Rozita rasa tidak lengkap tanpa memakai bulu mata palsu. - Foto IKRAM ISMAILBULU mata palsu bukan sahaja dikaitkan dengan pelakon terkenal Siti Shahriza malah turut sinonim dengan aktres jelita Rozita Che Wan.Setiap kali keluar rumah, Rozita takkan lengkap tanpa berbulu mata palsu dan boleh dikatakan dalam sehari dia perlu mengenakan sepasang bulu mata palsu. Selain itu, dalam beg tangannya perlu ada cermin muka, kertas untuk menyerap minyak muka dan pengilat bibir. Mengikut perkiraannya, sepasang bulu mata palsu boleh tahan digunakan sehingga tiga hari. Pelakon drama Asmaradana itu hanya perlu menanggalkan dengan berhati-hati dan sentiasa cermat dalam pemakaiannya.“Walaupun bulu mata palsu tu murah, kita boleh berjimat dengan menggunakannya elok-elok,” katanya kepada Mingguan mStar baru-baru ini.Bayangkan, hasil penggunaan bulu mata palsu sahaja, Rozita sebenarnya telah menjadi trend-setter kerana ramai peminat wanita terutama pengantin mahu mengenakan bulu mata palsu sepertinya.Melalui jurumekapnya, Amy Janz, Rozita menerima respons bahawa ramai pengantin yang meminta bulu mata palsu sepertinya. Lantas, dia terus mendapat idea untuk menghasilkan bulu mata palsu jenama Rozita Che Wan yang akan dipasarkan sebelum hujung tahun ini.“Tidak lama lagi, saya akan mengeluarkan bulu mata palsu dengan jenama saya yang sedang dibuat di Indonesia. Saya memilih negara itu kerana di sana bulu mata palsu yang dihasilkan sangat cantik dan berkualiti.“Saya sudah membuat lima rekaan bulu mata palsu dalam pelbagai saiz dan bentuk,” jelas Rozita.Memandangkan ramai yang menganggap dirinya begitu obses dengan bulu mata palsu, ramai yang ingin mengetahui berapa banyak koleksi yang dimiliki olehnya.“Saya tidak mempunyai banyak koleksi bulu mata palsu kerana apabila saya pergi ke mana-mana majlis, saya akan dimekapkan oleh Amy Janz.“Setiap kali memborongnya, saya akan membeli sekotak bulu mata palsu yang mengandungi 70 pasang dan ia boleh tahan selama enam bulan.“Apabila keluar menjalani penggambaran, saya akan mengenakan mekap sendiri lengkap dengan kosmetik asas seperti bedak asas, bedak halus, bedak kompak, pembayang dan pembayang mata berwarna coklat,” katanya yang turut menitik beratkan penjagaan kulit muka.Setiap kali sebelum tidur, aktres berusia 36 tahun itu akan mencuci mukanya dengan pencuci muka jenama Loreal. Untuk lebih menghalus dan mencantikkan kulit muka, Rozita memakai mask dalam tiga hari sekali. Alasannya dia jarang berpeluang menghabiskan masa membuat rawatan muka di pusat kecantikan.“Jadi, saya akan membuat facial sendiri di rumah dengan menggunakan peel off mask dan whitening mask jenama Garnier. Masa itu, saya boleh merehatkan muka tanpa mengenakan sebarang mekap,” cerita aktres berstatus janda anak dua itu.Sesekali berbelanja kosmetik dan alat penjagaan diri, Rozita hanya mengeluarkan belanja sebanyak RM300 sahaja. Setiap bulan, Rozita hanya memerlukan keperluan penjagaan diri wajib seperti pencuci muka, syampu, vitamin untuk rambut dan tisu lembap.