Faizal tidak bimbang kemunculannya yang kerap akan mendatangkan rasa bosan kepada peminat. Foto THE STAR Oleh UU BAN KEKERAPAN membuat persembahan dan muncul pada acara-acara hiburan tidak langsung membimbangkan penyanyi popular, Faizal Tahir terhadap popularitinya, malah menganggap perkara tersebut sebagai satu tanggungjawab."Perkara tersebut tidak menjadi persoalan, bagi seorang artis kita hanya menjalankan tugas. "Jika mereka memilih saya untuk membuat persembahan pada acara tersebut itu adalah satu penghargaan. Tentang rasa bosan peminat kepada saya, itu adalah di luar bidang kuasa saya."Apa yang penting bagi mengelakkan mereka rasa bosan dengan persembahan saya, saya perlu sentiasa beri kelainan dan bertenaga," ujarnya ketika ditemui pada sidang media memperkenalkan pengacara, penyampai dan artis yang membuat persembahan pada malam Anugerah Industri Muzik ke 17 pada 2 Mei ini.Faizal yang bakal membawakan single terbaru berjudul Selamat Malam daripada album terbaru Adrenalin juga terkejut dengan pemilihannya sebagai salah seorang artis yang membuat persembahan pada malam tersebut."Terus terang saya terkejut dengan pemilihan kali ini, tahun lepas saya telah digandingkan dengan Rossa dengan membawakan lagu Terlanjur Cinta."Tahun ini saya rasa lebih teruja dan menjanjikan yang terbaik, namun corak persembahan masih belum difikirkan lagi" jelasnya.Dalam pada itu, dia turut mengakui jadual yang terlalu ketat pada tahun ini sedikit sebanyak mengganggu pemulihan kesihatannya."Tahun ini saya terlalu sibuk, belum pernah saya sesibuk ini. Terlalu banyak perancangan untuk persembahan ditambah pula dengan promosi untuk album baru."Keadaan kesihatan saya belum pulih sepenuhnya, saya masih lagi ambil ubat. Setakat ini 50 peratus sudah pulih," ujarnya.