suria

Dari Tak Sengaja, Kini Sudah Jatuh Cinta

Bakat Intan dalam seni lakonan semakin diterima ramai. - Foto oleh GLENN GUAN
Bakat Intan dalam seni lakonan semakin diterima ramai. - Foto oleh GLENN GUAN
Bakat Intan dalam seni lakonan semakin diterima ramai. - Foto oleh GLENN GUAN

BIDANG lakonan bukanlah karier utama yang difikirkan oleh aktres Intan Ladyana selama ini. Dulu, alasan menceburi bidang ini sekadar untuk menambah duit poket.

Selepas lebih lima tahun, dia mula berasa selesa dan menyintai bidang lakonan sehingga enggan menoleh ke belakang lagi.

Sebetulnya, dia hampir menamatkan pelajarannya dalam jurusan Undang-Undang sebelum menempa populariti.

Anggap sahaja jodoh dengan cita-cita lamanya itu sudah berkubur. Lantas, Intan meneruskan langkah yang sudah diatur ini.

Benar kata orang, tak kenal maka tak cinta. Sama seperti Intan, pada mulanya dia hanya terjun dalam bidang lakonan ini secara tidak sengaja setelah menyertai dunia peragaan.

“Semasa saya belajar dulu, saya melakukan peragaan secara sambilan. Selain itu, saya juga berjinak-jinak dalam bidang lakonan sekadar untuk menambah duit poket.

“Saya tak pernah terfikir pun akan berada di tahap seperti sekarang ini kerana sebelum ini saya bercita-cita untuk mempraktikkan apa yang saya belajar dulu.

“Tetapi setelah saya berhenti belajar, saya mula serius berlakon sehingga sekarang,” kata Intan kepada mStar Online dalam satu temubual di Menara Star, Petaling Jaya.

Sesibuk mana pun, kekasih pelakon Kamal Adli itu pandai mengendalikan masanya untuk melakukan sesuatu perkara itu. Misalnya, dia sempat menghadiri sesi bergambar pada petang itu walaupun dia perlu berkejar ke sesi bacaan skrip pada sebelah malamnya.

Di awal pembabitan Intan dalam industri lakonan ini, ramai yang lebih mengecam bakatnya menerusi filem Jangan Pandang Belakang.

Sejak dari itu, lakonannya mula mendapat perhatian penonton. Boleh dikatakan lebih ramai yang mengutuk daripada memuji.

Hanya mengambil masa beberapa tahun, graf peningkatan lakonan Intan semakin memberangsangkan dan digemari penonton.

Baginya, sudah menjadi kebiasaan jika pelakon baru dikutuk kerana tidak pandai berlakon.

“Saya rasa normal sahaja jika dikutuk dulu kerana saya tidak mempunyai asas dalam bidang lakonan. Walaupun sekarang orang sudah nampak peningkatan lakonan saya, tetapi saya tidak terlalu cepat selesa dengan tahap ini.

“Ada juga yang masih mengutuk lakonan saya menerusi filem Adnan Sempit. Insya-Allah, saya akan perbaiki tahap lakonan saya dari semasa ke semasa,” jelas Intan yang sedang menjalani penggambaran drama bersiri Adnan Sempit The Series sehingga pertengahan Mei ini.

Intan berpendapat siri yang sedang disiarkan di Astro Warna (saluran 132) sejak 9 April lalu itu lebih best dan menarik berbanding filem itu sendiri.

“Saya paling suka apabila drama itu memasuki episod ke-14 kerana permulaan cerita itu kebanyakannya lebih kurang sama seperti yang ditayangkan dalam filem seperti union party dan tempat kerja Adnan,” ujarnya lagi.

Dalam seronok bekerja, Intan bersyukur dan bertuah kerana berada di bawah naungan syarikat produksi MIG Production Sdn Bhd.

Dia akan melibatkan diri dalam dunia seni ini selagi diperlukan. Namun dalam masa yang sama, dia berkira-kira untuk membuka butik pakaian suatu masa nanti.

Artikel Sebelum

Artikel Lain