suria

Faizal Makan Pil Tahan Sakit Demi Hiburkan Peminat

Faizal bergambar bersama Shila OIAM semasa konsert Fly FM pada Sabtu lalu.
Faizal bergambar bersama Shila OIAM semasa konsert Fly FM pada Sabtu lalu.
Faizal bergambar bersama Shila OIAM semasa konsert Fly FM pada Sabtu lalu.

PENYANYI tersohor, Faizal Tahir mengakui terpaksa makan pil tahan sakit semata-mata untuk menghiburkan peminat-peminatnya selepas membuat persembahan di konsert "Fly FM's 4th Fly-Anniversary".

Faizal, yang ditemui di konsert yang berlangsung di Central Park Avenue, 1 Utama, Bandar Utama pada minggu lepas, kelihatan masih bertenaga walaupun terpaksa menahan kesakitan.

Malah, pelantun lagu 'Bencinta' itu memberi tumpuan penuh kepada persembahan bertenaganya di atas pentas walaupun lutut kanannya masih belum pulih sepenuhnya.

Biarpun pergerakan atas pentas agak terbatas, lontaran suaranya tetap memukau kira-kira 10,000 penonton yang tidak berganjak dari pentas walaupun hujan.

"Semasa berseronok di atas pentas, saya langsung tidak fikir tentang kesakitan pada lutut kanan atau samada saya telah berikan persembahan yang terbaik.

"Saya hanya ingin bergembira dan menghiburkan para hadirin. Selepas ini, saya kena makan pil penahan sakit semula apabila balik ke rumah," katanya ketika ditemui selepas membuat persembahan sebagai artis undangan.

Faizal turut mendendangkan Medley Michael Jackson termasuk Thriller, Smooth Criminal, Human Nature, Man In The Mirror, Black Or White, They Don't Care About Us dan Beat It.

Beberapa hari sebelum menjelang Hari Raya tahun ini, Faizal menjalani pembedahan lutut kanannya di Hospital Prince Court, Kuala Lumpur selepas tercedera kerana bermain futsal di 1 Utama.

Kata Faizal, kecederaan lutut kanannya itu sudah berlarutan selama 11 tahun akibat bermain bola sepak.

Namun, Naib juara musim pertama rancangan realiti One In A Million (OIAM) ini tidak menyesal menjalani pembedahan sekarang kerana itu adalah tindakan terbaik.

"Saya sedar saya terpaksa membatalkan beberapa pertunjukan selepas pembedahan itu.

"Memang ia menjejaskan sumber pendapatan saya tapi saya tak nak membuat persembahan dengan bertongkat," jelas Faizal yang pada mulanya tidak menjalani pembedahan kerana bimbang ia akan mengganggu kerjayanya.

Ditanya sama ada kecederaan di lutut kanannya akan menjejaskan persiapannya di peringkat separuh akhir Muzik-Muzik 2009 nanti pada 20 November ini, Faizal berkata:

"Saya tidak akan beraksi 'selincah' macam malam ini. Saya mungkin duduk sambil menyanyi," katanya yang pernah merangkul tiga anugerah untuk lagu 'Sampai Syurga' iaitu hadiah Persembahan Terbaik, Vokal Terbaik dan Lagu Balada Terbaik di Anugerah Juara Lagu ke-23 pada awal 2009.

Pada pertengahan tahun ini, Faizal juga merangkul empat anugerah di majlis Anugerah Industri Muzik ke-15 iaitu Album Terbaik, Persembahan Vokal Terbaik dalam Album (Lelaki), Album Rock Terbaik dan Artis Baru Terbaik.

Faizal yang memilih genre pop-rock sebagai genre lagu nyanyiannya berkata dia tidak meletakkan harapan tinggi kerana persaingan kali ini sangat sengit.

Katanya, selain tiada kategori untuk lagu-lagu yang dipertandingkan, semua lagu adalah antara yang terbaik.

Pada pertandingan separuh akhir Muzik-Muzik 2009 di Sri Pentas 2, Shah Alam pada minggu hadapan, Faizal Tahir akan mempertaruhkan lagunya, 'Bencinta'.

Faizal yang selalu mendapat jolokan 'Superman' akan berentap dengan Bunkface (Situasi), Tomok (Rindu Terhenti), Stacy (Pakai Buang), Jinbara (Patri), Aizat (Pergi), Misha Omar (Cinta Adam dan Hawa), Hafiz (Masih Jelas), dan Noraniza Idris (Enjut).

Dalam perkembangan berkaitan, Faizal memberitahu dia mengeluarkan album baru pada bulan Disember ini.

Bagaimanapun, dia tidak dapat memberikan tajuk album itu dan berharap dapat memuatkan 10 buah lagu dalam album terbarunya itu.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain