suria

Pementasan Bangsawan Tindakan Pemeliharaan Warisan

PEMENTASAN bangsawan dilihat sebagai tindakan pemeliharaan warisan negara kerana kesenian bangsawan itu sendiri telah diangkat sebagai Warisan Kebangsaan sejak dua tahun lepas, kata Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Dr Rais Yatim.

Beliau berkata kesenian bangsawan merupakan kesenian rakyat yang banyak membawakan elemen masyarakat zaman lampau khususnya feudal dan semasa ke dunia pentas.

Katanya pementasan bangsawan juga sarat dengan pengajaran yang boleh diterima pakai seperti menyelitkan mesej perpaduan di kalangan masyarakat kini, kesopanan dan pengamalan nilainilai murni.

"Justeru, pementasan ini diharap dapat menarik perhatian generasi muda untuk mengenali lebih dekat kesenian ini dan seterusnya menjadikan mereka sebagai pelapis kepada kesinambungan warisan kesenian ini," katanya dalam buku cenderahati teater bangsawan "Tun Fatimah Srikandi Melaka".

Teater bangsawan itu, yang diarahkan oleh pengarah berpengalaman Abdul Rahman Abu Bakar atau Rahman B, berlangsung selama tiga bermula semalam dan dipentaskan di Pusat Pelancongan Malaysia (Matic) di sini.

Rais berkata kerjasama yang baik di kalangan agensi kementerian dilihat mampu merealisasikan warisan negara dibawa ke tengah masyarakat.

Dalam pada itu, beliau turut mengucapkan setinggi penghargaan dan tahniah kepada penganjur teater bangsawan Tun Fatimah Srikandi Melaka iaitu Jabatan Warisan Negara dalam usahanya membawa kesenian negara kepada khalayak masyarakat.

Cerita bangsawan merupakan satu persembahan drama tradisi yang mengisahkan raja-raja yang melibatkan alam kayangan dan nyata.

Sementara itu, pementasan teater Tun Fatimah Srikandi Melaka berkisar tentang perjuangan srikandi itu menegakkan keadilan terhadap kematian ayahandanya, Datuk Bendahara Tun Mutakhir yang dihukum bunuh oleh Sultan Mahmud Shah akibat difitnah Datuk Mendeliar.

Objektif pementasan itu, antara lain adalah untuk memartabatkan bangsawan sebagai salah satu produk seni dari Pulau Pinang bersempena pengisytiharaan George Town sebagai Tapak Warisan Dunia oleh Pertubuhan Pendidikan Sains dan Kebudayaan Pertubuhan BangsaBangsa Bersatu (Unesco).

Selain itu, skrip yang berkisarkan tentang sejarah Kesultanan Melayu Melaka juga mempunyai hubung kait pengiktirafan Melaka sebagai Tapak Warisan Dunia oleh Unesco. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain