SELEPAS penyanyi Indie, Yuna Zarai popular dengan lagu-lagu ciptaannya sendiri, kini muncul seorang lagi permata dalam industri muzik tempatan.Walaupun nama Ana Rafali masih terlalu awal untuk diletakkan sebaris dengan Yuna, namun tidak mustahil dia juga bakal mencetuskan fenomena baru sedikit masa lagi. Gadis ayu berusia 25 tahun ini tampil memakai baju kurung dan kebaya sebagai identiti tersendiri, bakat membuat lagu dan bermain gitarnya tidak boleh dipandang sebelah mata.Bermula dengan memperkenalkan lagu-lagu ciptaan sendiri di laman ‘Youtube’ sekadar suka-suka telah menjadi titik permulaannya ke bidang seni. Lagu tersebut mendapat perhatian daripada komposer Aidit Alfian."Mulanya saya sekadar suka-suka, semua lagu-lagu yang saya buat saya upload di You Tube, entah macam mana suatu hari abang Aidit Alfian telah menghantar mesej melalui email saya."Sejak itu kami berbalas-balas mesej sehinggalah dia menawarkan saya untuk bernaung dibawah syarikat rakamannya," ujarnya yang merupakan artis pertama di bawah label Aidit Alfian Record.Menurut Ana, dia selesa bekerja dibawah Aidit kerana diberi kebebasan untuk mencorakkan sendiri albumnya."Abang Aidit memberi kebebasan kepada saya untuk berkarya, dia faham setiap lagu yang saya buat adalah melalui pengalaman sendiri."Cuma dia akan pantau, jika lirik atau lagu tidak sesuai dan tidak kuat dia akan tegur dan beri tunjuk ajar, lagi pula saya tidak gemar jika lagu saya terlalu diubah sehingga hilang keasliannya" ujarnya yang kini sudah mencipta 30 buah lagu dan masih menunggu masa untuk dirakam.Graduan Universiti Institut Teknologi Mara (UiTM) ini turut memberitahu mula berjinak-jinak ketika masih menuntut lagi. Katanya setiap kali mencipta lagu, rakan-rakan rapat akan menjadi orang pertama yang mengkritik."Saya menjadikan M.Nasir sebagai idola dan matlamat saya untuk bekerjasama dengan dia satu hari nanti. Kalau boleh saya ingin jadi seperti dia yang boleh menyanyi dan mencipta lirik," jelas Ana yang kini popular dengan lagu Hujan Bunga Di Kuala Lumpur.Bagaimanapun, dia masih menganggap dirinya masih mentah dan terlalu awal untuk menyumbang lagu kepada artis lain."Memang ada artis yang minta lagu daripada saya, tapi saya rasa belum bersedia lagi. Biar saya buktikan dahulu bakat yang ada kepada masyarakat, barulah boleh beri lagu kepada orang lain."Saya masih mentah dalam industri ini, banyak lagi yang perlu dipelajari," jelasnya dengan nada rendah diri.Mengenakan imej gadis melayu, Ana mengakui selesa dengan penampilanya sekarang. Malah dia juga sering keluar dengan mengenakan pakaian kebangsaan ini."Bermula di Universiti, setiap kali persembahan perlu berpakaian formal jadi saya sudah terbiasa mengenakan baju kurung atau kebaya, selesa. Di luar juga jika tidak melakukan aktiviti lasak saya selesa mengenakan baju kebangsaan ini," katanya yang sedang menyiapkan album sulungnya dengan memuatkan enam buah lagu ciptaan sendiri.Ana juga meletakkan harapan yang tinggi untuk single keduanya ‘Tolong Ingatkan Aku’ yang bakal keluar tidak lama lagi diterima baik masyarakat.