suria

Amber-Adrian Belayar Berdua-duaan Makan Angin Di Gold Coast

Adrian dan Amber meniti saat-saat manis di Gold Coast. - Foto Ihsan AMBER CHIA
Adrian dan Amber meniti saat-saat manis di Gold Coast. - Foto Ihsan AMBER CHIA
Adrian dan Amber meniti saat-saat manis di Gold Coast. - Foto Ihsan AMBER CHIA

JIKA berbulan madu di Gold Coast, Australia, aktiviti yang boleh dilakukan pasangan bercinta atau suami isteri sudah tentulah bermain luncur air atau berjemur di bawah sinar matahari.

Bagi pasangan romantis Amber Chia dan suaminya, Adrian Wong, mereka belayar berdua-duaan untuk makan angin di tempat peranginan yang terkenal dengan iklim subtropika itu.

"Hanya kami berdua di tengah laut. Kami menyewa sebuah bot untuk belayar makan angin selama setengah hari.. Alunan ombak serta panorama awan sangatlah menarik, sinar matahari panas, manakala suhunya sejuk.

"Ia sangat romantik. Saya sangat menyukai angin laut yang bertiup kencang," katanya kepada mStar Online baru-baru ini.

Amber memberitahu, suaminya mempelajari cara pengendalian bot sebelum memandunya ke laut.

Pengalaman menghabiskan masa romantis di tengah laut melakar memori indah buat Amber dan Adrian.

Perasaan sunyi ekoran terpinggir daripada aktiviti manusia di permukaan bumi serta tanpa kehadiran pihak lain langsung tidak wujud.

"Kita tidak bosan apabila dapat bersama yang tersayang. Ia sudah menjadi momen romantis walaupun kita tidak bercakap tetapi hanya memeluk dan berbaring bersama," ujarnya.

Ikutkan kehendak hati, Amber ingin menghabiskan masa yang lebih panjang di tengah laut. Bagaimanapun, dia akhirnya memutuskan untuk menghabiskan masa setengah hari atas faktor keselamatan.

Amber berkata kulitnya menjadi perang selepas berjemur di bawah matahari yang terik.

Pasangan itu menghabiskan masa 10 hari di Gold Coast untuk berbulan madu. Turut bersama mereka adalah beberapa kenalan rapat.

Mereka turut berkunjung ke taman laut serta bangunan Q1 (atau dikenali sebagai Queensland number One) yang mempunyai 78 tingkat. Q1 ialah bangunan tertinggi di Gold Coast.

Sekembalinya ke tanah air, Amber mendapati berat badan telah meningkat sebanyak dua setengah kilogram.

"Sekembalinya dari Gold Coast, saya terus periksa berat badan kerana saya tahu saya telah makan banyak di situ," akuinya sejujurnya.

Bagaimanapun, Amber menepis dakwaan bahawa kenaikan berat badan itu menandakan dia barangkali hamil.

"Saya belum menjalani pemeriksaan lagi. Jika terbukti saya mengandung, saya akan memanggil satu sidang akhbar," katanya sambil berjenaka.

Model itu berkata dia belum menunjukkan tanda-tanda dirinya hamil seperti loya.

Malah katanya, dia masih terlibat dalam permainan sukan air dan roller-coaster di Gold Coast yang masyur dengan binatang Koala.

Amber berkata, dia sudah bersedia untuk hamil. "Walaupun mengandung, saya masih berharap dapat bekerja sebagai model," katanya.

Artikel Lain