suria

Winnie K Menanti Cinta Di Musim Salju

foto oleh AZLINA ABDULLAH
foto oleh AZLINA ABDULLAH
foto oleh AZLINA ABDULLAH

DRAMA percintaan Winter Sonata yang mendapat sambutan hangat suatu ketika dulu berjaya menarik minat penonton seluruh dunia terhadap filem dan drama dari Korea Selatan.

Sungguhpun jalan cerita drama ini kebanyakannya berkisarkan kisah cinta, halangan dan rintangan dan berakhir dengan pasangan kekasih menemui kebahagiaan, namun penonton masih dapat menerimanya.

Bagi Winnie K, Winter Sonata merupakan drama bersiri yang sangat istimewa.

Pengalaman cinta Yu Jin, lakonan aktres popular Korea, Choi Ji Woo dalam filem itu boleh dikatakan sama hebatnya dengan apa yang pernah dialaminya.

Kalau Yu Jin pernah menghadapi pelbagai rintangan dalam percintaannya dengan Joon Sang (lakonan Bae Yong Jun), Winnie akui pernah menghadapi situasi sama. Namun setakat itu sahaja persamaan mereka. Ketika Yu Jin berpeluang mengatasi liku-liku dugaan dan bersatu dengan Joon Sang, Winnie pula masih berharap akan menemui teman hidup.

Terus terang Winnie akui masih menanti kemunculan lelaki idamannya selepas putus cinta dua setengah tahun lalu. Namun, dia tidak tergesa-gesa mencari pasangan hidup kerana percaya cinta yang utuh akan terbit jua baginya.

Lelaki ideal menurutnya, adalah seorang yang bertanggungjawab, bersemangat tinggi serta taat dan hormat ibu bapa.

“Saya perlu serasi dengannya sebelum dapat menerima kehadirannya. Saya bukan seorang yang dapat terima seseorang itu sebagai kekasih jika tidak mengenalinya,” akuinya.

Bercerita lanjut mengenai soal cinta, Winnie sedar ia wujud dalam pelbagai bentuk, tidak terbatas kepada seseorang individu sahaja kerana memang fitrah manusia untuk berkasih sayang antara satu sama lain, terutamanya di kalangan ahli keluarga.

“Kita perlu hargai setiap insan di sekeliling. Jika kita menyayangi teman hidup, kawan serta ahli keluarga, kita perlu memberitahu mereka, I love you serta membuktikan betapa kita menyayangi mereka.

“Jika tidak, mereka mungkin tidak tahu. Selain itu, luangkan lebih banyak masa sementara berpeluang berbuat demikian,” luahnya.

Mengenai perkembangan terbarunya, Winnie K baru melancarkan album mini bahasa Mandarin terbarunya, Close to Me, 22 April lalu.

Tiga album bahasa Mandarin yang dilancarkan sebelum itu ialah Lian Ain Kuai Le (Bercinta Dengan Gembira) (1999), Changing (2001) dan Sing (2003).

Dia yang menyanyi sejak zaman persekolahan ini turut mengeluarkan album Melayu Kau Ada Di Mana pada 2008 di Indonesia dan di Malaysia setahun kemudian.

Walaupun bergelar artis baru di seberang, lagu Kau Ada Di Mana menjadi lagu pilihan di Indonesia.

Bercerita tentang hubungannya dengan pemain badminton negara, Koo Kien Keat, Winnie akui mula mengenali atlet tampan itu ketika membuat persembahan semasa pertandingan badminton Terbuka Malaysia beberapa tahun lalu.

“Dia ialah sahabat baik saya dan kami saling memberi sokongan sesama sendiri. Jika saya mempunyai masa lapang, saya akan hadir menyaksikan perlawanan Piala Thomas yang membabitkan Kien Keat.

“Saya berlatih bermain piano pada waktu lapang. Saya juga pergi ke gimnasium memandangkan saya mendapat tajaan Celebrity Fitness,” katanya.

Winnie sedar fantasi cinta Winter Sonata mungkin berlaku pada dirinya. Dia setia menunggu dan yakin teman hidupnya akan muncul.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain