suria

Zizi Masih Mencari Keserasian Dengan Halim Othman

Zizi terpaksa bangun seawal pukul 4.00 pagi untuk membuat persiapan sebelum ke udara.foto The Star. Oleh HAFZI MOHAMED
 Zizi terpaksa bangun seawal pukul 4.00 pagi untuk membuat persiapan sebelum ke udara.foto The Star. Oleh HAFZI MOHAMED
Zizi terpaksa bangun seawal pukul 4.00 pagi untuk membuat persiapan sebelum ke udara.foto The Star. Oleh HAFZI MOHAMED

KELETAHNYA yang begitu mesra pada waktu pagi membuat pendengar begitu senang dan dekat dengan pemilik nama Ahmad Zuwairi Mohd Nor atau lebih mesra dipanggil Zizi.

Malah gaya pertuturannya serta kebolehan berkomunikasi turut membuatkan personalitinya serasi dengan kerjaya sebagai penyampai radio di Suria FM.

Barisan baru yang diumumkan minggu lepas menempatkan Zizi pada waktu yang sama iaitu pada pukul 6.00 hingga 10.00 pagi dalam program Suria Breakfast. Namun kini dia menggalas satu tanggungjawab yang agak berat apabila digandingkan dengan idolanya sendiri Halim Othman.

"Pertama kali dapat berita akan digandingkan dengan Halim Othman, saya sangat teruja. Memandangkan kami dari dua peringkat umur yang berbeza dan pendengar yang berlainan tentu sekali keadaan akan lebih mencabar.

"Namun ini adalah kekuatan SuriaFM. Saya dan Halim banyak bertukar-tukar pendapat bagi menjadikan program pagi ini lebih baik. Secara tidak langsung kita boleh tarik pendengar muda dan dewasa mendengar program pagi ini.

"Setakat ini saya dan Halim masih lagi dalam proses mencari keserasian, mungkin dalam masa sebulan kami akan dapat keserasian itu," ujar Zizi yang sudah dua tahun menyertai Suria FM.

Ketika ditanya tentang cabaran mengendalikan Suria Breakfast, Zizi memberitahu dia terpaksa menjalankan rutin hariannya lebih awal dari orang lain.

"Seperti biasa saya terpaksa bangun pada pukul 4.00 pagi dan sampai di pejabat sebelum pukul 5.30 pagi untuk membuat persiapan terakhir sebelum ke udara. Habis kerja pula pada pukul 12.00 tengah hari di mana kebanyakan orang baru mula bekerja.

"Tapi yang menariknya, saya tidak perlu menempuh kesesakan lalu lintas dan mempunyai banyak masa terluang pada sebelah siang.

"Namun begitu dari segi persaingan memang tidak dapat dinafikan agak sengit pada waktu-waktu perdana seperti pagi dan petang. Kami terpaksa bersaing dengan penyampai dari stesen radio lain yang tidak kurang hebatnya.

"Memandangkan waktu perdana, semua stesen radio akan tampilkan penyampai-penyampai yang hebat. Kami juga telah aturkan strategi supaya dapat menarik minat pendengar beralih ke Suria FM,” ujar Zizi yang pernah bergandingan dengan Halim ketika di Era FM, suatu ketika dahulu.

Selain itu juga, dia turut memberitahu mempunyai minat yang mendalam dalam bidang penyiaran radio ini sejak dari kecil lagi. Peluang menjadi DJ di majlis kenduri kahwin pada setiap minggu menjadi tempatnya mengasah bakat terpendam.

"Pakcik saya ada bisnes PA Sistem untuk kenduri kahwin. Pada mulanya saya hanya ikut-ikut sahaja sehinggalah pada usia 15 tahun, saya baru diberi peluang untuk menjadi DJ di majlis kenduri kahwin. Ketika itu bayaran RM50 sudah cukup banyak bagi pelajar macam saya," ujarnya mengimbau saat manis berjinak-jinak sebagai DJ.

Dalam pada itu, dia turut mengakui pengetahuan yang luas penting untuk menjadi DJ kerana lontaran idea ketika ke udara mestilah berasas dan mempunyai makna bukan hanya cakap-cakap kosong sahaja.

"Saya perlu sentiasa membaca, terutamanya isu semasa. Kita tidak mahu hanya berceloteh merapu dan tanpa isi. Biar apa yang kita beritahu kepada pendengar memberi pengajaran dan manfaat kepada mereka," ujar Zizi mengakhiri perbualan.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain

38 maut nahas pesawat di Kazakhstan