suria

Cat-Shahar berbulan madu diarak dengan kereta kuda

Cat dan Shahar ketika majlis resepsi perkahwinan ketiga mereka dengan tema 'taman inggeris'. -foto The Star oleh AZHAR MAHFOF
Cat dan Shahar ketika majlis resepsi perkahwinan ketiga mereka dengan tema 'taman inggeris'. -foto The Star oleh AZHAR MAHFOF
Cat dan Shahar ketika majlis resepsi perkahwinan ketiga mereka dengan tema 'taman inggeris'. -foto The Star oleh AZHAR MAHFOF

PERCUTIAN bulan madu aktres Catriona Ross dengan Shaharuddin Mokhtaruddin digambarkan lebih menarik dan istimewa apabila mereka akan diarak dengan kereta kuda semasa tiba di Puncak Gunung Jerai, Kedah.

Pakej bulan madu yang dijangka berlangsung selama dua hari, tiga malam itu ditaja oleh The Regency Gunung Jerai Resort.

Hal tersebut dimaklumkan oleh pihak Regency dengan dibantu oleh YSA Wedding Consultant selaku perunding perkahwinan pasangan ini.

Dalam pada itu, Cat dan Shahar yang meraikan perkahwinan mereka dengan tema 'taman inggeris’ memaklumkan mereka akan berbulan madu ke destinasi kedua itu selepas bercuti di Pulau Pangkor nanti.

“Saya dijangka akan berehat sehingga hujung bulan ini dan mahu menghabiskan masa bersama suami pada minggu pertama ini.

“Kami telah merancang untuk berbulan madu ke Pangkor Laut dalam masa terdekat ini sebelum ke Gunung Jerai.

“Selepas Raya nanti, baru kami akan menyambung berbulan madu ke Itali,” kata Cat ketika majlis resepsi perkahwinannya yang ketiga di Bora Ombak, Ampang malam tadi.

Cat berkata, sebolehnya dia mahu kembali aktif dalam aktiviti seni secepat mungkin namun dia lebih suka menghabiskan masa dengan suaminya dahulu tambahan pula dia belum sempat memasak untuk Shahar.

“Memang saya ada dapat tawaran berlakon sekarang tetapi terpaksa tolak lagipun kami merancang untuk berpindah masuk ke rumah sendiri.

“Saya juga belum sempat untuk masak secara ‘betul-betul’ untuk suami kerana ibu mertua saya suka sediakan pelbagai juadah untuk anak dan menantunya,” cerita Cat yang begitu gembira apabila dapat merealisasikan majlis perkahwinan impiannya.

Setakat ini, pasangan yang bernikah pada 26 Jun lalu ini tinggal di rumah keluarga Shahar sebelum menginap di rumah sendiri bermula minggu hadapan.

Luah Cat, “Saya berasa bangga sebab majlis pada malam ini merupakan projek peribadi saya yang dirancang sejak November tahun lalu.

“Segala persiapan saya lakukan sendiri dengan bantuan penjual bunga dan pereka pelamin.

“Maknanya, saya juga mampu membuat yang terbaik tanpa ada perunding perkahwinan.

“Saya rasa majlis ini sangat romantik dan terlalu menyukainya.

“Kami memang berhajat untuk menghadiahkan majlis ini kepada keluarga dan kawan-kawan yang hadir.

“Alhamdulillah, ramai rakan artis yang hadir kerana mereka tidak dapat datang semasa resepsi di Kelantan (sebelah Cat) dan Wangsamaju (sebelah Shahar) sebelum ini,” kata Cat mengenai majlis yang dihadiri oleh hampir 400 tetamu itu.

Antara tetamu yang hadir adalah bekas Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri Datuk Seri Azmi Khalid dan isteri, Datin Seri Normala Samsudin; Noniswara, Norish Karman, Arni Nazira, Mawi dan isteri, Ekin; Aein, Ako Mustapha, Julie Dahlan, Wardina Safiyah, Serina Redzuwan, Riezman Khuzaimi, Adam Hamid dan Linda Onn.

Ditanya tentang kehidupan mereka selepas dua minggu bergelar suami dan isteri, Cat sambil tersenyum ceria berkata dia sangat bahagia hidup bersama suaminya.

Sementara Shahar pula berkata dia masih terasa bagaikan ‘mimpi’ walaupun sudah bergelar suami Cat.

“Macam ‘fairy tale’,” luah Shahar ringkas.

Shahar menambah, dia menyenangi Cat kerana senang berkomunikasi dengan isterinya itu.

Cat pula mencelah, “Kami memang berbeza kerana saya jenis suka merancang tetapi dia (Shahar) pula suka melengah-lengahkan.

“Kadangkala, dia membuatkan saya relaks dan tidak terlalu mementingkan kesempurnaan.”

Majlis itu bermula pada pukul 9 malam dengan upacara merenjis, memotong kek yang dibuat oleh Chef Liza, persembahan nyanyian, persembahan multimedia istimewa melibatkan Cat dan Shahar, makan beradab dan memberikan ucapan daripada pasangan mempelai.

Cat kelihatan anggun menggayakan gaun pengantin dengan rekaan klasik oleh Faizal Asyraf manakala disolek oleh Iss daripada Pesona Sri Pengantin, Klang.

Artikel Lain