Radhi OAG.ATAS dasar terdesak dan keinginan yang berkobar-kobar untuk membuat persembahan di hadapan peminat, Radhi kembali ke persada seni dengan kumpulan baru, Radhi-O.Penyanyi yang sinonim dengan kumpulannya OAG selama ini menubuhkan Radhi-O sejak Mac lalu dengan barisan pemuzik dan semangat baru. Menurut Radhi kepada mStar Online, kali terakhir dia dan kumpulan OAG beraksi di hadapan peminat adalah pada 2006.Setelah empat tahun tidak bergiat aktif sebagai penyanyi, dia mengakui dirinya begitu terdesak untuk beraksi lincah di atas pentas semula."Hakikatnya sudah empat tahun saya tidak menyanyi di depan peminat. Perasaan saya ketika ini begitu terdesak dan berkobar-kobar untuk menyanyi semula."Sebab itu saya tubuhkan Radhi-O dengan menampilkan tiga pemuzik baru. Menariknya, mereka adalah adik-beradik yang berumur antara 23 hingga 25 tahun."Saya sudah lama mengenali mereka kerana kami tinggal berjiran dan selalu bermain muzik bersama. Dari situlah, saya pelawa mereka untuk sertai Radhi-O," katanya.Bercakap tentang projek sulungnya bersama Radhi-O, Radhi berkata dia kini sedang menjalani proses rakaman untuk single terbaru mereka berjudul, Di Bawah Satu Tanah Air.Lagu yang berkisar kepada situasi sebenar yang berlaku di Malaysia ini akan mengupas isu masalah sosial seperti bohsia, lumba haram dan kes buang bayi.Penyanyi lagu Permaisuriku ini percaya penghasilan lagu-lagu yang mengetengahkan isu-isu sosial hanyalah sebahagian kecil daripada peranannya sebagai anak seni untuk memberi kesedaran kepada masyarakat."Lagu ini merupakan lagu pertama yang dirakam. Setakat ini, proses rakaman sudah 50 peratus siap dan saya jangkakan album EP itu akan siap sepenuhnya sekitar Mei depan."Lagu ini akan menyentuh isu-isu semasa yang berlaku di negara kita. Saya anggap penciptaan lagu ini hanyalah sebahagian kecil daripada tanggungjawab sosial sebagai anak seni," jelas Radhi.Bercerita lanjut, penyanyi yang terkenal dengan sikap hiperaktif dan 'gila-gila' itu berkata, penampilannya bersama Radhi-O akan mengetengahkan genre lebih segar, elektro funk.Seperti juga album-album terdahulu, Radhi-O masih mengekalkan lagu-lagu yang menyentuh isu-isu kehidupan, gejala sosial selain perihal cinta."Radhi-O akan mengetengahkan muzik bergenre elektro funk. Saya sukakan lagu-lagu yang rancak dan bertenaga sebab itu konsep muzik begitu dipertaruhkan untuk lagu-lagu baru Radhi-O," katanya.Sebelum mengakhiri perbualan, bapa kepada seorang anak ini ditanya mengenai sebarang kemungkinan untuknya kembali bersama bekas kumpulannya OAG semula di hari muka.Jelas Radhi, memang dia merancang untuk menghasilkan album dengan OAG, namun bukan dalam masa terdekat. Tumpuannya kini adalah terhadap projek dengan Radhi-O.