suria

Aizat kena 'reject' dengan Jac?

KETIKA muncul dengan album sulungnya, Percubaan Pertama, tahun lalu, Muhammad Aizat Amdan atau mesra dengan panggilan Aizat ini berjaya mempamerkan kemampuannya mencipta lagu sendiri. Jejaka berusia 20 tahun ini melakar sejarah tersendiri di dalam karier seninya apabila lagu ciptaannya, Lagu Kita berjaya mara ke peringkat akhir Anugerah Juara Lagu.

Apa yang pasti, tidak ramai penyanyi muda tempatan mampu melakukan apa yang dibuat oleh Aizat. Namun, bagi anak jati Kuala Lumpur ini, bakat yang dimiliki itu tidak pernah membuatkannya mendabik dada.

Malah, sejak kecil, itulah antara impian besarnya untuk tampil sebagai penyanyi yang bukan saya boleh menyanyi dengan baik, tetapi juga boleh menghasilkan lagu-lagu sendiri.

"Apa yang saya ingin cuba tonjolkan dalam industri ini ialah imej sebagai 'singer-songwriter'. Saya tidak nafikan, amat jarang penyanyi tempatan yang tampil dengan imej seperti ini, tidak seperti di peringkat antarabangsa.

"Sejujurnya, saya amat puas hati dapat menghasilkan lagu sendiri untuk album saya. Album pertama dulu hanya menampilkan empat buah lagu ciptaan saya serta bersama abang, Anas dan Insya-allah, untuk album kedua nanti, saya berharap dapat tampilkan semua lagu ciptaan kami sendiri.

"Apapun, ini bukan bermaksud saya akan sekat terus sumbangan lagu atau kolaborasi dengan pihak-pihak lain.

"Jika mereka ingin berbuat demikian, saya tetap akan menerima andai kata ia bersesuaian," kata Aizat pada sidang media sempena pelancaran album pembungkusan semula (repackage) Percubaan Pertama dan VCD Karaoke di Red Box The Gardens, semalam.

Menariknya, anak kelima daripada enam beradik ini bukan saja menghasilkan lagu untuk simpanan sendiri, malah Aizat juga sudah 'berani' untuk turut menyumbangkan karyanya kepada penyanyi tanahair.

"Saya ada menyumbangkan sebuah lagu kepada Jaclyn Victor. Tapi nampaknya, lagu tersebut tidak dipilih, mungkin kerana tidak sesuai dengan Jac. Saya tidaklah kecewa pun, kerana saya bukanlah benar-benar seorang komposer profesional.

"Lagipun, saya lebih suka hasilkan lagu yang memang mengikut citarasa dan jiwa saya. Jadi, terpulanglah kepada pihak tertentu sama ada untuk terima lagu saya itu atau pun tidak," kata pemenang Vokal Lelaki Terbaik di Anugerah Industri Muzik ke-16 (AIM16) ini.

Mengulas lanjut tentang album keduanya pula yang kini sedang di dalam proses pembikinan, kata Aizat, ketika ini, dia telah berjaya menyiapkan sebanyak enam buah lagu ciptaannya sendiri serta Anas.

"Saya tetap akan tampil dengan konsep yang sama iaitu pop rock. Tetapi, kali ini lagu-lagunya lebih 'upbeat', berbanding album pertama dulu yang lebih banyak lagu-lagu sedih.

"Dan kali ini, saya juga amat berharap agar dapat terbitkan sendiri album ini. Memang sudah lama saya simpan hasrat ini sebenarnya," kata Aizat yang turut menjadi artis tempatan yang paling banyak mendapat pencalonan di Anugerah Planet Muzik 2009 yang akan berlangsung di Jakarta, Sabtu ini, yang mana dia menerima empat nominasi menerusi album sulungnya itu.

Sementara menantikan album keduanya berada di pasaran sekitar akhir tahun ini atau awal tahun depan, peminat-peminat bekas peserta Akademi Fantasia musim kelima ini boleh mendapatkan album Percubaan Pertama yang telah menjalani proses 'repackage' serta VCD karaoke yang diterbitkan oleh Universal Music Malaysia dengan kerjasama syarikat miliknya sendiri, Kasi Gegar Entertainment.

Album-album tersebut telah mula berada di pasaran sejak Jun lalu dan menampilkan 11 buah lagu hits Aizat seperti Lagu Kita, Hanya Kau Yang Mampu dan Fikirlah, termasuklah tiga lagu tambahan iaitu Kau Aku serta Pergi dan Itulah Dirimu yang menjadi dua buah lagu petikan dari filem Talentime.

Dalam pada itu, apabila diajak berbicara tentang pandangannya mengenai industri hiburan tanahair sebagai seorang pendatang baru, kata Aizat, dia gemar melihat senario industri ini dari sudut yang mampu memberikan perubahan kepada arena ini.

"Industri kita sebenarnya ada potensi untuk kembali gemilang seperti era Datuk Sheila Majid dan Zainal Abidin. Mereka dulu jika adakan konsert besar, pasti akan mendapat sambutan.

"Kita masih boleh lakukan perkara yang sama. Tetapi pokoknya, masyarakat perlulah menyokong artis-artis tanahair," ujar Aizat yang akui amat gemar berbicara tentang muzik.

Artikel Berikut

Artikel Lain