suria

Along Raja Lawak ‘Berkabung’ Di Hari Bahagia

Dengan dua kali lafaz, pasangan yang bertunang selama setahun sebulan ini sah bergelar suami isteri. -Foto The Star oleh SHAARI CHE MAT
Dengan dua kali lafaz, pasangan yang bertunang selama setahun sebulan ini sah bergelar suami isteri. -Foto The Star oleh SHAARI CHE MAT
Dengan dua kali lafaz, pasangan yang bertunang selama setahun sebulan ini sah bergelar suami isteri. -Foto The Star oleh SHAARI CHE MAT

WALAUPUN bergelar raja sehari, pelakon filem Adnan Sempit Along Raja Lawak yang berasal dari Johor Baru, Johor tidak lupa untuk ‘berkabung’ ekoran kemangkatan Sultannya, Almarhum Sultan Iskandar Ibni Almarhum Sultan Ismail.

Along atau nama sebenarnya Muhammad Nizamudin Ahmad, 27, mengenakan kain lilitan putih pada songkoknya semasa upacara pernikahan dengan pasangannya, penyanyi dan pelakon Nur Azilah Seeron, 21, (Zila AF4) di Masjid Felda Lui Selatan 1, Bandar Seri Jempol, semalam.

Dengan dua kali lafaz, pasangan yang bertunang selama setahun sebulan ini sah bergelar suami isteri dengan mas kahwin RM200 beserta tujuh dulang hantaran termasuk wang hantaran berjumlah RM17,119.

Menurut Zila, nilai wang hantaran ditetapkan mengikut gabungan tarikh lahirnya dan Along di mana Along dilahirkan pada 19 Januari manakala Zila pada 17 November.

Dulang hantaran pengantin lelaki termasuk cincin jenama Habib Jewels, al-Quran, sejadah, telekung, sirih junjung, kasut dan beg tangan.

Sementara Zila membalas dengan sembilan hantaran seperti al-Quran, set dompet dan tali pinggang, sirih junjung, kemeja, kasut, sejadah, coklat Ferrero Roche dan cincin emas putih.

Dulang hantaran kedua-dua belah pengantin disediakan oleh isteri penyanyi Mawi, Ekin dari ME World Collection dengan konsep warna emas (Along) dan perak (Zila).

“Alhamdulillah, saya memang nervous kerana tidak percaya yang saya kini sudah bergelar isteri Along yang sah walaupun menempuhi pelbagai dugaan sebelum ini,” beritahu Zila yang tidak mampu menahan air matanya daripada mengalir di tubir mata sejurus selepas selamat dinikahkan.

Selepas sehari bergelar suami isteri, Zila berkata dia akan menemani suaminya pulang ke Kuala Lumpur hari ini kerana Along akan kembali sibuk dengan kerjanya.

Disebabkan itu, mereka terpaksa menangguhkan rancangan untuk berbulan madu dalam masa terdekat ini.

“Kami belum rancang tempat dan waktu untuk berbulan madu kerana selepas nikah dan bersanding hari ini, Along akan sibuk dengan penggambaran,” katanya ketika dihubungi.

Disoal mengenai anak, tanpa berselindung Zila memberitahu dia dan suaminya belum membuat apa-apa perbincangan berhubung soal anak sebaliknya menyerahkan kepada izin Allah.

Kedua mempelai memilih pakaian serba putih tajaan Ezlynnz Collection untuk majlis pernikahan mereka.

Lebih 100 tetamu yang hadir terdiri daripada kaum keluarga dan sanak-saudara terdekat kedua-dua mempelai.

Majlis persandingan sebelah pengantin perempuan dilangsungkan semalam di kediaman keluarganya dengan pelamin ditaja oleh Ezlynnz Collection dengan warna tema hitam dan hijau.

Sementara, majlis persandingan sebelah lelaki bertemakan moden Inggeris yang ditaja oleh Adli Bridal yang pernah membuat pelamin semasa perkahwinan Mawi dan Ekin dan LC Catering akan diadakan di Dewan Serbaguna, Johor Jaya pada 14 Februari, pukul 8 malam yang jatuh pada sambutan Hari Kekasih serta Tahun Baru Cina.

Sementara pada 27 Februari, resepsi mereka akan diadakan di Plaza Angsana, Johor Baru bersempena Wedding Festival yang pernah dijayakan oleh pelakon Que Haidar dan koreografer Linda Jasmine pada tahun lalu.

Persandingan di Plaza Angsana itu akan ditaja sepenuhnya oleh Plaza Angsana dan Butik Juzzarith.

Artikel Berikut

ABP Terakhir Siti

Artikel Lain