suria

Syafinaz Tidak Sunyi Tanpa Lelaki

Syafinaz tidak pernah runsing hidup bersendiri tanpa kehadiran teman lelaki di sisi. - Foto oleh SIA HONG KIAU
Syafinaz tidak pernah runsing hidup bersendiri tanpa kehadiran teman lelaki di sisi. - Foto oleh SIA HONG KIAU
Syafinaz tidak pernah runsing hidup bersendiri tanpa kehadiran teman lelaki di sisi. - Foto oleh SIA HONG KIAU

BERTEMBUNG secara kebetulan dengan penyanyi bervokal soprano Syafinaz Selamat di sebuah pertunjukan fesyen di ibu negara baru-baru ini, membuka peluang untuk mendekati guru vokal ini.

Di usia 37 tahun, Syafinaz telah memiliki pakej lengkap untuk melangkah ke fasa berkeluarga. Dia jelita, bekerjaya dan berjaya namun masih tidak mempunyai teman istimewa.

Tidak bagi segelintir artis yang pasti mengelak atau mempamer reaksi tidak selesa tika diaju soalan berkaitan cinta atau kisah peribadi, Syafinaz sebaliknya begitu terbuka untuk menjawab.

"Terus terang saya kata, saya masih tiada teman lelaki sehingga hari ini. Bukan saya hendak menafikan atau cuba nak sorok, cuma memang tiada teman istimewa buat masa ini.

"Namun, saya tidak pernah kisah pun. Ia tidak menjadi masalah kepada saya. Saya senang dengan kehidupan yang saya jalani sekarang," tegasnya dalam bahasa yang begitu berlapik.

Guru vokal yang pernah menjadi juri pelbagai pertandingan nyanyian termasuklah dua program realiti popular tanah air Malaysian Idol dan One In a Million ini terus diusik mengenai kesunyian tanpa lelaki di sisi.

"Saya tidak pernah rasa sunyi tanpa kehadiran lelaki dalam hidup. Saya sibuk dengan kerja dan ada ramai kawan dan keluarga yang sentiasa mengisi hari-hari saya.

"Tak mungkin saya akan kesunyian. Alhamdulillah, setakat ini saya tidak pernah rasa bersendiri atau terlalu dambakan cinta seorang lelaki. Saya lebih senang bercinta dengan kerja.

"Bayangkan, masa untuk privasi pun terbatas. Waktu untuk tidur pun tak cukup, apatah lagi untuk bercinta pula. Saya tiada waktu untuk menjalani hubungan dengan teman istimewa," katanya lagi.

Tambah Syafinaz, keutamaannya kini adalah untuk terus mengukuhkan karier seninya. Kini, dia tidak hanya mengehadkan bakatnya dalam bidang nyanyian semata-mata.

Beberapa cabang baru dalam bidang seni termasuklah lakonan dan aktiviti teater makin giat diceburinya lewat ini.

"Saya wanita alaf baru. Keutamaan saya adalah karier seni. Bukan hendak kata lelaki tidak penting dalam hidup saya. Cuma buat masa ini, saya senang dan selesa dengan kehidupan sekarang.

"Banyak perkara yang saya hendak capai dan miliki. Hari ini, saya tidak hanya fokus pada bidang nyanyian sahaja.

"Saya makin aktif menyertai bidang lakonan dan teater. Jadi, memang saya tidak sempat fikirkan tentang cinta dan komitmen, mungkin bukan hari ini," ujarnya berseloroh.

Artikel Berikut

AF 8: Anum Tersingkir

Artikel Lain