Faizal masih aktif di dalam industri hiburan tanahair - foto THE STAR oleh RAJA FAISAL HISHANBERBANDING juara-juara Akademi Fantasia (AF) yang lain, Mohammad Faizal Ramly atau mesra disapa Faizal ini dikatakan adalah juara AF yang tidak 'menjadi'. Macam-macam cerita tidak enak sering didengari tentang juara AF musim keempat ini tidak lama dulu.Dilemparkan tuduhan mengambil dadah serta tidak berdisiplin adalah antara kisah-kisah negatif yang pernah dikaitkan dengannya sebelum ini. Malah dakwaan seperti itu juga mengukuhkan andaian ramai bahawa faktor-faktor tersebut menjadi 'penyumbang' kuat mengapa Faizal tidak sebaris dengan juara-juara AF yang lain.Bagi tuan empunya diri, dia hanya mampu tersenyum tatkala cerita-cerita itu kembali diimbas. Dalam nada perlahan, tutur Faizal, dia menganggap tohmahan seperti itu sebenarnya telah mematangkan dirinya, walaupun ia sedikit-sebanyak telah mencalarkan imejnya.Namun begitu, penyanyi berusia 25 tahun ini tidak mahu terlalu memikirkan tentang hal-hal tersebut. Meskipun dikatakan semakin tenggelam, apatah lagi dia dilihat agak 'menyepikan' diri sejak kebelakangan ini, kata Faizal, dia tetap bersyukur kerana sehingga hari ini dia masih lagi mampu bertahan di dalam bidang ini."Sebenarnya, tidak pernah pun saya menyepikan diri, cuma saya akui, memang saya kurang publisiti terutamanya setelah keluar dengan album sulung pada Ogos tahun lalu."Saya sengaja nak 'hilangkan' diri. Apa yang saya maksudkan dengan 'hilangkan' diri itu ialah saya lebih suka mengatur karier dengan cara sendiri. Saya akui, ada pihak media yang mengadu sukar untuk menghubungi saya."Saya tidak nafikan perkara itu. Adakalanya saya tidak sempat menjawab panggilan mereka kerana kadang-kadang saya tidak menang tangan menguruskan karier seorang diri."Saya selalu 'travel' sendiri ke negeri-negeri lain untuk jayakan persembahan. Bukannya mudah untuk buat semua itu seorang diri. Sebab itu saya lebih suka buat 'hal' sendiri."Memang saya akui, publisiti amat penting bagi seseorang artis. Tetapi jika rezeki saya sudah ditentukan dengan cara seperti ini, saya terima saja," kata Faizal yang ditemui pada sidang media filem Momok The Movie, di Finas semalam.Walaupun tidak banyak publisiti tentangnya, ujar Faizal, dia bagaimanapun sebenarnya masih lagi aktif di dalam industri ini dengan memenuhi undangan menjayakan persembahan."Alhamdulillah, saya masih banyak mendapat tawaran 'show', terutamanya di Johor Bahru dan Pulau Pinang. Penat juga ke sana ke mari dan uruskan segala-galanya sendiri."Bukan tidak mahu guna pembantu, tetapi saya lebih selesa buat sendiri. Cuma adakalanya, saya akan dibantu oleh Aida, yang merupakan presiden Faizal FC."Tetapi, apa yang paling penting, saya bersyukur masih lagi dapat membantu ibubapa saya. Itu saja yang saya harapkan. Saya tidak mahu glamor. Malah, saya tidak kisah kalau keadaan memaksa saya bermula dari bawah semula," tutur anak jati Terengganu ini.Kata Faizal lagi, dia juga masih lagi di dalam proses menyiapkan sebuah projek album khas bersama Iklim, yang mana dia bertindak sebagai vokalis 'sementara' kumpulan itu. Setakat ini, lima buah lagu sudah siap dirakamkan dan tinggal tiga buah lagu lagi yang masih belum disiapkan.Bukan saja masih ligat sebagai penyanyi, malah Faizal juga sudah melangkah setapak lagi dengan bergelar seorang pelakon. Kemampuannya di arena lakonan boleh disaksikan menerusi filem sulungnya, Momok The Movie arahan M.Jamil yang akan berada di pawagam pada hari raya pertama nanti.Membawakan watak utama sebagai Adlin, kata Faizal, dia akui filem tersebut banyak memberikan pengalaman yang hebat terhadap dirinya."Pada awalnya, memang saya akui agak sukar juga memandangkan ini adalah filem sulung dan lakonan pertama saya memegang watak utama. Saya sanggup mencuba kerana bagi saya, ini adalah rezeki."Seronok juga sebenarnya dapat berlakon. Sebagai orang baru, saya tetap bertanyakan pada ramai orang sama ada lakonan saya itu 'ok' atau tidak. Tetapi sejujurnya, saya teringin untuk berlakon lagi," katanya.Filem itu turut membariskan pelakon-pelakon lain seperti Nabil Raja Lawak, Datuk Aziz Sattar, Abon, Leez AF4, Mimi Rahzia dan penampilan istimewa oleh seniwati tersohor, Datuk Sarimah.Belum pun ditayangkan lagi, Faizal ditawarkan pula membintangi sebuah lagi filem yang bercorak romantik berjudul Pulau Asmara, yang mana sekali lagi Faizal diberi kepercayaan untuk membawakan watak utama."Filem ini merupakan arahan Utam Kumar, terbitan Ala Kazam Productions. Ia turut menampilkan pelakon Abby Aziz. Penggambaran filem ini juga sudah selesai dijalankan baru-baru ini,' ujarnya.Ditanya adakah dia akan meletakkan fokus yang tinggi terhadap bidang lakonan pula selepas ini, dalam nada ceria, Faizal menjawab:"Bagi saya, ini adalah rezeki. Selagi ada peluang, saya akan cuba. Lagipun, apa yang saya dapat sewaktu berlakon juga sebenarnya boleh digunakan ketika menyanyi, terutamanya dari segi cara penghayatan."