suria

Muzikal Impak Maksima gah di Singapura

Antara tenaga kerja yang akan terlibat dengan pementasan 'Impak Maksima The Musical'. -foto The Star oleh DARRAN TAN
Antara tenaga kerja yang akan terlibat dengan pementasan 'Impak Maksima The Musical'. -foto The Star oleh DARRAN TAN
Antara tenaga kerja yang akan terlibat dengan pementasan 'Impak Maksima The Musical'. -foto The Star oleh DARRAN TAN

BUKAN hendak meninggi diri dengan tawaran yang diberikan oleh pihak Esplanade Theatre, Singapura untuk mementaskan teater ‘Impak Maksima The Musical’ (IMTM) pada 17 dan 18 Oktober nanti tetapi itulah hakikatnya apabila teater itu merupakan teater kontemporari Malaysia pertama yang dibawa ke sana.

Sebelum ini, Esplanade pernah mementaskan teater ‘Muzikal Puteri Gunung Ledang’ dan ‘Muzikal P Ramlee’.

Apa yang menarik, khabarnya dianggarkan hampir RM1 juta yang akan dilaburkan oleh pihak Esplanade untuk menanggung semua perbelanjaan dari segi kos produksi dan sebagainya kepada team IMTM.

Ini kerana terdapat beberapa perubahan yang akan dilakukan berbanding IMTM yang dipentaskan di Istana Budaya (IB) sebelum ini.

“Perubahan ketara yang ada adalah barisan pelakon dan latar set kerana pentas Esplanade yang berbeza daripada IB.

“Pentas di Esplanade tidak mempunyai pentas yang ‘bergerak-gerak’ seperti di IB, jadi kita kena ubahsuai pentas di Esplanade.

“Dari sudut penceritaan, IMTM mempunyai penambahan babak dan lagu untuk menguatkan setiap watak.

“Kita juga akan menggunakan muzik orkestra secara ‘live’ di sana,” kata pengarahnya, Ahmad Idham Ahmad Nadzri ketika sidang media di Istana Budaya baru-baru ini.

IMTM yang akan dipersembahkan pada 17 dan 18 Oktober tahun ini merupakan sebahagian dari Pesta Raya iaitu Pesta Seni Melayu tahunan yang dianjurkan oleh pihak Esplanade.

Teater muzikal ini diterbitkan oleh Excellent Pictures Sdn. Bhd. dan Global Network Entertainment Sdn. Bhd. dengan sokongan IB, di bawah Kementerian Penerangan, Komunikasi & Kebudayaan Malaysia.

Untuk pementasan ini, Esplanade dan penerbit telah setuju untuk melibatkan kumpulan teater dari Singapura, Panggung Arts untuk memberi sentuhan Singapura pada persembahan di Esplanade nanti seperti menggunakan khidmat penari Singapura, kumpulan Fantastic Four Crew.

Selain itu, pelakon baru yang akan muncul dalam muzikal ini adalah Kamal Adli selaku DK, Mardiana Alwi (Ika) dan anggota baru dari The Fabulous Cats, Wangi (Mimi).

Sementara itu, pelakon yang dikekalkan adalah Zed Zaidi (Ray), Dina Nadzir (Asmida), Adeep The Fabulous Cats (Amran), Cat Farish (Loyai) yang sebelum ini berperanan sebagai pengarah muzik. Mengenai para pelakon, Idham berkata pelakon asal muzikal ini seperti Zulhuzaimy dan Zarina Zainoordin mempunyai komitmen lain yang menyebabkan mereka terpaksa mencari pelakon lain.

“Pelakon yang tidak dapat bersama kami sibuk menjalani pengambaran jadi sebab itu mereka terpaksa tarik diri. Kami memang menawarkan kepada mereka pada mulanya tetapi hanya 70 peratus yang mengesahkan tentang penglibatan mereka dan tiga orang pelakon lagi tidak dapat sertai.

“Bagi saya, para pelakon bukanlah merupakan perkara besar kerana industri kita besar dan boleh tukar dengan yang lain dan yang penting adalah kita sudah membawa jenama tersendiri.

“Selepas ini, kita cuma mengambil kira aspek mutu lakonan dan suara.

“Saya memilih para pelakon baru ini menerusi uji bakat. Misalnya, Kamal terpilih kerana bakatnya dalam tarian dan rasanya ramai yang tidak tahu dia boleh menari. Mardiana pula merupakan pelajar teater dan boleh menyanyi.

“Dengan pemilihan pelakon ini, secara tak langsung artis kita sudah menjadi global kerana kita mempunyai Adeep dari Singapura, Wangi dari Indonesia dan beberapa pelakon dari Sabah dan Sarawak seperti Zizi AF7,” jelas pengarah filem ‘Impak Maksima’ dan drama bersiri ‘Impak Maksima The Series’ ini.

Idham meluahkan yang dia begitu teruja dan mengungkapkan peluang itu ibarat mimpi menjadi kenyataan apabila setelah mendapat peluang mementaskan muzikal itu di Esplanade.

“Bertitik dari situ, saya ingin menjawab tentang perbezaan pendapat tentang kenapa nak pentaskan di IB sebab ia merupakan teater moden pertama. Sekarang saya berani katakan ia layak dipentaskan di IB sebab kita dapat bawa IMTM ke Esplanade.

Tetapi saya tak mahu katakan adakah persembahan ini akan lebih baik atau berbeza dari di IB,” luahnya.

Jelasnya, “Sebelum ini saya fikir agak susah untuk bawakan teater ke pentas dunia kerana saya lebih dikenali menerusi filem.

“Tetapi kita tidak boleh lupakan teater Malaysia untuk dibawa ke persada dunia.

“Kejayaan membawa teater moden ke Esplanade menjadi satu titik semangat untuk teater kita cuma kita perlu memikirkan cara yang diperlukan untuk di bawa ke sana..bukannya tak boleh langsung.

“Moga kolaborasi dengan Panggung Arts tidak akan terhenti di sini. Pintu dah dibuka oleh kami dan berharap teater lain akan mendapat tapak.”

Disebabkan semuanya ditanggung oleh pihak Esplanade, jadi agak kurang kesukaran yang dialami oleh Idham untuk membawa IMTM di sana.

“Saya tidak mempunyai banyak masalah untuk membawa IMTM ke Singapura sebab ia sudah dipentaskan di IB sebelum ini.

“Cuma saya perlu mendapatkan keyakinan dan memikirkan tentang aspek keselamatan untuk memberikan impak yang maksima seperti aksi ‘drift’ tetapi alhamdulillah, semuanya sudah selesai.

“Kita juga sudah menyelesaikan masalah untuk memusingkan kereta semasa aksi ‘drift’ yang dibuat secara ‘live’ nanti,” katanya.

Tambah Idham, diikutkan telah 60 peratus persiapan yang telah dilakukan cuma 40 peratus lagi untuk perkemaskan tempat untuk disesuaikan dengan suasana di Esplanade.

Pihak Esplanade puji kualiti IMTM

Atas kelainan dan kualiti persembahan IMTM, Pegawai Program Esplanade Sdn Bhd, Norhayati Yusoff berkata sebab itu mereka memilih untuk mementaskan teater ini.

“IMTM merupakan teater kontemporari Malaysia yang pertama yang memberikan kelainan dengan pelakon yang muda-muda dan berkebolehan.

“Walaupun pelakonnya telah bertukar tetapi semasa sesi latihan, saya tengok mereka semua dah bersedia untuk ke Esplanade.

“Penonton Melayu di Singapura mesti menyukainya sebab ia menonjolkan tentang permotoran dan ‘drifting’ serta hip hop.

“Dari segi ‘kesegaran’ kita telah berbincang tentang apa yang perlu diperbaiki untuk beri ‘rasa’ kepada Singapura. Kita juga ingin memberi peluang kepada penari di sana untuk bekerja pada tahap ini.

“Mengenai sambutan, kita sudah mula menjual tiket tetapi untuk bulan puasa ini agak ‘slow’ sedikit. Lagipun, ‘pattern’ jualan tiket di sana lebih cepat dijual apabila semakin dekat dengan pementasan,” akhirinya.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain