suria

Visi Cinta Baru Wan Sharmila

Wan Sharmila makin ligat mengisi hati tidak berpenghuni itu dengan pelbagai tawaran lakonan. - Foto oleh RAYMOND OOI
Wan Sharmila makin ligat mengisi hati tidak berpenghuni itu dengan pelbagai tawaran lakonan. - Foto oleh RAYMOND OOI
Wan Sharmila makin ligat mengisi hati tidak berpenghuni itu dengan pelbagai tawaran lakonan. - Foto oleh RAYMOND OOI

AKTRES genit ini pernah dirundung duka ekoran keruntuhan mahligai cintanya. Namun, dia tidak sekali-kali mempersoalkan ketentuan yang tersurat. Sebaliknya, Wan Sharmila Wan Mohamed atau lebih mesra disapa Wan lebih terbuka menelan kenyataan itu dan tidak pula gentar untuk bercinta lagi.

Kini, dia punya visi baru dalam mendefinasikan cinta yang lebih bererti, katanya. Bukan cinta lelaki yg didambakan tika ini, itu pengakuannya yang selesa bergerak solo, tapi cinta pada karier seni yang kian berkembang.

Bagai bertepatan dengan konsep yg dipadankan, memetik inspirasi diva antarabangsa Mariah Carey di era kemasyhuran lagu Vision of Love, Wan juga senang berkongsi visi cinta barunya itu bersama Mingguan mStar.

Buktinya, Wan makin ligat mengisi hati tidak berpenghuni itu dengan pelbagai tawaran lakonan.

Bukan sekadar sibuk berlakon, aktres dari selatan tanah air ini juga makin dihujani tawaran watak yang lebih variasi dan matang, seiring dengan visinya yang ingin 'bercinta' dengan pelbagai watak.

"Memang saya ingin bercinta. Malah, kini saya sedang mengenali cinta baru ini dengan lebih dekat dan mendalam.

"Cinta saya hari ini adalah kepada karier lakonan. Hari ini, saya telah mula menerima tawaran watak-watak yang berbeza dan lebih matang.

"Jika sebelum ini saya sinonim dengan watak-watak remaja dan ringan, tapi hari ini saya mula menerima watak-watak baru yang lebih mencabar dan matang.

"Semua tawaran baru ini hadir berkat daripada peluang membintangi drama Tari Tirana. Dalam drama itu, saya melakonkan watak yang lebih berat melibatkan emosi.

"Mungkin daripada situ, karyawan kita mula nampak kemampuan saya dan memberi peluang untuk menjayakan watak-watak yang lebih mencabar," katanya.

Bercerita lanjut, Wan berkata sejak awal pembabitannya dalam dunia lakonan, dia selalu berangan-angan untuk membintangi drama atau filem bermutu tinggi yang meninggalkan impak kepada penonton.

Dia mengakui alangkah bertuahnya jika disambar berlakon dalam karya berkualiti seperti sentuhan pengarah Kabir Bhatia dan Erma Fatima.

Katanya, penglibatan dalam karya bermutu adalah medium terbaik untuk orang baru sepertinya meningkatkan mutu lakonan dan meraih populariti.

"Saya selalu berangan berlakon dalam drama atau filem berbeza daripada aspek skrip dan jalan cerita kerana saya percaya jika membintangi karya istimewa seperti itu ia akan membantu meningkatkan mutu lakonan.

"Ramai pengarah hebat seperti Erma Fatima dan Kabir Bhatia yang menghasilkan baik drama mahupun filem berkualiti.

"Kalaulah saya dapat berlakon dalam karya arahan pengarah berkualiti ini tentu saya dapat belajar banyak perkara dalam aspek lakonan.

"Malah, sebagai bonus ia mungkin membantu melonjakkan reputasi saya ke tahap lebih tinggi sebagai pelakon," katanya yang mengidamkan watak yang boleh menyentuh perasaan penonton.

Pakaian EZUWAN ISMAIL (012-2646871) Solekan SHAMNINA OMAR (019-3686619) menggunakan mekap SHU UEMURA

Artikel Sebelum

Shila Menolak Cinta

Artikel Berikut

Artikel Lain