Datuk Seri Dr Rais Yatim (dua, kiri) memberi tepukan kepada penyanyi baru, Alyah (kanan) yang muncul juara GAH1 sempena Malam Kemuncak GAH1 di Surf Beach Sunway Lagoon, malam tadi. Turut kelihatan ialah Ajai (kiri) yang merupakan pencipta lagu Tak Mungkin Kerana Sayang - Foto BERNAMAPETALING JAYA: Penyanyi berbakat besar, Alyah menjadi juara keseluruhan pada Malam Kemuncak Gah 1 musim ketujuh yang berlangsung di Surf Beach, Sunway Lagoon, malam tadi.Lagu Tak Mungkin Kerana Sayang (komposer: Ajai / penulis lirik: Habsah Hassan) dendangan juara pusingan ke-4 itu membolehkannya menjuarai Anugerah Lagu Terbaik Gah 1 dan Anugerah Persembahan Terbaik. Ini bermakna Alyah mengikuti jejak langkah juara terdahulu seperti Misha Omar menerusi lagu Pulangkan pada musim pertama, Jaclyn Victor (musim kedua), Yazer dan Hazama - Lagu Jiwa Lagu Cinta (musim ketiga), Adibah Noor - Terlalu Istimewa (musim keempat), Ramlah Ram - Ketentuan (musim kelima) dan Meet Uncle Hussain - Lagu Untukmu (musim keenam).Alyah membawa pulang hadiah berjumlah RM50,000 iaitu RM40,000 untuk Anugerah Lagu Terbaik dan RM10,000 (Persembahan Terbaik) yang disampaikan oleh Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Utama Dr Rais Yatim.Barisan juri yang menilai persembahan sekaligus memilih lagu terbaik adalah Johari Salleh, Datuk David Arumugam, Khairil Johari Johar, Adnan Abu Hassan dan Razlan.Alyah dalam sidang akhbar memberitahu, dia bersyukur atas kemenangan yang tidak dijangkakannya itu."Alyah tidak pernah jangka, tidak pernah jangka, tidak tahu nak cakap apa-apa..tak target apa-apa. Saya menyanyi lagu itu kerana ia merupakan lagu terakhir yang akan dipertandingkan. Jadi saya memberikan persembahan terbaik."Semasa menyanyi lagu itu, saya bayangkan saya dikenali dengan lagu ini. Bila lagu ini tak dipertandingkan lagi, jadi saya bayangkan macam mana saya boleh naik, dengan promosi dan tak ada duit, dengan susah payah sayalah.. itulah yang memberikan saya kekuatan," katanya kepada pemberita.Hampir 10,000 penonton membanjiri taman tema air terbesar negara itu bagi menyaksikan pertandingan berprestij anjuran Radio Televisyen Malaysia (RTM) tersebut.Acara karpet jingga turut diadakan bagi menambahkan kemeriahan majlis itu. Warna jingga dipilih bersesuaian dengan warna rasmi saluran penyiar utama iaitu saluran TV2.Sementara itu, Misha Omar merangkul anugerah Lagu Terbaik Tempat Kedua menerusi lagu, Cinta Adam dan Hawa (komposer: Azmeer / penulis lirik: Loloq).Misha yang tidak dapat hadir diwakili oleh Juara Bintang RTM edisi 2009, Nur Ernie Shahirah Zakri atau Ernie untuk membuat persembahan.Misha memperoleh hadiah sebanyak RM30,000 atas kemenangannya itu.Dalam pada itu, kumpulan 6ixth Sense mengulangi pencapaian musim lalu apabila sekali lagi menggondol anugerah Lagu Paling Popular Pilihan SMS.Kumpulan handalan itu meraih habuan bernilai RM20,000.Selain wang tunai, pemenang bagi setiap kategori turut menerima sijil penyertaan berserta trofi kemenangan.Sebanyak sembilan lagu tersenarai ke peringkat akhir. Ini termasuklah Cinta Adam Dan Hawa nyanyian Misha Omar, Tak Mungkin Kerana Sayang (Alyah), Rawan (Azharina), Bencinta (Faizal Tahir) dan Rindu Terhenti yang dipopularkan oleh Tomok.Lain-lain lagu termasuk Khatimah Cinta (6ixth Sense), Pakai Buang (Stacy), Cinta Gila (Grey Sky Morning) dan Menggegar Dunia nyanyian duet Adam dan Stacy.Lagu-lagu yang dipertandingkan merupakan ciptaan komposer-komposer terkenal tanah air iaitu Ajai, Habsah Hassan, Loloq, Hazami Aubrey Suwito dan Asmin Mudin.