suria

AJL24: Lagu Etnik Kreatif Terus Tenggelam?

EMPAT belas buah lagu yang akan berentap di Anugerah Juara Lagu ke-24 (AJL24) pada 10 Januari depan di Stadium Putra Bukit Jalil sudah pun diumumkan.

Lagu-lagu tersebut adalah Aurora nyanyian Estranged ciptaan serta lirik oleh kumpulan itu sendiri, Bengang (Akim/Amir/Sheikh Qalam), Aku Skandal (Hujan/Noh), Tak Mungkin Kerana Sayang (Alyah/Ajai/Habsah Hassan), Masih Jelas (Hafiz/Aidit Alfian/Ad Samad), Pakai Buang (Stacy/Edry), Kau Aku (Aizat) dan Cinta Adam Dan Hawa (Misha Omar/Azmeer/ Loloq).

Turut layak ialah Bencinta nyanyian Shila OIAM menggantikan penyanyi asalnya Faizal Tahir ciptaan Audi Mok dan lirik oleh Faizal sendiri, Aku Rindu Sayang Kamu (Black/Yuzai), Dan Sebenarnya (Yuna/Yuna, Paan, Efry dan Aidil), Situasi (Bunkface/Sam), Pergi (Aizat/Pete Teo/Amran Omar) dan Rindu Terhenti (Tomok/Aubrey Suwito/Tinta).

Empat belas buah lagu yang terpilih itu dibuat berdasarkan 30 peratus markah persembahan pada pusingan separuh akhir yang berlangsung di dalam tiga peringkat dan dicampur dengan 70 peratus markah penilaian lagu yang dibuat sebelum persembahan bagi mendapat markah keseluruhan.

Barisan juri profesional yang terlibat ialah Azlan Abu Hassan, Moharis Yaakub, Ahadiat Akashah, Helen Yap dan Azhar Borhan yang bertindak selaku ketua juri.

Walaupun tahun ini AJL24 memperkenalkan konsep terbuka tanpa sebarang kategori lagi iaitu Pop Rock, Balada dan Etnik Kreatif, namun melihat kepada senarai lagu yang layak ke peringkat akhir itu, tiada langsung lagu daripada kelompok Etnik Kreatif yang mara ke malam kemuncak itu.

Malah, sejak pemilihan ke separuh akhir lagi, penyertaan lagu-lagu Etnik Kreatif dikatakan memang amat mengecewakan.

Lantaran itu, ditanya sama ada format tanpa kategori ini sebenarnya lebih baik berbanding pembahagian lagu mengikut kategori, kata Pengurus Produksi Hiburan Primeworks Studio, Fadzliniza Zakaria, perkara ini secara tidak langsung merupakan satu cabaran buat komposer-komposer tempatan.

"Ini adalah tahun pertama kita perkenalkan format pertandingan tanpa kategori. Memang nampaknya tahun ini tidak ada langsung lagu Etnik Kreatif ke peringkat akhir, tapi mungkin pada tahun depan akan ada, itu semua kita tidak boleh jangka.

"Apa yang kita harapkan untuk tahun-tahun seterusnya, penciptaan lagu akan lebih baik. Bagi saya, format tanpa kategori ini adalah satu cabaran untuk komposer menghasilkan lagu yang berkualiti," kata Fadzliniza.

Ketua juri, Azhar Borhan pula berkata, 14 buah lagu yang terpilih ini adalah berdasarkan penilaian juri dan secara kebetulan pula, lagu Etnik Kreatif tidak tersenarai.

"Setiap tahun, kita memang susah untuk memilih lagu-lagu terbaik ke 'final' AJL.

"Tidak dinafikan, kami beri keutamaan kepada lagu, tetapi apabila kami melihat persembahan di malam separuh akhir, impak daripada persembahan itu juga memberi kesan pada pemilihan.

"Kalau nak dibandingkan dengan dulu, memang kali ini tiada langsung lagu Etnik yang mara. Saya pun tak tahu sama ada ini petanda negatif atau tidak. Tetapi ini adalah secara kebetulan saja," ujar Azhar.

Mengulas lanjut tentang format tanpa kategori itu, kata Fadzliniza, ini juga bermaksud hanya gelaran utama iaitu Juara Lagu yang akan ditentukan pada malam itu berserta kategori Vokal Terbaik dan Persembahan Terbaik.

"Tetapi kita tidak menolak kemungkinan untuk mewujudkan hadiah-hadiah lain juga selain Juara Lagu, Vokal dan Persembahan Terbaik. Perkara itu kita akan tetapkan kemudian dan akan umumkan pada sidang media 15 Disember nanti.

"Kita juga akan adakan taklimat dengan finalis-finalis nanti untuk beritahu apa lagi hadiah yang kita akan berikan pada malam kemuncak itu nanti.

"Dan memandangkan tiada lagi juara bagi setiap kategori, kami juga ada mencadangkan untuk meningkatkan jumlah wang kemenangan. Tetapi buat masa ini kami masih dalam perbincangan dengan pihak berkenaan," ujarnya.

Ditanya tentang barisan juri yang akan membuat penilaian lagu-lagu di AJL24 nanti, kata Fadzliniza, seperti tahun-tahun terdahulu, sembilan orang juri akan dilantik.

Namun, ketika mengulas mengenai pembabitan novelis Ahadiat Akashah sebagai juri pada separuh akhir Muzik-Muzik kali ini yang dikatakan banyak pihak kurang 'sesuai, ujar Fadzliniza:

"Novelis lebih kepada penulisan kreatif yang mana lirik lagu juga menjurus kepada aspek kreatif juga. Jadi, pemilihan Akashah adalah relevan.

"Saya akui, perkara ini memang susah untuk diperjelaskan. Dulu kita pernah menjemput ahli akademik sebagai juri, tetapi itu pun memberikan masalah juga kerana mereka terlalu menekankan dari aspek tatabahasa," katanya.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain