doktor belum cakap apa-apa lagi,” ulas Fizar yang turut mengirimkan emel tentang berita ini.

Dalam emel itu, Fizar turut menyelitkan rakaman suara Ida yang mengucapkan terima kasih kepada peminat yang setia mendoakan kesihatannya.

”Assalamualaikum, hai semua. Ida dan keluarga berasa sungguh terharu dan berterima kasih dengan ucapan-ucapan baik dan doa-doa yang diberikan kepada saya dengan kejadian yang tak diduga baru-baru ini.

“Alhamdulillah, buat masa ini Ida sedang berehat dan dengan nasihat para doktor yang tidak menggalakkan Ida menerima tetamu buat masa ini supaya Ida dapat berehat dengan sepenuhnya.

“Ida harap korang faham dan Ida amat berterima kasih di atas semua ucapan, cenderahati dan doa-doa yang disampaikan kepada kami sekeluarga.

“Alhamdulillah, saya semakin baik dari hari ke hari. ‘So far so good’. Ida harap supaya semua peminat teruskan berdoa supaya Ida cepat sembuh dan dapat bersama kamu semua secepat mungkin. Insya-Allah,” kata Ida dalam nada ceria dan suara yang bertenaga sebelum mengakhiri ucapan itu dengan salam.

Pelakon utama filem ‘Susuk’ ini sedang berehat untuk mendapatkan rawatan bagi memulihkan tulang belakangnya selepas insiden terjatuh dari tangga dalam rumahnya yang berlaku kira-kira pukul 3 pagi, Ahad lalu.

Dia kini sedang berada di PPUM dan tidak dibenarkan berjumpa dengan orang ramai buat masa ini atas nasihat doktor.

Disebabkan insiden itu juga, dia terpaksa menarik diri dari berlakon teater 'The Good Body' yang dipentaskan pada 18 hingga 28 Jun di Pusat Konvensyen Sime Darby, Kuala Lumpur.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut