PELANTUN lagu 'Mungkinkah' ini tidak pernah patah semangat apabila langkah awalnya di dalam bidang seni kurang 'menjadi'.Bersandarkan kepada album sulungnya yang dipasarkan kira-kira dua tahun lalu, Sheila tampil dengan tiga single daripada album tersebut, namun entah di mana silapnya, hanya lagu Mungkinkah yang dikenali ramai. Nama Sheila kemudiannya dilihat terus 'suram' selepas syarikat rakaman yang dinaunginya, EMI Music tidak lagi beroperasi.Akui anak didik komposer Adnan Abu Hassan ini, dia tidak menafikan karier seninya ketika itu juga seperti 'terumbang-ambing'.Malah, tawaran mengadakan 'show' juga makin berkurangan ketika itu kerana kata Sheila, pasti ada yang menganggap dia tidak lagi terbabit di dalam bidang seni.Namun begitu, biar apa pun yang berlaku, penyanyi berusia 21 tahun ini tidak pernah sesekali rasa putus asa.Tutur Sheila, dia bersyukur kerana selain sokongan padu keluarga, dia turut mendapat dorongan daripada kekasih hatinya yang banyak memberikan kata-kata semangat agar dia terus cuba berusaha memastikan kariernya tidak berkubur begitu saja."Saya memang tidak tahu apa yang perlu dibuat ketika itu. Walaupun dia tidak terlibat dalam industri ini, tetapi dia banyak beri galakan agar saya buat inisiatif sendiri. Saya bersyukur ada seseorang sepertinya di sisi saya tatkala saya mengharungi semua itu."Dan selepas syarikat pengurusan saya pula, SRD Villa Records milik Abang Dee (Adnan Abu Hassan) turut melepaskan saya kerana syarikat itu tidak lagi menguruskan artis, saya terus ambil inisiatif untuk buka syarikat pengurusan saya sendiri, Purple Dot Agensi baru-baru ini."Dia (teman lelaki) banyak memberi galakan untuk saya menubuhkan syarikat ini,"kata Sheila tentang jejaka yang dikenalinya ketika baru menceburi bidang seni sekitar dua tahun lalu.Menurut Sheila, buat masa ini, Purple Dot Agensi hanya menguruskan karier seninya dan jika berpeluang kelak, dia juga ingin mempunyai artis naungan sendiri kelak."Benda ini masih baru buat saya. Jika sudah berpengalaman nanti, saya memang terfikir untuk uruskan karier artis lain juga."Buat masa ini pun, segala kerja saya lakukan di rumah saja kerana untuk ada pejabat sendiri, semua itu memerlukan modal yang tinggi," katanya yang menambah, perjalanan syarikat tersebut turut dibantu oleh teman lelakinya itu yang juga merupakan seorang ahli perniagaan muda.Bukan saja berjaya menubuhkan syarikat pengurusan sendiri, Sheila juga bersyukur apabila Dream Music, anak syarikat kepada Dream Chorus, turut berminat mengambilnya sebagai artis rakaman tatkala dia sedang mencari hala tujunya di dalam bidang ini.Mengibaratkan tawaran itu seperti bulan jatuh ke riba, juara pertandingan Suara Bintang Adnan Abu Hassan 2006 bagi kategori zon selatan ini berkata, dia ingin menggunakan peluang yang diberikan itu sebaik mungkin."Kita mungkin tidak akan tumpukan kepada pembikinan album penuh, tetapi akan membuat single saja dan fokus kepada penjualan muat turun lagu. Setakat ini, penghasilan single masih lagi di dalam perbincangan."Kali ini, saya ingin tampil dengan konsep yang berbeza...lebih terkini dan segar, sesuai untuk generasi muda seperti saya. Mungkin saya akan ketengahkan genre pop eksperimental , tidak lagi 'pop ballad' yang saya bawakan menerusi album pertama dulu," katanya.Turut menyertai Sheila sebagai artis Dream Music antara lain ialah Claudia dan Aishah AF7.Dalam pada itu, gadis yang berasal dari Johor ini juga menegaskan, hubungan dengan mentornya, Adnan Abu Hassan juga masih baik walaupun dia tidak lagi berada di bawah pengurusan komposer tersohor itu."Walaupun tidak lagi bekerjasama dengan dia, kami masih baik. Lagipun, SRD melepaskan saya dengan cara baik, memandangkan mereka tidak menguruskan lagi artis. Jadi, saya dan seorang lagi penyanyi di bawah SRD dulu, Ian Helmi menerima keputusan itu," kata Sheila.