suria

Munculnya Aminah buat Ogy ingin kahwin semula

Ogy kini terbuka pintu hati untuk menerima kehadiran seorang yang bernama suami demi anak angkatnya, Aminah.
Ogy kini terbuka pintu hati untuk menerima kehadiran seorang yang bernama suami demi anak angkatnya, Aminah.
Ogy kini terbuka pintu hati untuk menerima kehadiran seorang yang bernama suami demi anak angkatnya, Aminah.

MELIHAT anak angkatnya, Nur Aishah Aminah yang membesar dari hari ke hari di depan matanya membuatkan pelakon, penyanyi dan pengacara popular Ogy Ahmad Daud terbuka hati untuk mendirikan rumah tangga.

Niatnya itu mula terdetik dalam dirinya setelah memikirkan agak sukar untuk membesarkan Aminah, setahun lapan bulan seorang diri.

“Selepas mempunyai anak sekarang, dia (Aminah) memberikan perubahan yang besar kepada saya dan masa saya juga lebih banyak diluangkan bersamanya.

“Sekarang baru saya rasa yang saya perlukan seorang suami kerana masa saya terlalu padat untuk menjaganya seorang.

“Sikit sebanyak saya terbuka untuk berkahwin lagi adalah kerana anak. Bagi saya anak adalah segala-galanya buat saya sekarang,” akui Ogy atau nama sebenarnya Fauziah Ahmad Daud yang menganggap Aishah seperti anak kandungnya sendiri lebih-lebih lagi dia tidak punyai zuriat sendiri.

“Biar Allah yang tentukan dan yang penting lelaki itu harus bertanggungjawab, terima saya dan Aminah seadanya,” ujarnya.

Jelas Ogy, sebelum ini dia tidak pernah menidakkan perkahwinan dan tiada sebab untuknya mengelakkan diri daripada pernikahan selepas bercerai dengan pelakon tersohor Eman Manan.

“Sebelum ini, ada juga lelaki yang ingin mendekati saya dan dia hanya orang biasa tetapi waktu itu pintu hati saya belum terbuka lagi.

“Sekarang pun ada juga yang mencuba. Bohonglah jika saya kata tak terbuka hati untuk berkahwin lagi tetapi bukan sepenuh hati. Sekarang, masih 50-50," tutur pelakon filem 'Azura' di samping penyanyi dan pelakon Jamal Abdillah ini.

Menceritakan tentang telatah Aminah sekarang, Ogy berkata dia amati wajah anaknya itu semakin hari jatuh persis wajahnya.

“Saya tengok muka Aminah sekarang sudah mula mengikut muka saya. Betullah, seperti orang kata apabila kita menjaga seseorang anak angkat itu, muka dia akan ikut muka kita.

“Sekarang, bukan sahaja muka malah perangai dia pun ada yang ikut perangai saya. Harap-harap jangan dia 'laser' pula nanti.

“Dia sentiasa perhatikan apa yang saya lakukan dan kadangkala memanggil saya dengan nama Ogy atau Jiyah (singkatan Fauziah),” kata anak kepada pelakon veteran ternama, Allahyarham Datuk Ahmad Daud dan Seniwati Saadiah ini.

Sebelum ini, Pelakon Wanita Terbaik kategori drama pada Anugerah Skrin 2008 ini pernah berkata dia tidak mahu anaknya itu menceburi bidang seni sebaliknya menjadi seorang doktor yang berjaya.

Namun, Ogy tidak dapat mengelak yang anaknya itu semakin cenderung ke arah bidang seni apabila melihat keletah si cilik itu.

“Saya lihat dia pandai berlakon, menari dan menyanyi. Apabila menonton filem lakonan arwah mak saya, Saadiah di televisyen, Aminah pandai menyebut nenek dan arwah ayah sebagai dada (datuk).

“Saya tak nak dia jadi artis tetapi jika dia tetap berminat untuk sertai industri ini, dia perlu ada sekurang-kurangnya ijazah sarjana kerana saya lihat dia seorang anak yang pintar.

“Insya-Allah, saya akan menghantarnya ke pusat asuhan Sri Garden International pada tahun depan,” luah ibu berusia 46 tahun ini yang ditemui di rakaman program ‘Kecoh Petang Raya... Lagi!!!’ yang akan disiarkan pada Hari Raya kedua nanti.

Program ini merupakan sambungan program muzikal, ‘Kecoh Petang Raya’ yang memaparkan aksi lucu penuh komedi keluarga Pak Salih dan Pak Megat kelam kabut menyudahkan persiapan Hari Raya.

Tahun ini, drama muzikal ini kembali lagi dengan judul ‘Kecoh Petang Raya... Lagi!!!’ yang masih membariskan pelakon yang sama iaitu Ogy di samping Adibah Noor, Jalil Hamid, Harun Salim Bachik, Misha Omar, Ady Putra, dan Amy Mastura.

Kali ini, dua pelakon juga ditambah iaitu Zahid menggantikan Lah Ahmad kerana telah dikuarantin setelah melawat anak saudaranya yang disyaki positif selesema babi atau H1N1 manakala seorang lagi pelakon baru, penyanyi Siti Sarah Raisuddin.

“Saya sukakan jalan cerita drama muzikal ini kerana ia tidak perlu pening kepala dan kita hanya berseronok.

“Saya sendiri tidak gemarkan cerita yang sedih jadi sebab itu saya terima untuk berlakon cerita ini lagi dan ia bagaikan ada tarikan ‘chemistry’,” katanya yang menolak tawaran untuk apa-apa aktiviti lakonan di bulan puasa.

Menurut Ogy, dia gemar menumpukan masa di bulan puasa untuk mengerjakan ibadat dan sebelum menjaga Aminah dulu dia selalu ke Mekah ketika bulan puasa.

Artikel Berikut

Artikel Lain