suria

Beego Ingin Bercinta

Beego ingin buka lembaran baru dalam hidupnya dan bersedia untuk bercinta
Beego ingin buka lembaran baru dalam hidupnya dan bersedia untuk bercinta
Beego ingin buka lembaran baru dalam hidupnya dan bersedia untuk bercinta

BUANG saja cerita lama. Biar kisah duka yang pernah singgah di dalam jurnal hidupnya diabadikan erat-erat. Bangkit dari kesedihan lalu, Beego atau nama sebenar Muhammad Aszerul Nizam Abdullah, 29, enggan menoleh ke belakang lagi.

Padanya, biar kisah hitam itu tinggal kenangan dan pengajaran untuknya menghadapi hari muka. Berbekalkan tekad dan semangat, anak muda ini terus melangkah ke hadapan demi cabang seni yang yang dicintainya. Kini, Beego kembali bersinar dan hari-harinya sibuk dipenuhi dengan pelbagai projek drama dan filem.

Menurut bintang utama drama siri terbaru, 'Aliff Firdaus' ini, kehidupannya kini kembali baik dan stabil seperti dulu. Biarpun kembali solo, namun status itu sedikit pun tidak merimaskan jejaka kelahiran Johor Bahru, Johor ini.

"Alhamdulillah, kehidupan saya kini bahagia dan saya sangat gembira. Walaupun saya kembali bujang, tetapi saya cukup selesa dengan kehidupan hari ini.

"Pada saya, semua cerita lama itu telah pun saya buang jauh-jauh. Semua pengajaran dan pengalaman lalu saya ambil sebagai bekalan untuk menempuh hari-hari mendatang.

"Saya amat bersyukur kerana terus diberi peluang dan ruang di dalam industri ini. Walaupun saya pernah hilang fokus sedikit masa dulu, saya berjaya atasi semua itu dan kembali bersemangat untuk teruskan kehidupan. Hari-hari saya kini dipenuhi dengan pelbagai projek drama TV dan filem," katanya.

Apabila ditebak dengan pertanyaan mengenai status terbarunya, Beego sedikit tergelak sebelum menyambung semula perbualan. Sambil menarik nafas seketika, Beego berkata, dia kini lebih selesa berkawan dengan ramai orang dan terbuka untuk kembali berpacaran.

Meskipun perihal keruntuhan rumah tangganya bersama Intan Shahira Mohd Shahru menemui noktahnya secara rasmi pada 16 Mac lalu pernah membuatkan Beego hampir hilang arah tuju, ia tidak sedikit pun menerbitkan perasaan serik padanya. Malah, Beego kini cukup bersedia untuk kembali berkasihan.

Apabila diusik, adakah dia kini sedang bercinta, aktor yang terkenal melalui watak Roslan menerusi drama bersiri popular, 'Puteri' itu sekadar membalas dengan hilai tawa dan enggan mengulas lanjut. Meskipun si empunya badan enggan bercerita, namun reaksi spontannya itu seperti mengiyakan kebenaran cerita itu.

"Saya tidak mahu komen tentang perkara itu. Cuma apa yang boleh saya katakan, saya tidak serik atau putus asa untuk kembali bercinta.

"Walaupun kadangkala saya terasa sedikit sunyi, tetapi mujurlah saya mempunyai ramai kawan yang boleh mengisi kesunyian itu," ujar Beego dengan ringkas.

Beralih kepada perkembangan kariernya, Beego kini sedang sibuk dengan penggambaran drama rantaian terbaru berjudul 'Aliff Firdaus' arahan pengarah Rashid Sibir.

Memainkan watak utama sebagai Aliff, Beego sekali lagi bakal mempamerkan permainan emosi dan gerak lakon yang menuntut penghayatan yang kuat.

Popular menerusi lakonan berkesannya di dalam telefilem 'Gitar Tua 1 dan 2' sebelum ini, Beego mengakui dia amat selesa bekerja dengan Rashid Sibir.

Menurutnya, drama bersiri 26 episod itu kini masih di dalam proses penggambaran, di mana blok pertamanya yang merangkumi 6 episod telah pun siap sepenuhnya sementara baki 20 episod lagi bakal disambung bermula minggu hadapan.

"Saya kini sedang sibuk dengan penggambaran drama bersiri terbaru bertajuk 'Aliff Firdaus'. Ia sebuah drama kekeluargaan yang mengangkat tema kasih sayang, percintaan dan agama.

"Dalam siri ini, saya memainkan watak utama sebagai Aliff, seorang pemuda yang enggan menyambung pengajiannya di bandar.

"Sebaliknya, Aliff lebih selesa dengan kehidupan di kampung dan menjaga kedua-dua orang tuanya. Subplot yang dipaparkan oleh Rashid di dalam siri ini cukup menarik dan menambah kekuatan kepada jalan ceritanya. Drama ini cukup istimewa dan mempunyai kekuatannya tersendiri.

"Blok pertama siri ini telah pun siap dan hanya menunggu tarikh tayangan manakala bakinya lagi 20 episod akan disambung semula mulai minggu hadapan," jelas Beego.

Tambah Beego lagi, 'Aliff Firdaus' boleh disifatkan sebagai antara karya berbeza daripada pengarah itu. Dengan kekuatan plot dan barisan pelakon popular, Beego mengakui dia sedikit gementar untuk mengetahui reaksi penonton terhadap drama bersiri itu yang bakal memulakan siarannya 11 Disember depan bagi menggantikan drama 'Nur Kasih' yang mendapat sambutan luar biasa daripada khalayak umum.

"Saya berharap penonton dapat menerima siri 'Aliff Firdaus' ini seadanya. Sebagai pelakon, saya telah memberikan yang terbaik seperti kehendak skrip dan pengarah.

"Saya yakin penonton akan terhibur dengan kelainan jalan ceritanya yang boleh saya anggap sebagai berbeza dan padat dengan mesej dan moral.

"Apatah lagi, Rashid turut menampilkan beberapa kelainan untuk projek ini. Jika sebelum ini, Rashid selesa dengan penggunaan shot yang mudah dan ringkas.

"Kali ini, dia banyak menggunakan crane bagi mendapatkan pandangan yang lebih luas pada satu-satu babak itu. Selain, kekuatan plot cerita ini juga mampu menarik perhatian penonton, Insyaallah," katanya panjang lebar.

Beego yang mengakui dirinya amat bertuah kerana berpeluang untuk mengenali pengarah-pengarah hebat seperti Aziz M. Osman dan Rashid Sibir, berkata, selain daripada komitmen terhadap drama Tv, aktor ini juga bakal muncul dengan dua buah filem pada tahun depan. Kedua-dua filem tersebut, 'Libas' (arahan Jurey Latiff Rosli) dan CE 1 (arahan Aziz M. Osman) bakal memperlihatkan sisi berbeza terhadap kerjaya lakonannya yang bermula sejak 4 tahun lalu.

Artikel Sebelum

Zahnita Saman Gulatis RM2 Juta

Artikel Berikut

Artikel Lain