suria

'Classiq' Sleeq Tembusi Pasaran Malaysia

MASA yang ditunggu-tunggu telahpun tiba..Akhirnya Kumpulan Sleeq lahir dengan album penuh mereka berjudul Classiq.

Album ini mengandungi 13 buah lagu iaitu sembilan lagu Melayu dan empat lagu Inggeris. 12 lagu adalah lagu ciptaan mereka sendiri dan sebuah lagi adalah dari komposer Indonesia berjudul Kau Buat Aku.

Sebelum album ini dipasarkan telah banyak lagu-lagu Sleeq mendapat tempat di radio tempatan Singapura, antaranya ialah Pilihan Aku, Cun Saja, Sembunyi dan Moviestar.

Judul lagu lain yang terkandung didalam album ini ialah Classiq, Untuk Dia, Fireworks, Mabuk, My Spy, Tanya Nama, Ain’t About Later, Terima Kasih Sayang dan Selamat Malam.

Album ini berkonsepkan Pop, R&B dan Hip Hop. Bagi mereka konsep ini lebih dekat dengan mereka dan senang bagi mereka untuk menghayatinya.

Tambahan juga, muzik sebegini mudah diterima oleh pendengar-pendengar di Singapura dan Malaysia. Sleeq dianggotai oleh Alyph (Alif Abdullah) dan Syarif (Ahmad Syarif), kedua-duanya berusia 20 tahun.

Bagi Syarif sendiri, penghasilan album Classiq amat rumit kerana mereka terpaksa membahagikan masa antara pelajaran dan rakaman album ini.

“Memang rumit, namun begitu kami amat terharu kerana mendapat sokongan yang tidak berbelah bagi dari ibu dan ayah, keluarga dan rakan-rakan. Pihak media juga turut menjadi perangsang agar album ini dihasilkan dengan penuh berkualiti.

“Ucapan terima kasih didedikasikan buat mereka terima kasih juga buat peminat-peminat Sleeq, doa dan sokongan dari mereka amat dihargai. Semoga anda terhibur. Kejayaan album ini akan kita kongsi bersama!,” kata Syarif.

Majlis pelancaran album di Singapura telah diadakan pada 2 Ogos lalu di Taman Warisan Melayu dan album penuh ini akan berada di Malaysia tidak lama lagi. Sehingga kini lagu Cun Saja berjaya menduduki tangga 13 Carta Hot FM 30.

Metadome Sdn. Bhd. diberi tanggungjawab untuk menjadi pengedar album ini sekali gus mempromosikan album ini buat peminat-peminat di Malaysia. Pihak Metadome berasa amat berbesar hati kerana dapat bekerjasama bagi mempromosikan album ini di Malaysia.

Menurut KC Ismail, Pengurus Kanan Metadome, “Kami ingin mengucapkan selamat datang buat Sleeq ke Metadome, dengan menjadi artis dibawah naungan syarikat ini, kami yakin bakat anak muda ini akan dapat dikongsi bersama-sama peminat di Malaysia bukan sahaja didalam nyanyian malah di dalam penciptaan lagu”.

Menurutnya lagi, Sleeq adalah kumpulan anak muda yang sangat kreatif, ini dapat dibuktikan dengan lahirnya album ini dimana hampir keseluruhan lagu adalah ciptaan mereka sendiri.

Sleeq ditubuhkan pada tahun 2005 ini telah diasaskan oleh sepupu bersaudara Ahmad Syarif dan Alif Abdullah. Mahu dikenali sebagai kumpulan yang mempertaruhkan irama pop, hip-hop, R & B dan menjadi penghibur yang disegani di Singapura.

Disamping itu, pernah melancarkan album EP bertajuk “In the Q” pada tahun 2007. Kumpulan yang pernah memenangi Anugerah Planet Muzik 2007 & 2008 ini menjadikan irama Michael Jackson, JayZ dan Craig David sebagai kompas mereka didalam industri muzik serantau.

Artikel Sebelum

Waheeda Kini Berpurdah

Artikel Lain