suria

Almy tanggung azab demi Senandung Si Dayang

Almy berwajah hitam legam menerusi watak Puteri dalam Senandung Si Dayang
Almy berwajah hitam legam menerusi watak Puteri dalam Senandung Si Dayang
Almy berwajah hitam legam menerusi watak Puteri dalam Senandung Si Dayang

EMPAT tahun mengharungi hidup sebagai pelakon, Almy Nadia akui, masih banyak pihak sebenarnya yang ragu-ragu dengan kemampuannya membawakan pelbagai jenis watak.

Bukan merasakan diri sudah hebat, tetapi bagi pelakon berusia 23 tahun ini, dia tidak mahu lagi mendengar suara-suara sumbang yang sering merasakan dia hanya sesuai meneruskan watak sebagai perempuan 'gedik', sedangkan Almy sendiri yakin dia boleh melakukan lebih daripada itu.

Ternyata tawaran membawakan watak Puteri di dalam drama bersiri Senandung Si Dayang, sebuah kisah yang diadaptasikan daripada cerita rakyat popular Dayang Senandung, diibaratkan seperti 'orang mengantuk disorongkan bantal' buat Almy.

Memegang watak gadis yang hitam legam seluruh wajah dan tubuhnya akibat terkena sumpahan sememangnya satu karektor yang disifatkan oleh Almy sebagai 'luar biasa'.

"Sejujurnya, salah satu sebab saya ambil cabaran memegang watak ini adalah untuk buktikan kepada orang bahawa saya juga mampu melakonkan pelbagai watak lain. Maklumlah, orang asyik cakap saya selalu bawa watak gedik-gedik saja.

"Jadi, inilah masanya saya tonjolkan kemampuan saya dengan karektor yang lain pula. Memang cukup seksa sebenarnya bawakan watak Puteri ini...seksa kerana solekan hitam yang perlu dibuat di wajah dan tubuh.

"Sudahlah wajah hitam legam, nak berdialog juga amat sukar kerana reaksi muka dan emosi sukar untuk dilihat disebabkan wajah yang begitu gelap. Tapi, segala 'seksaan' itu sebenarnya membuahkan hasil juga," tutur Almy yang ditemui pada majlis pelancaran drama terbitan syarikat pelakon Rozie Othman, SRS Production, di Ampang, baru-baru ini.

Turut membintangi drama 20 episod arahan Haris Kadir itu antaranya ialah Elly Mazlein, Aqasha, Azza AF, Mas Anizan, Khairil Anwar, Buzen, Latif Borgiba, Liza Zain dan Allahyarham Khairil Khamis, yang merupakan lakonan terakhirnya sebelum meninggal dunia pada 17 Julai lalu.

Drama yang akan disiarkan di slot Lagenda di TV3 bermula 25 Ogos, setiap Isnin hingga Khamis pada pukul 4.30 petang ini menampilkan tiga generasi sumpahan tersebut iaitu di zaman purba, 80an dan moden yang terkena pada tiga gadis lakonan Elly, Azza dan Almy.

Secara ringkasnya, kisah Senandung Si Dayang bermula dengan kelahiran Megasari, anak perempuan kepada Wanggalara yang terkenal dengan kehebatan ilmu hitamnya. Akibat penyelewengan kuasa ilmu hitamnya, Megasari dilahirkan dalam keadaan hitam legam seluruh tubuh dan mukanya.

Apabila dewasa, Megasari jatuh hati dengan Putera Aduka, tetapi kecewa apabila cintanya ditolak dan turut dicemuh jejaka itu. Megasari kemudiannya membunuh diri kerana tidak tahan dicemuh dan dimaki.

Wanggalara tekad membalas dendam terhadap Putera Aduka namun dia tewas. Wanggalara bagaimanapun sempat bersumpah bahawa keturunan Putera Aduka akan ada yang berkulit hitam dan hodoh, lebih dahsyat daripada Megasari.

Setelah berkurun lamanya, sumpahan Wanggalara menjadi kenyataan apabila Tengku Syed Idrus dan Tengku Sarimah dikurniakan anak perempuan, Puteri, yang hitam bagaikan arang seluruh tubuhnya.

Walaupun Puteri dibesarkan dengan penuh kasih sayang, namun kezaliman realiti hidup tidak dapat ditepis jauh meskipun keluarga Puteri cuba melindungi dirinya dari dilukai.

Keadaan menjadi bertambah rumit apabila Puteri telah jatuh hati dengan seorang pemuda kacak bernama Aidid, yang juga menaruh perasaan terhadap Puteri meskipun hanya mendengar suaranya saja selama perkenalan mereka.

Bercerita lanjut tentang karektor gadis berwajah hitam itu, kata Almy, walaupun perit menahan kesan akibat solekan itu, namun dia tidak merasakan itu satu halangan untuk dia melakukan yang terbaik untuk watak tersebut.

"Dua tiga kali juga muka saya gatal-gatal dan ada ruam sebab tak tahan dengan solekan. Saya tidak tahulah sama ada Elly dan Azza turut alami perkara yang sama seperti saya.

"Lagipun kulit saya memang sangat sensitif. Selalunya selepas disolek, memang saya tidak boleh sentuh apa-apa, sebab akan tinggalkan kesan hitam pada barang-barang. Nak makan pun adakalanya susah.

"Tapi, benda-benda macam tu tidaklah membebankan pun. Saya anggap itu adalah cabaran. Dan sebab itu juga saya terima watak ini sebab saya ingin juga rasa macam mana seniwati Datuk Sarimah Ahmad dulu pegang watak macam ni," ujarnya.

"Belum rancang bertunang"

Macam-macam cerita tentang hubungannya dengan aktor Fizz Fairuz didengari sejak kebelakangan ini.

Ada yang mengatakan hubungan cinta yang terjalin lebih tiga tahun itu telah pun retak, namun kisah terbaru ada pula yang mengatakan Fizz dan Almy sebenarnya telah bertunang sejak tahun lalu.

Almy hanya tersenyum tatkala diajukan tentang perkara itu.

"Mana ada kami sudah bertunang. Tidak ada perancangan apa-apa pun. Ketika cerita kami kononnya sudah bertunanglah...berpisahlah, masing-masing ketika itu sedang sibuk dengan kerja sendiri.

"Bagi kami, eloklah jika kami fokus dulu pada karier. Bila sudah bersedia nanti, barulah kami fikirkan untuk bawa hubungan kami ke fasa seterusnya.

"Jika ditanya sama ada saya sudah bersedia atau tidak, memanglah belum. Tapi sampai bila nak kata tidak. Nak tak nak, saya kena bersedia juga andai jodoh itu sudah tiba," kata Almy.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain