BAKAT menggubah lagu pelbagai genre dari irama pop rock, balada, pop nasyid, pop dance begitu sebati dalam diri komposer Edry Abdul Halim (gambar).Seawal tahun 1992, Edry, 34, mencipta lagu Untukmu nyanyian kumpulan Feminin bersama-sama abangnya, Norman Abdul Halim yang pernah menjadi lagu popular suatu ketika dahulu. Seterusnya, Edry mula menunjukkan bakat menggubah lagu secara individu menerusi lagu Hi Hi Bye Bye nyanyian Ezlynn pada tahun 2002.Bermula dari situ, Edry mula memahami jenis lagu yang menepati citarasa pendengar. Demi memperkenalkan sesuatu yang baru dan segar, dia sentiasa membuat eksperimen dan sanggup berhadapan dengan cabaran yang mendatang.Lebih 500 buah lagu diterbitkan oleh Edry. Kebanyakan lagu-lagu ciptaannya pasti popular di corong-corong radio. Antaranya Seksis, Ular, Intifada’, Pergi Tak Kembali, Jika Kau Ubah Fikiran, Pakai Buang, Menggegar Dunia, Asmaradana, Sujud, Kebahagiaan Dalam Perpisahan dan Ku Ada Kamu.“Alhamdulillah, dengan rezeki saya sekarang sekarang. Saya tidak begitu suka mengikut trend dalam menggubah lagu. Ada percubaan yang menepati citarasa pendengar dan adakalanya tidak. Mungkin mereka belum dapat menerima sepenuhnya lagu baru.“Tetapi kebanyakan penyanyi sentiasa mahukan sesuatu yang baru. Jadi saya kena fikir di luar dari kotak fikiran tapi nak buat pembaharuan ini susah,” kata Edry kepada mStar Online.Edry berkata, dia membahagikan lagu-lagu gubahannya kepada dua jenis iaitu lagu eksperimen dan lagu komersial.Misalnya, lagu eksperimen yang dihasilkan termasuklah lagu-lagu untuk kumpulan Rabbani seperti Intifada’ dan Pergi Tak Kembali yang berlainan daripada konsep lagu nasyid sebelum ini manakala lagu komersial pula merupakan lagu yang menjadi kesukaan ramai.“Nak buat lagu ni seperti menjadi tukang masak. Saya kena tahu selera orang. Apabila sudah tahu, saya akan mencipta lagu kesukaan mereka secara berulang-ulang. Ada juga yang berjaya dan sebaliknya.“Ada juga lagu yang saya buat tidak diterima oleh pendengar ketika itu tetapi sekarang berlainan pula. Misalnya, lagu Tyco nyanyian KRU yang tidak dihargai ketika tahun 2000 kerana terlalu advance tetapi apabila didengar sekarang, ada peminat yang menyamakan lagu itu seperti lagu kumpulan Black Eyed Peas.“Mungkin kita tidak boleh terlalu cepat ke hadapan,” ulasnya.Namun, sebelum menggubah lagu yang diminta oleh mana-mana penyanyi, Edry akan bertanya terlebih dahulu sama ada mereka mementingkan kredibiliti atau komersial sesebuah lagu itu.“Kebanyakan penyanyi hanya pentingkan lagu yang popular tetapi tak nak fikirkan risikonya. Jadi, sebab itu mereka lebih gemar memilih lagu komersial berbanding lagu yang berkredibiliti.“Lagu komersial lebih berkonsep muzik pop rock manakala lagu kredibiliti bersifat eksperimentasi dan melodi yang indah.“Misalnya, kita boleh katakan lagu Asmaradana dan Ku Bukan Aku sebagai lagu kredibiliti hasil eksperimental berbanding lagu Seksis dan Jika Kau Ubah Fikiran yang lebih bersifat komersial,” jelasnya.Tambah bapa kepada empat orang anak ini, dia perlu menghargai identiti setiap penyanyi dan tidak boleh menentukan genre mereka sesuka hatinya.