suria

Vokal unik Black atasi semua peserta Mentor

Black dan mentornya, Mas Idayu. -foto TV3
Black dan mentornya, Mas Idayu. -foto TV3
Black dan mentornya, Mas Idayu. -foto TV3

KEUNIKAN vokal Black, protege penyanyi Mas Idayu diakui oleh penyanyi Hattan. Malah kata beliau, "antara ramai-ramai peserta Mentor, suara Black yang paling sedap sekali dan pandai menyanyi."

Oleh kerana kelebihan ini, Black dengan selesa sekali telah mengatasi tiga peserta lain untuk ke peringkat seterusnya minggu depan.

Black, yang membawa rangkaian tiga lagu - Tasik Utara (irama Ghazal), Cek Mek Molek dan Hijau (Zainal Abidin) memungut markah tertinggi berbanding protege Ajai, Adibah Nor dan Lah.

Walaupun juri Syafinaz Selamat menegur yang Black seolah-olah belum ada hala tuju, Mas mempertahankan protegenya dengan berkata, "saya mahu Black menjadi penyanyi yang serba boleh dan tahu asal usul lagu Melayu sebelum mengorak langkah lebih jauh lagi."

Pada konsert minggu lepas, protege Adibah Nor, Thye telah diundi keluar. Kini yang tinggal ialah Fira, Chaq dan Black.

Ketiga-tiga mereka harus melipatgandakan usaha memantapkan persembahan untuk terus kekal meneruskan perjuangan bergelar juara.

Konsert minggu depan bakal menentukan nasib seorang lagi perserta Mentor yang akan diumumkan tersingkir di akhir persembahan mereka nanti.

Markah-markah terkumpul terdahulu tidak lagi dikira untuk peringkat separuh akhir ini. Penyingkiran akan dikira melalui markah yang diperolehi pada malam konsert tersebut yang diadili oleh juri undangan, juri awam dan undian SMS penonton.

Seperkara yang menarik pada Mentor musim ini ialah persiapan yang dilakukan ke atas pentas seolah-olah ianya sebuah pertandingan akhir.

Ini sedikit sebanyak membantu mood peserta untuk beraksi dengan lebih serius walaupun Syafinaz berkata, ia tidak membantu peserta mendapat markah lebih "kerana yang penting ialah suara bukan props."

Abang Stacy, Chaq yang merupakan protege Ajai terkenal dengan bakat tarian yang mengiringi setiap persembahannya.

Minggu lepas, Chaq menyampaikan lagu Inilah Nasibku/Fanatik, diikuti oleh Fira protege kepada Lah Ahmad.

Thye yang sememangnya diakui oleh mentornya, Adibah Noor mempunyai keunikan vokal membawakan lagu-lagu asli telah menyampaikan lagu Keroncong Untuk Ana/Hatinya Tak Tahan malam ini. Namun tuah tidak menyebelahi Thye malam itu.

Black beraksi di pentas menyanyikan lagu Tasik Utara/Cek Mek Molek/Hijau disusuli dengan persembahan penutup oleh keempat-empat peserta mendendangkan lagu, Bila Aku Sudah Tiada.

Walaupun 'geleknya agak pelik', kata Syafinaz, persembahannya membuat ramai peminat bersorak di dalam studio.

Menurut Penerbit dan Pengarah Mentor musim ke-3, Muhamad Sufian Isa, “Empat peserta yang layak ke peringkat akhir ini mempunyai keunikan masing-masing dari segi vokal dan bakat sebagai penghibur.

Para Mentor yang seharusnya mencorak mereka untuk menentukan arus perjalanan sebagai penyanyi berdasarkan kualiti yang mereka miliki. Persaingan ini bertambah sebgit apabila mereka digabungkan kerana inilah kali pertama mereka bertanding sesama sendiri.

Jika dilihat markah terdahulu, Chaq mengungguli kumpulan A manakala Black mendahului untuk kumpulan B.

Namun setelah digabungkan, tidak mustahil jika Fira (satu-satunya peserta wanita) berjaya mengalahkan Black dan Thye berkemungkinan mampu menewaskan Chaq. Apa yang pasti, dua peserta yang layak ke peringkat akhir nanti merupakan yang terbaik dari pemerhatian pihak juri dan penonton.”

Mentor musim kali ini mempamerkan sedikit perubahan dari segi format pemarkahan di mana markah akan diberikan melalui 3 bahagian iaitu 50% dari juri profesional, 30% melalui undian SMS dan 20% lagi melalui juri awam yang terdiri daripada pelajar-pelajar muzik, wartawan, penerbit rancangan dan golongan semi-profesional dalam bidang industri muzik. Setiap protege akan diberi peluang membuat persembahan sebanyak 3 kali mengikut kumpulan masing-masing melalui konsert yang diadakan secara berselang-seli antara kumpulan A dan B.

Markah dari ketiga-tiga persembahan ini akan digabungkan bagi menentukan 2 peserta yang mendapat markah tertinggi dari setiap kumpulan untuk ke separuh akhir. Protege yang mendapat markah terendah akan disingkirkan.

Pada peringkat separuh akhir, 2 protege dari kumpulan A dan B ini akan digabungkan semula untuk berentap dan seorang protege akan disingkirkan setiap minggu bagi mencari 2 peserta ke peringkat akhir.

Juara pertandingan realiti ini akan menerima hadiah lumayan, protege membawa pulang hadiah berupa wang tunai sebanyak RM 100,000 dan kereta Kia Spectra 5 tajaan Oriva dan Mentor pula meraih RM 100.000 manakala tempat kedua, protege dan mentor memenangi wang tunai, RM 30,000.

Mentor 3 menampilkan pengacara terkenal, Ally Iskandar Mohd Mardzi sebagai pengacara program dan Jurnal Mentor. Selain dari itu, wartawan sensasi Nas Ahmad juga turut sama dalam program ini bagi mencungkil kisah-kisah yang berlaku di sebalik tabir dan di belakang pentas.

Mentor kali ini juga turut menjemput peserta-peserta yang pernah datang ke ujibakat yang dirasakan ‘unik’ untuk /membuat persembahan pada setiap minggu.

Program Mentor ini telah menemui penonton TV3 mulai 19 April 2009 yang lalu dengan rangkuman sesi ujibakat manakala konsert Mentor bermula 3 Mei 2009 dengan konsert pengenalan bagi memperkenalkan protégé sebelum berentap pada Ahad (10 Mei 2009) dalam konsert mingguan.

Program ini bersiaran setiap Ahad jam 9.00 hingga 10.30 malam. Selain dari itu, penonton juga boleh menyaksikan sorotan persediaan serta aktiviti-aktiviti protégé bersama mentor mereka melalui Jurnal Mentor, setiap Ahad jam 5.30 hingga 6.00 petang manakala Jurnal protégé yang memaparkan diari harian protégé akan ditayangkan setiap hari Isnin hingga Jumaat jam 7.28 malam.

Artikel Lain