Azhan ketika melakonkan watak Ketua Iblis di Istana Budaya pada minggu lalu. - Foto oleh MOHD SAHAR MISNIWATAK ketua Iblis yang dilakonkan olehnya semasa pementasan teater Antara… pada 26 hingga 28 Februari lalu di Istana Budaya berjaya ‘menghidupkan’ teater itu.Rata-rata penonton yang hadir menyukai lakonannya namun mereka sebenarnya tidak mengenali siapakah tuan empunya badan kerana mukanya telah dimekap hodoh bagi menggambarkan wajah Iblis yang jahat. Disebalik lakonan yang hebat itu, tiada yang menyangka bahawa dirinya adalah pelakon Azhan Rani dan mungkin ramai yang tidak mengenali wajah dan mendengar namanya.Namun begitu, tidak mustahil selepas ini namanya akan menjadi sebutan ramai setelah menonton bakat yang ditonjolkan tanpa disedari itu.Namun, dia sendiri tidak menggalakkan penonton menyukai dirinya kerana watak ketua Iblis lakonannya.“Saya takut penonton menyukai Iblis dan terpengaruh dengan watak itu. Jadi saya selalu mengingatkan mereka agar jangan terlalu sukakan Iblis tetapi Azhan Rani.“Sebab itu apabila teater itu selesai, saya lebih suka keluar dengan pakaian biasa kerana biar watak Iblis selesai di pentas sahaja,” kata pemilik nama Azhan Abdul Rani itu di awal perbualan.Menyentuh tentang rahsia keberkesanan watak itu, jejaka berusia 34 tahun itu berkata dia banyak membuat kajian sendiri seperti menonton filem lakonan Al-Pacino, Johnny Depp dan Jim Carrey. Selebihnya adalah bantuan pengarah Ellie Suriati dan Erma Fatima.Azhan, graduan yang memiliki Ijazah Sarjana Muda Drama dan Teater dari Universiti Malaysia Sarawak (Unimas) itu akui nama Azhan Rani hanya nama kecil dalam industri seni ini.Malah dia sendiri tidak pernah menganggap dirinya sebagai selebriti yang perlukan publisiti semata-mata untuk terus maju dalam industri ini. Jejaka berasal dari Kuala Kubu Baru itu lebih selesa memfokuskan kepada kariernya sepanjang lapan tahun ini.“Saya sedar, apabila nama kecil berdiri dengan nama besar, jadi orang akan lebih menumpukan kepada nama besar.“Kalau boleh saya nak berdiri sama rata dengan mereka,” ujarnya kepada mStar Online.Azhan terlebih awal menceburi bidang teater berbanding drama televisyen. Bukan sahaja berlakon, dia juga melakukan tugas di belakang tabir.“Saya membesar dengan teater sejak berusia 12 tahun. Pada 2002, saya mula memasuki industri seni ini dengan melakonkan teater monolog Petaka karya Hamzah Tahir.“Dalam masa yang sama, saya juga pernah menjadi tutor teater di Universiti Teknologi Mara (UiTM), Shah Alam pada 2003.“Selepas itu, saya dilantik sebagai penolong pengarah teater Bangsawan Tengku Anum di Istana Budaya oleh pengarah teater terkenal, Rosminah Tahir, juga pernah mengarah teater Alang Retak Seribu.“Pada 2007, saya berlakon watak utama sebagai Raja Qaziq dalam teater Hikayat Qaziq di Dewan Bahasa dan Pustaka,” ceritanya mengenai beberapa teater yang melibatkannya.Kali terakhir dia muncul di pentas teater sebelum Antara… merupakan teater Lantai T Pinkie pada empat tahun.“Bermula dari Lantai T. Pinkie, saya dipanggil untuk berlakon drama. Ada tiga orang yang menjadi tulang belakang serta pendorong karier saya.“Mereka adalah Along Kamarudin yang membawa saya berlakon drama Sesuci Cinta Sofiya untuk slot Samarenda, pengarah Ahmad Nor Bujang yang membuat telefilem di RTM dan penerbit drama radio Zuraidah yang membuat drama radio setiap bulan.“Saya rasa seperti mimpi dan tidak pernah terfikir hendak ke televisyen kerana dahulu saya lebih sukakan bidang akademi,” katanya yang pernah menjadi juri pertandingan Deklamasi Lakon (Dekon) di Universiti Malaysia Sabah (UMS), Sabah.Sebelum itu, dia telah memenangi anugerah Pelakon Terbaik Dekon di Sabah dan Pelakon Terbaik Pertandingan Drama Sekolah-Sekolah Malaysia mewakili Selangor.Setakat ini, dia telah membintangi hampir 40 buah drama televisyen seperti Tower 13, Lembing dan Layang, Warkah Terakhir, Mashitah, Ku Milikmu dan Puteri Plastik.