suria

Azwan Layangkan Surat Kemaafan Dan Damai Melalui Peguam

Azwan Ali ketika menghoskan rumah terbuka Hari Raya baru-baru ini. -Foto THE STAR oleh SHAARI CHE MAT
Azwan Ali ketika menghoskan rumah terbuka Hari Raya baru-baru ini. -Foto THE STAR oleh SHAARI CHE MAT
Azwan Ali ketika menghoskan rumah terbuka Hari Raya baru-baru ini. -Foto THE STAR oleh SHAARI CHE MAT

PENGACARA sensasi, Azwan Ali akhirnya merungkai 'kisah misterinya' bersama tiga wartawan. Dan tanda tanya siapakah wartawan-wartawan yang pernah mempunyai hubungan keruh dengan selebriti terkenal itu kini terjawab.

Semalam, Azwan menerusi surat permohonan maaf yang dikirim melalui Tetuan Sidek Teoh Wong & Dennis, memohon agar pertikaian dan salah faham yang berlaku antara beliau dan wartawan hiburan Ku Seman Ku Hussain, Niezam Abdullah dan Tengku Khalidah Tengku Bidin dapat diselesaikan segera.

Dalam surat itu Azwan memohon untuk menjalinkan hubungan baik dengan tiga wartawan berkenaan dan melupakan segala sengketa yang pernah terjadi sebelum ini.

"Isu ini sudah tiga tahun. Saya rasa hikmah di sebalik kemelut ini adalah Azwan Ali tergamak menghantar notis amaran kepada pihak media yang menjadi tanda tanya selama tiga tahun. Dan saya pula tidak pernah 'declare' secara hitam putih siapakah wartawan-wartawan itu.

"Jauh di sudut hati, ini adalah kerana saya masih menghormati dan mengenang jasa sekelompok dari mereka. Biarpun ramai yang sudah tahu siapa mereka, tetapi peminat Azwan sendiri tertanya-tanya dan nama-nama wartawan itu terus menjadi misteri hingga ke hari ini," jelas pengacara yang sudah banyak muhasabah diri sejak kebelakangan ini.

Menurut Azwan, kesan dari tindakannya menghantar 'notis amaran' kepada tiga wartawan itu, ia menggambarkan seolah-olah beliau yang 'ban' atau larang wartawan untuk menulis pasal dirinya atau menggunakan gambarnya. Perkara sebegini tidak pernah berlaku sebelum ini kerana selalunya pihak wartawan yang akan berbuat demikian.

"Kesan dari tindakan saya menghantar 'notis amaran' itu, bermacam-macam perkara yang dah timbul. Ada yang mengharamkan saya, sebahagian menyokong dan ada yang tidak menyokong.

"Bayangkan, usul yang dibuat oleh Wham telah menyebabkan ada yang tidak menyokong saya. Tetapi saya bersyukur, masih ada juga yang menyokong saya," kata pengarah, penulis skrip dan pelakon ini.

Kata Azwan, dia senantiasa mendoakan segala kekusutan perhubungannya dengan media akan dapat diselesaikan. Petunjuk yang beliau dapat ketika menunaikan umrah baru-baru ini membuat dia terpana dengan keesaan Allah.

"Alhamdulillah, saya telah diberi petunjuk di sana... timbul keinsafan untuk berdamai secara all out. Bukan sekadar cakap-cakap saja, saya perlu serius lagi. Maka sebab itu, saya mengusulkan membuat surat kemaafan melalui peguam saya, John Clark Sugumod.

"Peguam saya setuju dengan cara saya untuk menarik balik notis amaran itu. Selagi notis amaran itu ada, sukar bagi pihak Utusan Malaysia untuk melupakan episod saya itu. Diharap dengan surat kemaafan dan kedamaian ini akan pulihlah hubungan kami semula," jelas Azwan.

Semalam, ketika diberitahu laporan surat kemaafan telah tersiar di dalam akhbar, Azwan hanya mampu memanjatkan rasa kesyukuran. "Laporan itu adalah hadiah pagi Jumaat untuk saya. Itu semua rahmat dari Allah. Saya yakin ianya akan disambut baik oleh wartawan-wartawan berkenaan," katanya.

Bagi Azwan, apa yang telah dilaluinya kesan dari tindakan notis amarannya kepada wartawan adalah satu pengajaran yang cukup baik.

"Kepada ketiga-tiga wartawan itu, saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih kerana pada minggu saya buat 'open house', saya sudah pun mendapat reaksi positif melalui teman-teman Utusan dan teman seperjuangan yang mana, maaf saya sudah lama diterima mereka.

"Tapi saya masih menantikan saat-saat untuk berjabat tangan dan berpelukan mesra kerana kami belum berkesempatan untuk bertemu. Kalau berjumpa, saya akan jadi orang pertama untuk menghulurkan tangan," jelas pengacara berusia 42 tahun itu.

Notis amaran yang dilayangkan peguam Azwan telah dihantar pada 7 November 2007, di mana intipatinya tidak membenarkan Utusan Melayu (M) Berhad dan tiga wartawan tersebut menulis berita mengenainya.

Ia berikutan rasa tidak puas hati Azwan terhadap beberapa kritikan yang ditulis oleh wartawan terlibat sebelum itu.

Berikutan permintaan Azwan tersebut, Utusan Melayu (M) Berhad membuat keputusan untuk tidak memberikan sebarang publisiti terhadap beliau.

Krisis melibatkan pengacara itu dengan wartawan berkenaan bertambah parah apabila beliau menyindir mereka melalui beberapa program hiburan televisyen dan juga blognya.

Masalah yang berlaku itu mendapat reaksi Persatuan Wartawan & Penulis Hiburan Malaysia (Wham) yang turut melarang media masa di negara ini memberi publisiti terhadap Azwan Ali.

Kini, Azwan berkata, dia boleh menarik nafas lega kerana bagaikan terlepas segala bebanan permasalahan yang dipukulnya selama ini.

"Saya bersikap terbuka dalam hal ini. Saya menyeru seluruh artis Malaysia, janganlah jadi seperti saya. Dendam kita kepada media tidak membawa sebesar hama keuntungan pun. Ini adalah satu pengajaran kepada semua artis.

Azwan turut menitipkan nasihat kepada golongan artis yang mempunyai masalah dengan segelintir wartawan.

"Ada dua pilihan saja untuk berdepan dengan wartawan yang menulis bukan-bukan dan tidak beretika.

"Sama ada saman mereka dengan bukti-bukti yang benar-benar kukuh atau menyepikan diri saja. Kalau tak ada bukti, hendak saman buat apa?. Baik lupakan saja dan move on," kata Azwan.

Akhir sekali, Azwan menaruh harapan yang permohonan maafnya akan dapat menjernihkan keadaan dan mengukuhkan silaturahim dengan semua pihak.

"Janganlah dicanang, diungkit dan dipanjangkan lagi sengketa ini. Cukuplah saya menyatakan kesilapan dan kemaafan saya ini," katanya.

Artikel Sebelum

Artikel Lain