suria

Azizah Mahzan Paksa Rela Berlakon Spa Qistina?

EKORAN digosipkan dengan lelaki berketurunan Arab, aktres Azizah Mahzan mula menghidu sesuatu yang negatif bakal berlaku setelah dilanda kontroversi gambar mesranya dengan aktor Zaefrul Nordin.

Yang menjadi tanya tanya Azizah, gosip dengan lelaki Arab itu bagaikan mengulangi kontroversi yang melandanya sebelum ini, bilamana cerita seperti itu timbul apabila drama itu hampir disiarkan di televisyen.

“Cerita-cerita seperti ini akan mengundang kontroversi selanjutnya tetapi saya hairan kenapa kontroversi dibuat apabila cerita Spa Qistina akan bermula,” soalnya dalam nada terkilan.

Dia juga berharap agar gosip itu akan lenyap selepas mengeluarkan kenyataan ‘saya sudah bosan dengan lelaki’.

Di sebalik gosip-gosip ini, Azizah secara tiba-tiba meluahkan perasaan yang terbuku di dalam hatinya kini.

“Dari dulu lagi, saya teringin sangat nak tahu siapa yang terlibat dalam menyebar gosip yang berbentuk ghibah ini…,” beritahunya lagi.

Dalam masa yang sama, perasaan kecewanya semakin parah apabila mengenangkan reputasinya sebagai pelakon drama Spa Qistina untuk musim ketiga ini.

Mengenali bekas isteri pelakon Nasir Bilal Khan ini, dia merupakan seorang pelakon versatil dan berbakat besar. Kemampuannya dalam melakonkan setiap watak yang diberikan oleh pengarah tidak pernah menghampakan.

Azizah juga sentiasa inginkan ‘output’ yang terbaik namun menerusi musim terbaru Spa Qistina kali ini dia sudah tidak mampu bertahan untuk menghasilkan kreativiti lakonan seperti yang diinginkan.

Walaupun penggambaran drama ini belum selesai, Azizah berkata dia bagaikan sudah bosan dengan skrip dan jalan cerita yang hambar itu.

Tanpa berselindung, Azizah berkata lakonan yang tonjolkan dalam drama terbitan Global Station Sdn Bhd itu hanya dilakukan secara paksa rela atas permintaan produsernya, Datin Zaiton Mohd Jiwa.

“Setiap kali saya masuk set penggambaran, saya termenung kerana saya perlu mencantikkan semula skrip yang diberikan. Kadangkala dialog skrip yang diberikan langsung tidak kena dan logik.

“Misalnya, dialog yang tidak ada hubung kait antara watak Qistina dan Marlia. Saya juga tidak menyukai jalan ceritanya yang langsung tidak bermoral.

“Sampai sekarang, saya masih menunggu jadual penggambaran yang seterusnya,” beritahunya.

Tambahnya lagi, dia tidak kisah seandainya jalan cerita drama yang turut dilakonkan oleh Nanu Baharuddin, Fasha Sandha, Ummi Nazeera dan Tiz Zaqyah itu berjaya memberikan kesan kepada karektor yang dilakonkan olehnya.

Namun, semuanya bagaikan punah begitu sahaja apabila Azizah menganggap watak Marlia ibarat watak tempelan yang dibunuh secara perlahan-lahan.

“Kalau skrip dan jalan cerita drama itu bagus, saya akan sokong tinggi melangit.....tetapi kalau ia tak bagus, takkan saya nak bohong.

“Apabila berlakon dalam drama itu, saya gagal mempersembahkan kreativiti terbaik kerana apabila saya terpaksa melakukan sesuatu itu, hasilnya tidak akan menjadi seperti yang diinginkan,” tuturnya lagi.

Namun begitu, Zaiton yang lebih mesra dengan panggilan Kak Eton ini, menafikan timbulnya soal paksaan dalam mengambil Azizah berlakon dalam drama itu.

“Azizah telah menandatangani kontrak dengan kami dan mana boleh kita paksa pelakon untuk berlakon mana-mana watak.

“Biasanya kita hanya tawarkan sesuatu watak itu kepada pelakon. Kalau mereka terima, alhamdulillah,” ulasnya.

Dia juga berkata Azizah masih lagi bersama dengan krew produksi Spa Qistina yang akan menamatkan penggambarannya pada 21 Januari ini.

“Spa Qistina sudah hampir selesai dan setakat ini penggambaran berjalan dengan lancar. Azizah juga masih terikat dengan penggambaran drama itu.

“Babak lakonannya belum selesai dan esok (hari ini) dia akan kembali menjalani penggambaran.

“Saya terkilan dengan cerita negatif seperti ini kerana selama ini saya hanya fikirkan untuk menyiapkan Spa Qistina dalam keadaan yang baik,” jelasnya.

Artikel Lain