suria

Tomok rindu nak balas kad raya peminat

Tomok semasa sidang akhbar TOP 3 OIAM menjelang final di Grand Millennium Hotel, pada 27 April lalu. - foto THE STAR oleh GLENN GUAN
Tomok semasa sidang akhbar TOP 3 OIAM menjelang final di Grand Millennium Hotel, pada 27 April lalu. - foto THE STAR oleh GLENN GUAN
Tomok semasa sidang akhbar TOP 3 OIAM menjelang final di Grand Millennium Hotel, pada 27 April lalu. - foto THE STAR oleh GLENN GUAN

JUARA One In A Million (OIAM) musim ketiga ini pernah meniti zaman kegemilangannya ketika popular bersama kumpulan New Boyz.

Malah dia juga pernah jatuh dari zaman popularnya sehinggakan dia menyepi dari dunia hiburan dalam masa yang agak lama.

Tomok atau nama sebenarnya Shah Indrawan yang ditemui ketika majlis berbuka puasa bersama media dan anak-anak yatim dari Baitul Kasih, Sungai Buloh anjuran HotFm dan FlyFm di Kelab Golf Perkhidmatan Awam, Petaling Jaya, menceritakan kenangan manisnya ketika menyambut ramadan dan raya sewaktu mula menjadi artis.

"Sewaktu mula-mula Tomok jadi artis itulah kenangan paling manis semasa sambut ramadan dan raya.

"Boleh dikatakan kad raya berguni-guni Tomok dapat dari peminat-peminat dan siap dapat baju raya dari peminat lagi. Kira berjimat jugak la...

"Tapi sekarang ni suasana tu dah tak ada... yela, orang sekarang dah tak main hantar kad raya, semuanya pakai emel, sms dan facebook.

"Kalau dulu, Tomok balas kesemua kad raya tu dengan cara Tomok fotostat semua, kemudian Tomok akan tandatangan dan pos semula kepada peminat.

"Kalau nak balas satu-satu, tak menang tangan Tomok. Tapi sekarang dah senang, boleh balas pakai emel, sms dan facebook, cuma dah tak rasa suasana balas kad raya je," kata selebriti yang berasal dari Rembau, Negeri Sembilan ini.

Bagaimanapun Tomok turut merasakan perubahan yang terdapat pada peminatnya yang dirasakannya semakin matang dan berubah mengikut peredaran waktu.

Tomok juga bangga apabila kini peminat-peminatnya bukan sahaja terdiri daripada bangsa Melayu, malah peminat dari bangsa Cina dan India juga sudah mengenali dan meminati Tomok.

"Kalau masa zaman sekolah-sekolah dulu peminat Tomok kebanyakkannya bila tengok buat persembahan mereka macam teruja, suka, tapi sekarang Tomok lihat mereka dah matang, kalau mereka jumpa Tomok pun mereka cuma kata nak minta tandatangan je.

"Tapi selepas Tomok masuk OIAM, peminat Tomok juga sudah bertambah dan berubah. Kini kebanyakan peminat Tomok terdiri daripada golongan yang bekerjaya.

"Malah hinggakan bangsa Cina dan India juga sudah mengenali dan meminati Tomok," jelas penyanyi ini yang sibuk berada di studio rakaman pada bulan puasa ini.

Menyentuh mengenai album solonya, Tomok sedang di dalam proses rakaman lagu untuk albumnya yang mungkin akan dikeluarkan sebelum tahun depan. Malah single kedua selepas single 'Rinduku Terhenti' juga akan dikeluarkan pada bulan Septermber atau Oktober ini.

"Album solo Tomok mungkin akan keluar dalam tujuh atau 10 lagu, tetapi sekarang ni baru dua lagu dah di rakam. Konsep dalam album Tomok nanti konsep Pop Rock, sama macam yang Tomok bawa masa dalam OIAM.

"Antara komposer yang terlibat Aubrey Suwito, Shazzy dan ada satu lagu disumbangkan oleh gitaris kumpulan New Boyz, Afiez.

"Album ini mungkin akan keluar sebelum tahun depan dan single kedua Tomok juga akan keluar pada bulan September atau Oktober tetapi tajuk lagu masih belum di fikirkan lagi," kata Tomok yang turut sibuk dengan menghadiri jemputan majlis berbuka puasa setiap hari.

Ditanya harapannya pada album solonya nanti, Tomok mengatakan dia berharap dapat mengeluarkan 10 lagu di dalam albumnya, namun dia hanya bergantung kepada pasaran kelak.

"Harapan Tomok kalau boleh nak semua 10 lagu tersebut dikeluarkan dalam satu album, tapi Tomok hanya bergantung kepada pasaran dan kalau boleh jika keluar 10 lagu tu, biarlah semuanya berkualiti.

"Ini merupakan projek solo Tomok selepas OIAM, apa yag Tomok lihat orang ramai inginkan sesuatu yang berlainan, jadi Tomok harap akan berjaya," katanya.

Bagi Tomok yang pernah menyepikan diri ketika mengalami zaman kejatuhannya, juga pernah berniaga kecil-kecilan di Banadr Tun Razak bagi mengisi kekosongan masanya.

"Saya pernah berniaga jual ayam goreng berempah di Bandar Tun Razak, saya yang memulakan perniagaan tersebut, tapi kini tiada siapa nak menyambung perniagaan tersebut sebab Tomok pun semakin sibuk.

"Tapi Tomok rasa seronok sangat sebab Tomok pernah merasa berada di atas, kemudian Tomok jatuh dan Alhamdulillah kini Tomok bangkit semula.

"Tomok harap biarlah kali ini ianya berterusan," jelas Tomok yang akan beraya di kampungnya di Rembau, Negeri Sembilan pada tahun ini.

Artikel Sebelum

Artikel Lain