Fahrin tetap ceria seperti biasa. - Foto THE STAR Oleh AZLINA ABDULLAH KONTROVERSI cinta Fahrin Ahmad dengan Scha al-Yahya sudah lama berlalu pergi. Cerita saman-menyaman di antara Fahrin dengan bekas kekasihnya, Linda Onn juga sudah tidak kedengaran lagi.Apa yang tinggal kini hanyalah Fahrin dan status solonya. Biar ketandusan gosip dan kisah cinta, dia ketika ditemui di Menara The Star, Petaling Jaya tetap ceria seperti biasa. "Semuanya OK. Saya tak ingat lagi perkara lepas. Jadual saya pun sangat ketat sekarang ni. Kalau tak pergi shooting, saya akan buat aktiviti lain," jawabnya apabila ditanya tentang kehidupan baru tanpa kekasih dan status solonya.Mengakui sebelum ini dirinya tidak pernah lekang dari ungkapan cinta dan teman wanita, dia tidak sedikit pun berasa kekok dengan status yang jarang-jarang dipegangnya itu.Sebaliknya, ruang dan kesempatan ini dilihat sebagai peluang untuk dia melaksanakan perancangannya yang belum terlaksana."Sebelum ni memang saya rasa tak seronok kalau tak ada 'girlfriend, tapi selepas apa yang berlaku, saya rasa enjoy pula hidup solo."Nak kata sunyi, tak juga sebab saya sangat sibuk. Kalau tak ada shooting, saya buat aktiviti lain. Saya akan ke gym dan pergi menyelam," katanya.Menjadikan ungkapan my life start at 31 sebagai inspirasi dan semangat untuk dia meneruskan hidup sebagai anak seni, Fahrin kini mahu lebih fokus terhadap diri sendiri, karier dan peminat daripada memikirkan soal wanita."Sekarang saya mahu lebih sayangkan diri saya sendiri. Saya hanya fikirkan tentang karier dan peminat-peminat yang tak pernah jemu menyokong saya."Banyak masa saya dihabiskan dengan melayan peminat di fan page. Saya sangat terharu bila mereka sudi merancang untuk sambut hari jadi saya baru-baru ini. Peminat menjadi sebahagian daripada hidup saya sekarang," kata pemegang watak utama filem Puaka Tebing Biru ini.Ternyata pelakon berusia 31 tahun ini tidak mahu tergesa-gesa memikirkan soal cinta. Tatkala ditanya apakah dia sedang mencari-cari kekasih, dia dengan yakin menjawab 'tidak'."Tidak buat masa ini. Bagi saya masa untuk berehat dulu."Tapi, saya tak boleh menidakkan hakikat yang saya perlu juga mencari jodoh untuk masa depan," ucapnya tenang.Tentang hubungannya dengan Linda dan Scha, Fahrin memberitahu dia tidak pernah berhubung dengan kedua-dua mereka selepas berpisah. Namun, jika diminta untuk bekerjasama dalam satu produksi, dia akan bersikap profesional."Boleh, tak ada masalah! Saya percaya pada rezeki dan ketentuan Ilahi. Tak salah bekerjasama dan saya telah pun melakukannya sebelum ini," katanya yang pernah menjadi hos program Sehati Berdansa bersama Linda Onn tidak lama dulu.Fahrin kini sedang giat membuat persediaan untuk menyertai program larian amal Standard Chartered KL Marathon 2010.Rakan selebriti lain yang turut terlibat termasuklah Nash Idrus, Atilia Harun, Sazzy Falaq, Umie Aida, Thanuja dan ramai lagi.Pada pertengahan Jun ini, Fahrin akan menjalani penggambaran filem yang diadaptasi daripada sebuah novel. Filem arahan Osman Ali itu turut menampilkan pelakon Maya Karin.