KUALA LUMPUR: Selepas membuat pengumuman untuk berpisah dengan suaminya Kamal Roslim, penyanyi Ramlah Ram akan muncul dengan sebuah konsert sempena 25 tahun penglibatannya dalam bidang seni.Konsert yang diberi nama Malam Gala 25 Tahun Ramlah Ram itu akan diadakan pada 9 Oktober akan datang di Hotel Impiana, Kuala Lumpur anjuran Kumpulan Penyokong Ramlah Ram (RRG). Ia dijangka berlangsung selama tiga jam bermula 8.30 malam. Presiden kelab itu, Suzaimi Soaib berkata, malam gala tersebut bertujuan untuk menghargai jasa dan pengorbanan Ramlah selepas 25 tahun penglibatannya dalam bidang seni.Dalam konsert itu Ramlah akan menyanyikan kira-kira 25 buah lagu yang dipilih bermula selepas dia diumumkan sebagai Juara Bintang RTM pada 18 Februari 1985. Katanya konsert itu bertemakan persembahan makan malam dengan diiringi pemuzik iringan."Pengacaranya ialah Fauziah Ahmad Daud yang akan turut membuat persembahan. Artis-artis lain yang terlibat belum diketahui lagi kerana ia masih dalam perbincangan," katanya ketika mengumumkan konsert tersebut di Restoran Rebung, Bangsar, di sini semalam.Suzaimi memberitahu, malam gala itu menawarkan 26 meja untuk korporat serta individu dengan 260 tempat duduk.Katanya, meja korporat dijual dari RM5,000 sehingga RM7,000 sebuah sementara untuk individu dijual dari RM200 hingga RM300 bagi setiap kerusi. Tambahnya, kos bagi menganjurkan malam gala itu dianggarkan berjumlah RM100,000.Sementara itu, Ramlah menjanjikan persembahan terbaik kepada para peminatnya dengan memastikan susunan muzik adalah berbeza bagi setiap lagu-lagu yang dinyanyikan.Dalam sidang media itu, Ramlah turut melancarkan laman rasmi http://www.ramlahram.com mengenai malam gala tersebut.Semalam dalam sidang media yang sama Ramlah membuat kejutan apabila memaklumkan rumah tangganya yang dibina sejak tahun 2000 dengan Penerbit Sukan di RTM, Kamal Roslim sudah tidak lagi bahagia dan mengesahkan untuk bercerai.Hasil perkahwinan mereka selama sepuluh tahun tidak dikurniakan cahaya mata.Krisis keretakan rumah tangga Ramlah dan Kamal telah kedengaran sejak sekian lama tetapi Ramlah cuba menafikan khabar angin tersebut.Bekas juara Bintang RTM tahun 1985 itu juga berjanji akan memaklumkan statusnya dengan Kamal apabila kes berkenaan dibawa ke mahkamah syariah nanti.