suria

Bakal Suami Terima Maiza Seadanya, Ikut Sunnah Rasulullah

FAKTOR berbeza usia 10 tahun tidak menghalang bakal suami Maizawati Zainal untuk memilih wanita itu sebagai suri hidupnya pada Mei depan.

Pemuda yang mahu dikenali dengan nama ‘M’, 24, berkata dia tidak pernah terfikir tentang faktor itu. Namun, dia lebih senang melabelkan perkahwinannya dengan bekas isteri penyanyi dan penceramah bebas Akhil Hayy itu untuk mengikut sunnah Rasulullah.

“Saya tidak nafikan bahawa ramai remaja lebih selesa memilih pasangan yang lebih muda untuk dijadikan isteri.

“Namun, dengan kuasa Allah, saya tidak menyedari bagaimana saya boleh menyukainya. Pada mulanya timbul rasa kasihan kepadanya, namun lama-kelamaan saya mula sayangkan dia.

“Dia pandai menghiburkan hati saya yang kadangkala stres bekerja di dapur. Selepas bekerja, kami selalu berbual dan bertanya khabar.

“Walaupun jarang berjumpa, tetapi hubungan kami mudah serasi,” ujar M yang sudah dua tahun bekerja sebagai chef di sebuah restoran masakan Jepun di Singapura.

Bercerita mengenai pertemuannya dengan Maiza, dia yang berasal dari Likas, Sabah berkata, mereka terserempak di sebuah restoran di Bukit Bintang, Kuala Lumpur selama dua kali berturut-turut pada hari yang sama setahun lalu.

Ikutkan rancangan, pasangan ini menetapkan untuk berkahwin pada Februari ini namun akhirnya terpaksa menunda kepada Mei depan atas alasan ibu M sedang menjalani rawatan untuk mengubati Migrain.

Ditanya mengenai penerimaan keluarga masing-masing, M berkata keluarganya mahupun Maiza tidak membantah niat perkahwinan mereka.

“Keluarga saya jarang berjumpa dengan Maiza. Itu pun semasa Hari Raya lalu. Saya juga telah berjumpa beberapa kali dengan keluarganya.

“Insya-Allah, saya juga sudah bersedia untuk bergelar bapa kepada anak-anak Maiza termasuk memikirkan tentang tanggungjawab kewangan dan sebagainya.

“Saya bukan jenis mengongkong malah kepercayaan saling menghormati antara satu sama lain amat penting dalam hubungan kami. Apa yang kurang dalam diri, saya akan cuba belajar daripadanya,” tutur anak kelima daripada tujuh beradik ini.

Walaupun tinggal empat bulan lagi untuk diijabkabulkan, M berkata mereka sudah mula melakukan sedikit persediaan.

Ini kerana pasangan ini akan menjalani dua resepsi iaitu majlis pertunangan dan pernikahan pada hari yang sama. Seterusnya bersanding pada keesokan harinya. Kedua-dua resepsi itu akan dilakukan di Ipoh, Perak. Sebuah lagi resepsi dijangka akan dilakukan di Sabah seminggu selepas itu.

Artikel Lain