suria

Benjy Mengaku Tak Bersalah Miliki 0.24g Syabu

KUALA LUMPUR: Aktor drama Khaeryll Benjamin, 31, atau Benjy mengaku tidak bersalah memiliki 0.24 gram methamphetamine atau syabu di Mahkamah Majistret di sini hari ini.

Anak lelaki seniwati Azean Irdawaty itu, yang sebelum ini ditahan kerana disyaki mengedar dadah, mengaku tidak bersalah memiliki 0.24 gram dadah itu di rumah bernombor A-6-5 Menara Duta 2, Jalan 1/38B Off Jalan Segambut di sini pada 4 petang 11 Mac lepas.

Dia didakwa mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman denda sehingga RM100,000 atau penjara tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya sekali.

Majistret Hafizza Sauni membenarkan Benjy diikat jamin sebanyak RM2,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 8 April untuk sebutan kes itu.

Sementara, ibunya, aktres veteran Azean Irdawaty yang turut hadir di mahkamah tersebut ditemani anak perempuannya bertindak selaku penjamin.

Benjy yang ditahan reman selama tiga minggu bermula 12 Mac lalu bersama rakan wanitanya berusia lingkungan 20an dalam satu serbuan di tempat letak kereta sebuah kondominium di Segambut.

Semasa ditahan, polis juga menemui 850 gram kokain bernilai RM650,000 dan 140 gram syabu bernilai RM2,000 di kondominium tersebut.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain