suria

Watak Natrah kini milik Maya Karin, Sofea Jane

Maya Karin dikatakan amat berminat untuk membawakan watak Natrah dan telah mengesahkan pembabitannya di dalam teater itu
Maya Karin dikatakan amat berminat untuk membawakan watak Natrah dan telah mengesahkan pembabitannya di dalam teater itu
Maya Karin dikatakan amat berminat untuk membawakan watak Natrah dan telah mengesahkan pembabitannya di dalam teater itu

PENGUMUMAN barisan pelakon utama teater Natrah arahan Erma Fatimah yang bakal dipentaskan di Istana Budaya (IB) sudah pun dilakukan sebelum Hari Raya Aidilfitri yang lalu.

Pelakon muda, Diana Danielle telah diberi kepercayaan untuk membawakan watak Natrah, gadis Belanda yang menjadi antara ibu angkat dan keluarga kandungnya sehingga mencetuskan 'Rusuhan Natrah' sekitar era 50an dulu, setelah masyarakat Islam di Singapura dan Tanah Melayu kecewa gadis itu akan dimurtadkan.

Turut membintangi teater yang dicetuskan oleh Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Dr Rais Yatim ini ialah Remy Ishak memegang watak Mansor Adabi, suami kepada Natrah dan Umie Aida sebagai ibu angkat Natrah, Che Aminah.

Namun, timbul pula perkhabaran baru yang mengatakan Diana Danielle menuntut bayaran yang tinggi untuk watak Natrah.

Hal itu telah mencetuskan sedikit masalah dalam perjalanan produksi itu yang sepatutnya dipentaskan bulan depan.

Bukan saja pementasan itu dikatakan telah ditunda, malah, watak Diana juga mungkin akan diserahkan kepada pelakon lain.

Mengulas mengenai perkara ini, Ketua Pengarah Istana Budaya, Mohamed Juhari Shaarani mengesahkan Diana tidak lagi membawakan watak tersebut dan tempat itu bakal digantikan oleh aktres popular Maya Karin dan Sofea Jane.

Maya akan membawakan watak Natrah ketika zaman remaja sekitar usia 13 tahun manakala Sofea akan memainkan peranan Natrah ketika tua.

"Perkara ini tidak berlaku kekecohan pun. Malah, pengunduran Diana juga dibuat secara baik. Pihak IB dan produksi tidak langsung mempunyai masalah dengannya tentang perkara ini.

"Apa yang boleh saya ulaskan, berlakon teater di Malaysian ini bayarannya memang sangat minima. Kita bayar pelakon mengikut peraturan yang ditetapkan kerajaan serta berdasarkan 'star rating' artis itu.

"Paling tinggi IB pernah bayar kepada pelakon ialah RM10,000. Sebelum ini, kita tidak pernah ada masalah tentang bayaran. Tapi kami faham, ini adalah kali pertama Diana berlakon teater dan mungkin dia 'terkejut' sedikit dengan perkara ini.

"Tetapi saya secara peribadi berharap agar dapat bekerjasama dengan Diana untuk projek-projek lain. Mungkin buat masa ini belum ada rezeki apatah lagi dia juga kena meletakkan komitmen yang tinggi sebagai pelajar," kata Juhari ketika dihubungi.

Malah kata Juhari lagi, pementasan yang sepatutnya berlangsung pada 17 hingga 25 November depan itu yang akhirnya terpaksa ditunda ke hujung tahun bukan disebabkan masalah penarikan diri Diana.

"Kita ubahkan tarikh pementasan kerana pada 14 November, sebuah program RTM iaitu peringkat akhir Penyampai Ikon akan diadakan di IB. Jadi kami tidak mahu timbul masalah pula.

"Disebabkan itu, kami memilih tarikh baru iaitu 30 November hingga 9 Disember depan untuk mementaskan teater ini dan pada masa yang sama, pelakon-pelakon mempunyai masa yang lebih untuk berlatih," katanya.

Ditanya tentang pemilihan Maya dan Sofea, ujar Juhari, dia sendiri tidak menyangka kedua-duanya berminat untuk membawakan watak Natrah apatah lagi mereka adalah antara nama besar di dalam industri ini.

"Pada awalnya, saya dan Erma hanya main-main saja tawarkan pada Maya baru-baru ini kerana sebelum ini, dia asyik menolak setiap kali kita tawarkan dia berlakon teater. Tak sangka pula dia begitu teruja dan dia tidak kisah tentang bayaran.

"Kata Maya, sewaktu ada ura-ura IB akan mementaskan muzikal Natrah dalam bahasa Inggeris lima tahun lalu, dia memang berminat untuk berlakon. Nampaknya, watak Natrah itu memang sudah rezekinya.

"Secara peribadi, saya sendiri tidak percaya dia sudi jadi Natrah. Malah, ketika kami sampaikan perkara ini kepada penasihat teater ini, Datin Fatini Yaacob, dia juga merasakan karektor dan gaya bahasa Maya mirip Natrah.

"Tentang faktor fizikal seperti wajah, itu tidak ada masalah kerana kita boleh atasinya menerusi teknik solekan.

"Kami juga berbangga kerana Sofea Jane juga turut bersetuju menjadi Natrah setelah membaca skrip tersebut. Rasanya sudah lama juga dia tidak berlakon teater," kata Juhari.

Selain itu, Sharifah Sofea juga mungkin akan membawakan watak Adeline, ibu kandung kepada Natrah. Sidang media bagi mengumumkan Maya dan Sofea Jane sebagai Natrah juga diadakan pada hari ini di IB.

Dalam pada itu, Diana yang dihubungi semalam belum bersedia untuk mengulas lanjut tentang penarikan dirinya daripada membawakan watak Natrah.

"Saya rasa lebih elok perkara ini biar IB yang bercakap. Bila mereka sudah berikan penjelasan nanti, barulah saya rasa sesuai untuk saya mengulas.

"Lagipun, saya tidak mahu dilihat seperti tidak menghormati mana-mana pihak, apatah lagi ini adalah projek kerajaan," kata pelakon berusia 18 tahun ini.

Kisah Natrah pernah mencetuskan kontroversi yang membawa kepada rusuhan sehingga menyebabkan seramai 18 orang terbunuh dan lebih 200 orang cedera dalam pertempuran dengan tentera dan polis British.

Malah, 'kemenangan' yang diraih oleh British kerana berjaya dalam perebutan itu sebenarnya membuatkan masyarakat amat sedih dan simpati kerana impaknya adalah pada Natrah yang cukup menderita sepanjang hidupnya, sehinggalah dia meninggal dunia pada 8 Julai lalu diHuijbergen, Belanda, pada usia 72 tahun setelah menderita akibat penyakit leukemia.

Artikel Berikut

Artikel Lain