Vince mengubati kelukaan hatinya dengan album baru, Kronologi Cinta. - Foto The Star oleh RAYMOND OOISETELAH hampir tiga tahun menyepi, penyanyi dan komposer, Vince atau nama sebenarnya Vincent Chong, 30, kembali mewarnai dunia hiburan menerusi buah tangan terbaru, Kronologi Cinta yang menceritakan seribu satu kisah cintanya.Menurut Vince yang ditemui di majlis pelancaran album keempatnya di Bangkok Jazz, Kuala Lumpur, semalam, Kronologi Cinta adalah sebuah karya yang dekat di hatinya dan cukup istimewa. Berinspirasikan kisah cintanya yang putus di tengah jalan pada tahun lalu, Vince bangkit dan menterjemahkan kekecewaan itu ke dalam album ini."Tidak saya nafikan, album ini tercetus selepas saya putus cinta tahun lalu. Selepas putus cinta, saya cuba lupakan kesedihan itu dan sibukkan diri dengan penghasilan album ini."Tema dan cerita lagu-lagunya memang berkisar kepada kisah cinta saya dan pengalaman yang dilalui selama ini," akui Vince.Membawa hati yang lara, Vince bijak mengalihkan kesunyian itu dengan kerja-kerja penghasilan lagu-lagu baru.Hasilnya, Vince berdiri kembali dengan lagu-lagu cinta yang penuh beremosi dan mencatatkan perjalanan suka-duka cintanya selama ini."Sebagai komposer, saya akan mendapat ilham untuk tulis cerita lagu itu apabila saya sudah menyiapkan melodinya."Apabila saya mendengar melodi lagu itu, saya akan dapat ilham, kisah apa yang patut diceritakan dalam melodi itu."Saya akan ceritakan kepada penulis lirik contohnya Shah Shamsiri, untuk tuliskan lirik berdasarkan ilham yang datang," katanya yang mencipta 11 lagu untuk album Kronologi Cinta.Ketika menjawab pertanyaan mengenai kegagalan cintanya bersama bekas kekasih, seorang gadis berbangsa Mexico, Vince dengan tenang berkata, perpisahan itu terjadi kerana tiada keserasian antara mereka.Jelas Vince, gadis yang dikenali ketika dia melanjutkan pengajian di Taiwan dua tahun lalu, tidak begitu menyenangi karier seninya.Justeru, perasaan 'tidak senang' dan keresahan yang membelenggu mantan kekasihnya itu sedikit sebanyak mengganggu emosi dan tumpuan jejaka berdarah kacukan ini untuk terus fokus pada bidang nyanyian.Setelah berbincang hati ke hati, keputusan untuk berpisah adalah jalan terbaik bagi mengelakkan permusuhan di hari muka."Perpisahan saya dengan bekas kekasih berpunca daripada ketidakserasian antara kami. Dia tidak begitu selesa dan tidak menyenangi apa yang saya lakukan, iaitu menyanyi."Seandainya dia memahami dan menyokong saya, tentu saya tidak ada sebarang masalah untuk terus berkawan."Sayangnya, dia tidak dapat menerima kerjaya saya sepenuhnya. Sedangkan saya banyak menghabiskan masa untuk menggubah lagu dan kerja-kerja penghasilan lagu."Setelah berbincang dengannya, saya fikir lebih baik putus saja dengan cara baik kerana apa sekalipun keutamaan saya adalah nyanyian berbanding kekasih."Kini saya ingin tumpukan perhatian sepenuhnya pada karier seni. Album pun baru keluar, saya akan sibuk dengan urusan promosi dan persembahan pentas. Saya tidak akan ada masa untuk fikirkan soal cinta dan hubungan baru."Matlamat saya untuk tahun ini ialah untuk mencuba perkara-perkara baru seperti bidang pengarahan dan teater. Saya juga ingin meraih kejayaan tahun ini," ujar Vince.Tambah Vince, album ini cukup istimewa kerana ia merupakan usaha sulungnya sebagai penerbit album.Dia yang diberi kebebasan oleh syarikat rakaman NSR, bukan sahaja bertanggungjawab sebagai penyanyi dan komposer, malah turut terlibat sepenuhnya dalam proses penerbitan Kronologi Cinta.Sambil menitipkan penghargaan buat semua rakan yang bekerjasama, Vince juga mengakui eksperimentasinya ke atas beberapa elemen muzik seperti pop, rock, jazz, scat dan rap memberikan warna pada album ini.Kronologi Cinta yang memuatkan 12 lagu ini hanya mengambil masa selama empat bulan untuk diterbitkan.