suria

Aditya: Artis perlu percikan iman yang kuat

Rabecca Nur Islam.
Rabecca Nur Islam.
Rabecca Nur Islam.

PABILA Safura mendakwa (laporan dari sebuah akhbar perdana) namanya digugurkan daripada menjayakan beberapa buah drama untuk sebuah siaran stesen televisyen, hanya berlandaskan alasan perempuan itu menutup aurat, isu ini seharusnya dipandang serius oleh masyarakat industri hiburan khasnya dan masyarakat pemerhati amnya.

Laporan itu juga menyebut nama penyanyi 'Sedalam Mana Cintamu' itu hampir dibuang daripada senarai penyanyi yang akan menjayakan sebuah siri konsert untuk stesen yang sama. Alasannya sama – Safura bertudung!

Astaghfirullah, apa sudah jadi dengan warga penerbitan kita hari ini? Mereka yang sepatutnya lebih menggalakkan ke arah insan Hadhari serta Islamiah dan sepatutnya juga mereka menggalakkan ‘keinsafan’ ini berlaku. Mereka seharusnya lebih maklum yang artis dipandang sebagai role model, jadi seharusnya kerelaan wanita seperti Safura bertudung lebih digalakkan supaya menjadi cerminan kepada masyarakat di luar sana.

Bagaimanapun, alhamdulillah isteri kepada pelakon Shahronizam Noor, itu tidak alah dengan tekanan tersebut hanya kerana ingin mencari rezeki. Rezeki di tangan Tuhan, Pencipta kita yang menentukan dalam perjalanan kehidupan seharian makhlukNya. Mungkin juga Dia sekadar mahu menduga manusia, ingin melihat sejauh mana keyakinan dan kesabarannya.

Bukan pemerhati industri seni tidak tahu, ramai juga yang ‘mengalah’ dengan tuntutan kehendak dunia hiburan. Sama ada tuntutan atau keperluan sebenar atau sekadar paparan kosmetik industri semata-mata. Artis kita boleh pilih, mahu menjadi diri sendiri dan memperjuangkan bakat atau lebih senang menjadi orang lain dan hipokrit. Alah, perkataan hipokrit bukannya tak biasa kita dengar yang sekian lama menjadi virus yang melekat kepada artis.

Aditya sendiri, walaupun sudah lama memerhati gelagat pentas opera hiburan Malaysia, ada kalanya terkejut beruk juga dengan ‘gimik’ dan perangai artis tempatan. Seperti yang berlaku kepada seorang dua artis wanita yang kini semakin seksi selepas kepalanya ‘panas’ dengan tudung tutup lingkup. Dakwanya, rezekinya semakin sempit sejak bertudung. Lalu untuk meluaskan lubang rezeki itu, tutup kepala dibiarkan terbang bersama cita-citanya. Harapnya lubang itu semakin besar dan harapnya juga dia ingatkan lubang liang lahad yang tidak sebesar mana itu.

Secara peribadi, Aditya pening kepala dengan situasi hari ini. Yang seharusnya dipandang tak elok disanjung tinggi tetapi yang cuba mendekatkan lagi dengan hukum-hakam agama, ditolak ketepi dan dibuang jauh-jauh. Hairan sungguh apabila mata mereka (pihak stesen televisyen berbukit ini) bagaikan tidak melihat komersial melalui penampilan artis yang lebih sopan.

Aditya bukanlah ulama yang pakar dalam soal agama tetapi diri ini terasa bertanggungjawab melihat perkembangan yang semakin tidak sihat ini dibiarkan tanpa sebarang pembelaan.

Bukan kita tidak tahu dengan gejala sosial yang sudah melampaui batas kemanusiaan dan mencalar maruah Islam. Anak muda berpeleseran, bergaul bebas biarpun bukan muhrim sehingga kejadian membuang bayi bagaikan satu situasi biasa di negara kita.

Saban hari, ada saja berita yang dilaporkan tentang bayi dibuang, bayi mati di dalam mangkuk tandas dan tidak terkecuali murid sekolah yang terberanak di sekolah ketika kemas berpakaian seragam sekolah. Apa sudah jadi?

Perkembangan ini mungkin kita boleh pandang secara umum kerana ia melibatkan manusia awam tetapi apakah ia tidak terjadi di kalangan selebriti kita? Aditya tidak mahu menuduh tetapi bersekedudukan adalah fenomena biasa di kalangan manusia popular dan anak seni. Nak Aditya namakan?

Gejala sosial juga tidak terkecuali di kalangan manusia popular Melayu dan Islam. Tidak banyak yang dilaporkan tentang mereka tetapi berita sipi-sipi kadang-kadang dikhabarkan menerusi ruang gosip yang sering dianggap remeh dan temeh itu.

Tidak perlu menggali lebih dalam, cukuplah rasanya Aditya mengaitkan di ruangan ini dengan cara penampilan artis kita. Itu yang lebih ketara kerana pandangan pertama selalu membayangkan pandangan seterusnya. Biarpun orang kata 'don't judge the book by it's cover' namun ada ketikanya 'cover' itu mampu membuka pekung yang lebih jelas.

Dalam soal berpakaian, sesuai dengan pembuka artikel ini, Aditya yang tidak sepatutnya merasa terkilan dengan keberanian pelakon baru, Rabecca Nur Islam mengenakan busana putih mendedahkan belakangnya dalam satu majlis beberapa minggu lalu.

Pun begitu, hati tidak menafikan untuk terus berkata tentang keberanian perempuan yang mempunyai seorang anak angkat itu yang 'salah'. Keberanian yang salah! Cantik ada perspektifnya dan cukup subjektif tetapi alangkah lebih cantik sekiranya kecantikan tersebut dipadankan dengan namanya yang indah itu. Nur Islam - cahaya Islam, tidakkah Rabecca berasa janggal dengan ironinya fesyen dan nama itu?

Apakah salah Aditya membawa gadis berkulit putih itu sebagai contoh kepada cerminan artis kita hari ini? Sah bukan semua artis begitu tetapi situasi ini memudahkan lagi masyarakat memandang serong kepada golongan anak seni yang selama ini kita sedia maklum, seni selalu dilihat sebagai sumber yang menjurus kepada kemaksiatan!

Biarpun hanya 'jenayah yang dibenarkan dalam industri hiburan' itu yang dilakukan Rabecca, sebenarnya dia sudah berjaya memahat nama dalam sejarah 'yang sentiasa orang akan ingat' apabila bercakap pasal fesyen. Kalau itu yang Rabecca cari, dia sudah berjaya. Tahniah!

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain