Farah akui hatinya sudah dimiliki seseorangLEBIH setahun hatinya 'sunyi' setelah perkahwinan yang dibinanya dengan Dr. Fariz Yahya berakhir dengan perceraian pada 26 Mei tahun lalu. Namun, bagi Farah Asyikin, sepanjang tempoh itu, tidak pernah dia memencilkan diri atau putus semangat dengan apa yang telah terjadi.Hidup mesti diteruskan - itulah ayat yang sering diungkapkannya. Walaupun pernah terdetik dalam hatinya serik untuk bercinta lagi, namun siapalah Farah untuk menolak takdir yang telah ditentukan oleh Allah. Bertemunya di rakaman program raya Wanita Hari Ini dan Nona, baru-baru ini, penyanyi yang popular dengan lagu "1000 Penipuan" dan "Hello" ini tersenyum manja apabila diusik sama ada dirinya kini sudah bertemu 'pengganti' teman hidupnya yang baru.Seboleh mungkin, Farah cuba mengelak pertanyaan tersebut. Namun dari riak wajahnya, memang terpancar keceriaan dan Farah akhirnya gagal berselindung dan hanya menganggukkan kepala dengan soalan itu."Hubungan kami masih terlalu awal, baru bermula beberapa bulan lalu. Kali ini, memang saya tidak mahu lagi dedahkan sangat tentang kisah peribadi. Terlalu banyak yang saya telah pelajari sebelum ini."Dulu, saya rasa saya terlalu terbuka bercakap tentang hal seperti ini. Dan nampaknya ia memakan diri sendiri. Macam-macam yang berlaku dulu, termasuklah gosip yang mengatakan saya ada hubungan dengan Mark OIAM lah...saya dah tak larat dengan gosip seperti itu."Jadi sekarang, saya rasa lebih baik saya tidak campur adukkan karier dan kisah peribadi lagi," ujar Farah yang akui cukup senang berkawan dengan jejaka yang berusia 35 tahun itu.Namun, pada saat cuba bertanya lanjut tentang lelaki yang berjaya mencuri hatinya itu, Farah terus mengunci mulut dan cuba mengalih topik perbualan tentang karier seninya.Tutur Farah, dia baru selesai berehat selama dua bulan dan kini kembali aktif dengan aktiviti seninya."Saya berehat pada bulan Jun dan Julai lepas, sengaja untuk bermuhasabah diri dan melihat semula kesilapan yang pernah saya lakukan sepanjang hidup saya."Rasanya sejak bergelar artis, inilah kali pertama saya bercuti begitu panjang," kata Farah yang turut menyanyikan lagu tema filem Pisau Cukur berjudul "ERT" yang akan ditayangkan tidak lama lagi.Menurut Farah, setelah habis tempoh berehat itu, dia turut mencuba nasib sebagai pelakon dengan membintangi telefilem berjudul "Satu Hari Di Hari Raya" untuk tayangan sempena Hari Raya nanti di saluran TV9.Turut membintangi telefilem yang akan ditayangkan pada Hari Raya Pertama dan Kedua itu ialah Cheryl Samad, Amir Sofaz, Nubhan dan Adibah Noor."Sebelum ini memang banyak tawaran berlakon yang saya dapat, tapi saya tidak tergerak hati untuk mencuba. Bila saya baca skrip telefilem ini, saya tertarik dengan jalan ceritanya dan akhirnya saya nekad untuk cuba."Apa yang menariknya, walaupun menggunakan judul hari raya, tetapi cerita ini tidak langsung berkaitan dengan Hari Raya. Ia menampilkan dua kisah berbeza yang mempunyai kisah cinta, koflik dan turut ada elemen drama di dalamnya."Memang seronok dapat kutip pengalaman di set penggambaran. Tapi risau juga kerana inilah yang akan menentukan sama ada saya boleh berlakon atau tidak," katanya yang baru saja tamat menjalani penggambaran sekitar dua minggu lalu.Bercerita tentang wataknya, kata Farah, dia membawakan peranan sebagai seorang produser televisyen yang cerewet bernama Serina."Watak ini memang amat mencabar. Serina juga tidak percayakan lelaki. Kelakar juga bila dapat tahu mereka tawarkan watak seperti itu pada saya, tetapi kata pengarahnya, KZR, dia yakin saya mampu bawakan dengan baik."Saya beruntung kerana turut mendapat tunjuk ajar daripada pelakon-pelakon lain. Apa yang pasti, berlakon memang memerlukan kesabaran yang tinggi," ujar pemenang Artis Baru Wanita Terbaik Anugerah Planet Muzik (APM) 2008 ini.Ditanya tentang perkembangan karier nyanyiannya pula, kata Farah, ketika ini dia masih lagi dalam proses penghasilan album terbarunya. Namun begitu, dia tidak mahu terburu-buru menyiapkan album dan ingin memberikan tumpuan yang lebih terhadap penghasilan single terlebih dahulu.