suria

Umie-Datuk K nikah awal Januari secara tertutup

Anggun...Umie kelihatan jelita dengan persalinan berwarna biru firus hasil rekaan Bill Keith - foto THE STAR oleh RICKY LAI
Anggun...Umie kelihatan jelita dengan persalinan berwarna biru firus hasil rekaan Bill Keith - foto THE STAR oleh RICKY LAI
Anggun...Umie kelihatan jelita dengan persalinan berwarna biru firus hasil rekaan Bill Keith - foto THE STAR oleh RICKY LAI

AKTRES ini pernah rasa serik untuk menerima cinta daripada lelaki gara-gara sering kecewa di dalam setiap hubungan yang dijalinkan sebelum ini. Namun, perkenalannya dengan seorang ahli perniagaan berstatus duda anak dua kira-kira lima bulan lalu nyata telah mengubah pendiriannya itu.

Sejujurnya, Umie Aida tidak menyangka hatinya terbuka juga akhirnya untuk menerima cinta yang diberikan oleh Datuk Khairuddin Abu Hassan, 47, dan setelah majlis merisik dibuat pada 17 Mei lalu, pasangan kekasih ini sepakat untuk meneruskan ikatan hubungan mereka dengan tali pertunangan.

Anggun dengan persalinan rekaan Bill Keith, aktres berusia 36 tahun ini akhirnya sah bergelar tunangan kepada Khairuddin yang dipanggil 'Abang' oleh Umie pada majlis pertunangan mereka yang berlangsung malam tadi di I-Zen, Mont Kiara 1 - kondominium mewah yang dihadiahkan oleh Khairuddin kepadanya sempena perkahwinan mereka kelak.

Pada majlis yang dihadiri oleh kira-kira 200 tetamu yang terdiri daripada ahli keluarga kedua-dua belah pihak, kenalan terdekat dan pihak media itu, Umie menerima tiga barangan hantaran termasuk set barangan kemas berjenama Chopard seperti cincin, subang dan rantai, tepak sirih dan patchi coklat serta dibalas lima barangan seperti kurma bateel, buah strawberry dan bunga rampai.

Turut hadir menyerikan majlis yang bertemakan warna biru dan putih itu adalah selebriti-selebriti tanahair antaranya dua rakan baik Umie iaitu Erra Fazira dan Zahida Rafiq, Noryn Aziz, Lisa Surihani, Nora Danish, Nasha Aziz, Deja Moss, Linda Onn, Betty Banafe, Iqram Dinzly, Ako Mustapha, Chef Wan, Rebecca Nur Al-Islam, Sofea Jane, Jasmin Hamid dan Sharifah Shahora.

Majlis tersebut disempurnakan oleh ibu Khairuddin, Balkish Ahmad, 70, yang menyarungkan cincin pertunangan di jari manis Umie. Khairuddin atau turut digelar Datuk K yang dinanti-nantikan kemunculannya oleh para tetamu bagaimanapun tidak hadir pada majlis pertunangan itu.

Ditemui sejurus berakhirnya majlis itu, dalam nada ceria, Umie memanjatkan rasa bersyukur kerana semuanya berjalan lancar meskipun akui, ramai yang bertanyakan mengapa bakal suaminya itu tidak turut serta di dalam majlis tersebut.

"Sebenarnya, dia ingin mengikut adat. Lagipun, dia jenis yang tidak suka bergambar sangat. Pada Abang, biarlah saya saja yang berada dalam 'limelight' macam ini.

"Tetapi, sekarang ini pun memang ramai yang sudah mengenali siapa bakal suami saya. Cuma dia sendiri belum bersedia untuk tampil berdepan dengan semua. Memang dia seorang yang pemalu.

"Tetapi dua orang anaknya, Mohd Shafiq, 19, dan Mohd Shahir, 16, datang pada malam ini," ujar Umie yang dilamar oleh Khairuddin dua minggu sebelum majlis merisik diadakan.

Menurutnya lagi, majlis akad nikah pula akan menyusul sekitar awal Januari depan, namun aktres ini menegaskan majlis bersejarah mereka itu nanti akan diadakan secara tertutup.

"Saya meminta sedikit ruang untuk kami adakan majlis itu nanti secara privasi. Majlis pernikahan itu akan hanya libatkan keluarga. Ini adalah hasil perbincangan dan persetujuan kedua-dua pihak sebenarnya.

"Saya hanya mampu berkongsi dengan media untuk majlis pertunangan malam ini dan resepsi yang akan diadakan dua minggu selepas bernikah kelak. Tapi apapun untuk media, kami tetap akan edarkan gambar pada majlis pernikahan nanti.

"Saya ingin meminta maaf awal-awal dan saya harap semua pihak dapat menerima keputusan ini," kata Umie.

Buat masa ini, tutur Umie, dia masih belum memikirkan konsep majlis perkahwinan yang akan berlangsung nanti.

"Saya tidak pernah ada impian bentuk majlis perkahwinan yang ingin saya buat. Maklumlah, selama ini saya tidak pernah terfikir untuk berkahwin. Tetapi, saya sudah jumpa tempat istimewa untuk pernikahan nanti.

"Cuma untuk resepsi kelak, saya belum pasti sama ada ingin bersanding atau tidak. Lagipun, saya lebih suka buat secara sederhana saja," jelasnya.

Ditanya tentang persediaannya bergelar isteri, sambil tersenyum, Umie akui, dia memerlukan tempoh untuk cuba menyesuaikan diri dengan status baru apatah lagi selama ini dia sering melakukan sebarang urusan seorang diri.

"Saya cakap pada dia, saya sudah terbiasa buat semua benda sendiri selama saya hidup. Jadi, kena perlahan-lahanlah untuk sesuaikan diri dengan kehidupan rumahtangga.

"Insya-allah, selepas berkahwin nanti kami akan tinggal di rumah ini (I-Zen). Memang ini pemberian Abang, tetapi bukan saja-saja bagi. Sebaliknya, kami akan duduk bersama di rumah ini bersama dua anak angkat saya, Mohd Daniel Firdaus, 16, dan Mohd Zulhilmy, 15.

"Dua orang anaknya pula ketika ini tinggal bersama ibu mereka. Apapun, saya amat mengalu-alukan kehadiran mereka untuk tinggal bersama di rumah ini bila-bila masa saja," kata Umie yang menambah, hubungannya dengan dua anak tirinya itu juga cukup baik.

Cuba mengimbas semula detik hatinya kembali terbuka untuk menerima kehadiran lelaki istimewa di dalam hidupnya, kata Umie, semuanya berlaku cukup pantas sehinggakan dia sendiri 'terlupa' bagaimana dia menyatakan persetujuannya menerima lamaran Khairuddin yang baru dikenalinya secara serius selama lima bulan itu.

"Saya tidak ambil masa yang lama untuk terima lamarannya. Tapi itulah...saya sendiri tak tahu macam mana saya kata 'yes' kepadanya.

"Sebenarnya, sebelum ini dia adalah rakan kongsi kakak saya, Erma Fatima. Ketika itu memang saya tidak bercakap langsung dengannya. Tetapi sebelum arwah bapa saya meninggal tidak lama dulu, Erma ada meminta bantuannya untuk menguruskan proses pertukaran hospital yang merawat bapa saya.

"Dari situlah saya mula mengenali dia. Lama-kelamaan, saya nampak kejujurannya. Saya akui, dia mempunyai karektor yang berbeza dengan saya. Saya jenis yang aktif dan dia agak pemalu.

"Tapi, saya tertarik dengan dia kerana dapat menerima anak-anak angkat saya serta keluarga. Bagi saya, tidak kiralah sekaya mana pun seseorang itu, kalau dia tidak boleh menerima keluarga saya, tidak ada gunanya.

"Tapi berbeza dengan Abang. Dia melakukannya secara perlahan-lahan dan sentiasa ambil berat terhadap anak-anak saya dan ahli keluarga yang lain. Dan itulah yang membuatkan saya yakin dengannya," ujar Umie tentang tunangnya yang sebelum ini hidup menduda selama 15 tahun.

Dalam pada itu, Umie turut meminta semua pihak agar tidak melabelkan Khairuddin sebagai 'jutawan' seperti mana yang sering diwar-warkan.

"Dia sebenarnya adalah ahli perniagaan biasa, bukanlah jutawan seperti yang digembar-gemburkan. Bila timbulnya perkara itu, dia dan keluarganya jadi tidak selesa.

"Dan saya juga tidak mahu ada pihak yang ingin memanggil saya Datin. Itu semua tidak perlulah," luah Umie yang akan meneruskan karier seninya seperti biasa selain cuba menjalankan bisnes sendiri seperti mana yang digalakkan oleh Khairuddin.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain