suria

Elly Mazlein Tak Beri Muka Pada Gosip

Elly tak suka layan gosip yang tak masuk akal. - Foto The Star oleh AZLINA ABDULLAH
Elly tak suka layan gosip yang tak masuk akal. - Foto The Star oleh AZLINA ABDULLAH
Elly tak suka layan gosip yang tak masuk akal. - Foto The Star oleh AZLINA ABDULLAH

PELAKON dan penyanyi Elly Mazlein atau nama sebenarnya Sharifah Aida Mazlina Syed Hanafi, 29, jarang dilanda cerita-cerita 'panas' dan kontroversi walaupun sudah 13 tahun berkecimpung dalam dunia seni.

Menurut wanita yang mesra dengan sapaan Elly ini, dia selalu berpegang kepada satu prinsip iaitu tidak 'beri muka' pada gosip atau cerita 'kurang enak' itu menghimpitnya.

"Saya tak suka layan gosip yang tak masuk akal. Jika dilayan, lagi menjadi dan semakin panjang. Pada saya, jika sesuatu gosip itu tidak terbukti kebenarannya, saya lebih senang untuk berdiam diri," katanya.

Itu kenyataan tegas pelakon kelahiran Slim River, Perak ini, apabila disifatkan sebagai artis yang kurang terbabit dengan kontroversi dan gosip liar sepanjang bergelar anak seni. Dia selesa untuk mengawal gerak-geri dan berhati-hati sepanjang masa.

Bukannya Elly terlalu mengawal diri sehingga membataskan pergerakan dan kebebasan, cuma, sebagai selebriti setiap pergerakan terutamanya di kawasan umum mudah mengundang perhatian ramai.

Justeru, mengambil langkah selalu beringat dalam tindak-tanduk adalah jalan terbaik bagi mengelakkan diri daripada menjadi pertikaian atau buah mulut mana-mana pihak.

"Sebagai selebriti, saya perlu peka gerak-geri saya sentiasa diperhatikan terutamanya ketika berada di kawasan umum.

"Saya sentiasa sematkan dalam diri agar berhati-hati dalam segala tindak-tanduk agar tidak mengundang perasaan tidak senang atau prasangka orang ramai.

"Saya akui perkara itu bukannya mudah untuk dilakukan, namun makin lama saya berada dalam bidang ini, semakin banyak perkara yang saya pelajari daripada kisah kontroversi yang menghimpit rakan artis lain," katanya lagi.

Sekalipun dikaitkan dengan gosip, Elly tidak mudah melenting. Padanya, jika sesuatu gosip itu tidak berasas, dia lebih senang untuk berdiam diri.

"Bukanlah saya tak pernah langsung mendapat tempias gosip, cuma selagi gosip itu tidak keterlaluan dan tiada bukti kukuh, saya senang untuk berdiam diri.

"Lambat-laun bila orang sudah penat untuk bercakap, mereka akan diam juga. Itu lebih baik daripada bersusah-payah hendak membela diri atau membuat penafian.

"Kita lebih tahu diri kita dan apa yang kita lakukan. Andainya kita memang tidak lakukan perkara yang dicanangkan, mengapa perlu risau," jelas Elly yang kini rancak menghiasi drama bersiri Na O Mei di TV3.

Tambah Elly, antara petua yang diamalkan dalam menjaga nama baik adalah tidak mudah bercerita perihal peribadinya kepada umum.

Bukan tidak mahu berkongsi, cuma Elly lebih senang jika peminat dan masyarakat mengenalinya kerana bakat seni yang diperdagangkan.

"Sejujurnya, saya lebih senang untuk bercakap tentang kerjaya berbanding hal peribadi. Itu pendirian saya dan saya harap semua pihak dapat hormati perkara itu," ujarnya ringkas.

Prinsipnya mudah. Jangan buat sesuatu perkara yang boleh mengundang buah mulut atau prasangka masyarakat.

Jika sentiasa berwaspada dan beringat, tiada sebab untuk orang salah tanggapan atau menghambur fitnah.

Artikel Berikut

Artikel Lain