suria

Si Pari-Pari Yang 'Menyedihkan'

Barisan pelakon DSPP Que Haidar, Nabila Huda, Harun Salim Bachik dan Liyana Jasmay yang hadir pada malam pratonton filem itu, baru-baru ini.
Barisan pelakon DSPP Que Haidar, Nabila Huda, Harun Salim Bachik dan Liyana Jasmay yang hadir pada malam pratonton filem itu, baru-baru ini.
Barisan pelakon DSPP Que Haidar, Nabila Huda, Harun Salim Bachik dan Liyana Jasmay yang hadir pada malam pratonton filem itu, baru-baru ini.

ADUHAI... apa sudah jadi dengan Tayangan Unggul (TU)? Mengapa mereka sanggup berhabis jutaan ringgit untuk menghasilkan sebuah filem yang sangat 'menyedihkan' seperti Duhai Si Pari-Pari (DSPP)? Itulah antara persoalan yang bermain di fikiran, sebaik menyaksikan buah tangan pengarah baru, Azmi Mohd Hata, baru-baru ini.

Bukan apa, selepas menyaksikan filem berdurasi 110 minit ini, terasa seolah bermimpi kerana penulis tidak sangka sama sekali TU, yang sememangnya sinonim dengan filem-filem yang membanggakan termasuk Setem, Papadom, Anak Halal, dan Trauma, terdetik pula untuk menerbitkan sebuah filem 'berkualiti rendah'.

Penulis mengakui filem DSPP hanyalah sebuah filem ringan untuk hiburan semata-mata. Malah, ketika di majlis sidang media filem itu, orang kuat TU, Gayatri Su-Lin Pillai pun tidak henti-henti menjelaskan kepada pihak media bahawa filem ini mungkin tidak mampu menawan hati wartawan tapi ia dibuat untuk penonton di luar sana.

Bukan ingin menghentam atau memburuk-burukkan filem ke-24 produksi itu, cuma pada penulis tidak perlulah TU bersungguh-sungguh hendak mempertahankan kekurangan di depan mata itu. Adalah lebih wajar, TU menerima saja pandangan dan reaksi media dengan hati terbuka.

Memetik kata-kata Gayatri malam itu, filem ini mungkin tidak dapat memuaskan hati pihak media kerana genre dan konsep ceritanya yang ringan, santai dan berbeza daripada filem-filem keluaran mereka terdahulu.

Pada penulis, bukan genre Fairy Tale Comedy itu yang menjadi masalah. Faktor utama yang 'melumpuhkan' DSPP berpunca daripada persembahan dan garapan filem itu sendiri.

Justeru, kenapa harus melindungi kepincangan yang jelas terserlah dengan menjadikan genre filem pula sebagai 'kambing hitam'? Bukankah itu tidak jujur namanya?

Entahlah, citarasa manusia berbeza-beza. Siapalah penulis untuk menjatuhkan hukuman ke atas filem ini. Cuma, sebagai penonton yang sememangnya menanti-nantikan DSPP nyata cukup kecewa dengan karya ini. Langsung tidak seperti yang diharapkan.

Melihatkan barisan pelakon yang menghiasi filem ini saja pun sudah cukup mengujakan. Iyalah, pasti ramai yang tidak sabar hendak melihat lakonan nama-nama besar seperti Liyana Jasmay, Que Haidar, Harun Salim Bachik, Nabil Huda dan Remy Ishak bersatu di dalam sebuah filem.

Tapi, lain pula jadinya selepas menonton DSPP. Jangkaan awal meleset sama sekali. Malah, timbul pula rasa meluat.

Mungkin tidak adil hendak salahkan pelakon-pelakon ini sepenuhnya kerana mereka hanyalah pelakon yang cuba mencorakkan watak masing-masing. Selayaknya, Azmi selaku 'kepala produksi' harus bijak mewarnai keseluruhan cerita.

Namun, setelah mendengarkan pengakuan Azmi mengenai cabaran besarnya mengarahkan filem ini adalah untuk mengatasi perasaan gubra, gemuruh dan keyakinan diri yang rendah, penulis tidak terkejut apabila menonton filem ini.

Teraju utama, Que Haidar yang sedikit beremosi sejurus selepas pratonton DSPP gara-gara lakonannya dipertikaikan oleh media nyata mengecewakan. Que kurang menyerlah seperti yang diharapkan. Komedi Que serba tidak kena dan adakalanya menyakitkan hati. Bukannya Que tidak pernah berlakon watak komedi sebelum ini. Malah, lakonannya dalam Zombie Kampung Pisang arahan Mamat Khalid sangat berkesan. Namun, tidak untuk DSPP.

Liyana Jasmay atau LJ pula sekadar biasa-biasa saja. Mujurlah, aktor veteran Harun Salim Bachik dapat menyelamatkan keadaan. Ternyata taring orang lama ini masih tajam. Biar pun diapit bintang-bintang glamor seperti Que, LJ, Nabila dan Remy, lakonan dan komedi Harun cukup disenangi dan berkesan. Ia ringkas dan tidak keterlaluan.

Mimik muka Remy Ishak yang melakonkan watak Budi juga keterlaluan dan kelihatan dibuat-buat untuk mengundang komedi. Begitu juga dengan aksi Nabila Huda. Lakonan aktres berbakat ini sedikit pincang kali ini. Apa yang penulis lihat, ia hanyalah sebuah lakonan yang klise, tidak ubah seperti aksi Nabila dalam Bohsia. Mungkin Nabila sendiri tidak beri lakonan terbaiknya.

Aspek lakon layar, garapan, suntingan, kelancaran dan kesinambungan filem ini nyata mengecewakan. Elemen komedi spontan yang cuba diterapkan Azmi serba tidak menjadi dan tidak lucu.

Malah, beberapa percubaan komedi yang penulis percaya sengaja dirancang untuk terbitkan mood komedi seperti adegan di mana Harun Salim Bachik 'mengajukkan' gaya dan bahasa tubuh sasterawan negara A. Samad Said tidak ubah seperti parody yang 'murah' dan menjengkelkan.

Namun, solekan yang bertepek putih di wajah Remy dan Nabila dalam beberapa babak adalah antara 'kelucuan spontan' yang mampu mencuit hati. Kasihan dan rasa tidak sanggup melihat wajah mereka yang putih melepak, tidak ubah seperti 'tepung gomak'.

Hairan juga, adakah tuan pengarah, kru solekan dan tatarias terlepas pandang perkara itu? Atau memang jenis 'tangkap muat'? Yang penting filem siap dirakam mengikut jadual. Aspek remeh-temeh seperti solekan, tolak ke tepi.

Janganlah jadikan alasan, kebanyakan filem-filem Melayu 'tangkap muat' berjaya pecah panggung untuk dijadikan inspirasi buat TU mengikut jejak yang sama pula.

Jika semua pembikin dan penerbit filem kita 'pasang' mentaliti begitu, sampai kiamat pun filem kita tidak ke mana.

Hendak tergelak pun ada apabila mengingatkan semula gelagat wakil TU, Gayatri, tuan pengarah Azmi Hata dan aktor Que Haidar apabila mendapat reaksi 'dingin' media selepas pratonton DSPP.

Maklumlah, sebelum ini filem-filem TU jarang dikritik oleh media. Jadi, apabila dipertikaikan sebegini, mulalah masing-masing tidak senang duduk.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain