suria

Anwardi Jamil Terbitkan Drama 'Detik 12 Malam’

Antara babak yang terdapat dalam Detik 12 Malam. - Foto oleh ManjaFilms Sdn Bhd
Antara babak yang terdapat dalam Detik 12 Malam. - Foto oleh ManjaFilms Sdn Bhd
Antara babak yang terdapat dalam Detik 12 Malam. - Foto oleh ManjaFilms Sdn Bhd

BAGI penggemar drama bersiri Bilik No 13 pastinya merindui drama yang penuh misteri, suspens dan seram itu. Namun, kerinduan itu akan dapat diubati apabila drama bersiri berkonsep serupa berjudul Detik 12 Malam muncul.

Penerbit dan pengarah Anwardi Jamil yakin drama terbarunya itu bakal menjadi pengubat rindu kepada penonton Bilik No 13 yang telah tiga kali diulang siar di RTM.

Drama itu juga pernah mencecah 1 juta penonton setiap minggu semasa kali pertama ditayangkan pada dua tahun lalu.

“Di sebabkan drama bersiri Bilik No 13 mendapat sambutan yang menggalakkan suatu ketika dulu, saya kembali terpanggil untuk menerbitkan drama bersiri Detik 12 Malam. Drama ini boleh menghilangkan rindu kepada penonton Bilik No 13.

“Konsep ceritanya lebih kurang sama seperti siri popular itu dan The Twilight Zone. Istimewanya, drama ini tidak memenatkan penonton. Setiap minggu ceritanya berbeza-beza tetapi ada pertalian antara satu sama lain.

“Ceritanya mengisarkan tentang Anis, penulis skrip yang suka mencari cerita-cerita aneh. Dari situ, dia terserempak dan berbual dengan seorang pak cik” katanya kepada mStar Online.

Dengan mempertaruhkan pelakon lama dan baru, Anwardi turut menyerapkan konsep 1 Malaysia menerusi barisan pelakonnya termasuk pelakon Cina dan India.

“Watak Anis dilakonkan oleh pelakon baru iaitu Eva Evanina berusia 21 tahun. Ini merupakan drama pertama lakonannya tetapi sebelum ini dia pernah berlakon dalam sebuah filem pendek. Saya mencungkil bakatnya setelah menonton filem pendek itu di Internet.

“Sebelum ini dia pernah bekerja sebagai penyunting video di sebuah syarikat produksi. Tetapi dia juga meminati bidang lakonan. Selain bakat dan lakonan yang sangat matang, tidak dinafikan wajahnya kacukan Melayu-Siam-Cina menjadi tarikan dan bonus untuk terpilih sebagai pelakon utama drama itu.

“Dia digandingkan dengan Ridzuan Hashim yang melakonkan watak pak cik yang penuh misteri dalam drama itu,” katanya lagi.

Pelakon lain adalah Anne Abdullah, Dila Ahmad, Beto Khushairi, Aziz M Osman, Lufya Omar dan Min Jian.

Menariknya mengenai drama itu, Anwardi menghasilkan genre seram dan misteri dari sudut yang berbeza.

“Saya tak buat cerita hantu berambut panjang dan berkuku panjang tetapi seram dan suspensnya wujud dari jalan cerita dan suasana,” ujarnya.

Drama terbitan ManjaFilms Sdn Bhd itu sedang menjalani proses adunan suara dan berkemungkinan akan disiarkan selepas Hari Raya Puasa tahun ini.

Selain Anwardi, drama yang memakan masa empat bulan tersebut turut diarahkan oleh anaknya, Aidil Abadi, Ken Yap, Alfard Lai dan Top Ali manakala skripnya ditulis oleh Anwardi, Aidil dan Ken.

Dalam perkembangan lain, anak kepada pasangan sutradara terkenal Datin Rosnani Jamil dan Datuk Jamil Sulong itu sedang dalam proses pra-produksi sebuah drama 8 episod untuk Astro berjudul 1870 Setahil Timah Segumpal Darah yang akan menjalani penggambaran pada Julai ini. Ceritanya menyentuh tentang perang Selangor pada tahun 1870.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain