suria

Bapa mertua Raisuddin beri amaran pada wartawan jangan rakam gambarnya!

Wakil peguam Suberi, Salwila Abdullah ketika di luar mahkamah.
Wakil peguam Suberi, Salwila Abdullah ketika di luar mahkamah.
Wakil peguam Suberi, Salwila Abdullah ketika di luar mahkamah.

SHAH ALAM: Bapa mertua penyanyi/aktor Raisuddin Hamzah, Suberi Abdullah hari ini menuding jari, memberi amaran pada wartawan agar tidak mengambil gambar dan menemuramahnya selepas prosiding kes fail hujah faraq nikah dan rayuan penyanyi/aktor Raisuddin,52, dan anaknya, Siti Fatimah Suberi, 22, berakhir.

Gelagat Suberi, 48 tahun, seperti orang tengah marah. Mulutnya terkumat-kamit, tidak tahu apa biji butir yang dikatanya.

Suberi merenung tajam ke arah para media semasa menuruni mahkamah menyebabkan jurugambar dan wartawan langsung tidak berani menghampirinya. Suberi ditemani dua lelaki yang tidak dikenali.

Suberi hadir untuk mendengar permohonannya di Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam.

Walau bagaimanapun, Hakim Syarie, Abu Zaky Mohammad menangguhkan kes fail hujah faraq nikah dan rayuan penyanyi/aktor Raisuddin Hamzah, 52, dan isteri keduanya, Siti Fatimah Suberi, 22, (responden) serta bapa mertuanya Suberi Abdullah (pemohon) ke tarikh 26 Oktober.

Abu Zakry membuat keputusan tersebut selepas mendengar permohonan daripada wakil peguam Suberi, Salwila Abdullah.

Salwila memberitahu hakim bahawa anak guamnya (Suberi) telah memfailkan permohonan rayuan dan dia telah menyerahkan satu salinan kepada pihak responden hari ini.

"Memandangkan fail hujah faraq sementara belum dapat disempurnakan, saya mohon mahkamah agar dapat failkan pada tarikh yang sama (26 Oktober ini)," katanya.

Raisuddin dan Siti tidak hadir ke mahkamah tetapi mereka diwakili peguam syarie Nor Azmi Mohd Arif.

Pada 8 Julai lalu, mahkamah yang sama memutuskan pihak Raisuddin, Siti Fatimah dan Suberi diminta memfailkan hujah faraq nikah pada hari ini (8 September 2009).

Selain itu, Suberi selaku perayu juga diminta untuk memfailkan hujah rayuan bertulis pada tarikh tersebut bilamana Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur tidak mempunyai kuasa untuk mendengar faraq nikah disebabkan kes ini melibatkan poligami.

Kedua-dua kes itu diputuskan oleh Hakim Syarie Abu Zaky Mohammad di hadapan peguam syarie kedua-dua belah pihak iaitu Nor Azmi Mohd Arif dan Roshdan Rafie.

Sementara itu, peguam syarie Nor Azmi Mohd Arif ketika ditemui di luar mahkamah memberitahu, pemohon (Suberi) telah mengemukakan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur yang menetapkan mahkamah tidak mempunyai kuasa untuk mendengar faraq nikah disebabkan kes itu melibatkan poligami.

"Saya bagi pihak responden baru terima pada pagi ini. Jadi saya perlukan masa untuk menyediakan hujah balas.

"Memang saya tidak setuju dengan rayuan itu kerana saya kena sediakan hujah balas. Tarikhnya ialah 26 Oktober 2009. Tarikh itu saya kena failkan hujah balas. Kedua-dua pihak perlu tetapkan hujah. Lepas tarikh itu baru ada keputusan," kata peguam Nor Azmi.

Bagi kes hujah faraq nikah pula, Nor Azmi berkata, beliau telah memfailkan hujah bagi pihak responden (Raisuddin dan Siti Fatimah) hari ini.

"Bagaimanapun, peguam Suberi, Salwila masih belum failkan kerana masalah teknikal dan mohon failkannya pada tarikh yang sama.

"Jadi, tarikh 26 Oktober ini adalah untuk penyempurnaan hujah," katanya.

Raisuddin berkahwin dengan Siti Fatimah di Songkhla, Thailand dengan berwali hakim pada 2 Januari 2007.

Bapa Siti Fatimah, Suberi, 48, kemudiannya memfailkan permohonan untuk memfarakhkan perkahwinan pasangan itu mengikut Seksyen 62(2) Enakmen Pentadbiran Agama Islam Selangor 2003 pada 26 Oktober 2007.

Beliau membuat permohonan itu dengan alasan Siti Fatimah bermastautin di Selangor dan dia sebagai wali mujbir langsung tidak dimaklumkan tentang perkahwinan itu.

(Wali mujbir ertinya wali yang mempunyai bidang kuasa mengahwinkan anak atau cucu perempuan yang masih perawan atau dara tanpa meminta izin perempuan itu terlebih dahulu).

Menurut Mazhab Shafi’e, wali mujbir itu terdiri daripada bapa, datuk dan seterusnya sampai ke atas. Manakala wali-wali lain seperti saudara lelaki kandung sebapa, bapa saudara dan sebagainya bukan wali mujbir iaitu tidak ada bidang kuasa memaksa perempuan berkahwin.

Sementara Raisuddin dan Siti Fatimah pula memfailkan permohonan balas bagi mengesahkan pernikahan mereka di mahkamah yang sama.

Kronologi kes faraq nikah Raisuddin-Siti Fatimah:

6 Februari 2009: Hasrat Raisuddin untuk mengesahkan perkahwinannya dengan Siti Fatimah terbantut apabila mahkamah menolak permohonannya itu.

7 April: Fatimah secara suka rela mengaku bersalah kerana bernikah tanpa kebenaran pendaftar nikah di Songkla, Thailand dengan Raisuddin pada 2 Januari 2007.

17 Jun: Mahkamah memutuskan Raisuddin 'faraq' perkahwinan (berpisah sementara dengan Siti Fatimah). Kes faraq itu dipohon oleh Suberi kerana perkahwinan anaknya, Siti Fatimah dengan Raisuddin diragui walaupun ia telah disahkan oleh pihak mahkamah.

Permohonan faraq itu menghalang Raisuddin dan Siti Fatimah daripada menjalani kehidupan suami isteri.

Artikel Sebelum

Artikel Lain