suria

Lisa Tidak Bimbang Orang Jemu

Dari kiri Julia Ziegler, Lisa Surihani, Chermaine Poo dan Linda Hashim. Foto The Star Oleh UU BAN
Dari kiri Julia Ziegler, Lisa Surihani, Chermaine Poo dan Linda Hashim. Foto The Star Oleh UU BAN
Dari kiri Julia Ziegler, Lisa Surihani, Chermaine Poo dan Linda Hashim. Foto The Star Oleh UU BAN

KEMUNCULANNYA di layar perak dan drama tempatan membuatkan nama pelakon baru Lisa Surihani kini semakin setanding dengan bintang ternama, Erra Fazira.

Biarpun belum pernah memenangi sebarang anugerah, Lisa bersyukur dengan rezeki yang tidak putus-putus dan kepercayaan pengarah terhadapnya.

Namun begitu disebalik reaksi positif peminat yang gemar melihatnya beraksi di layar perak dan kaca televisyen, ada juga yang sudah mula berasa bosan.

Lisa yang ditemui pada sidang media perlancaran drama berjudul Tudung Ekspres kelmrin memberitahu perkara tersebut adalah diluar kawalan dan menganggap tahun ini merupakan rezeki yang diberi kepadanya.

"Saya serahkan kepada peminat sendiri perkara itu, sebab saya tidak boleh mengawalnya sekiranya mereka berasa bosan. Saya berpegang kuat pada rezeki Tuhan.

"Namun begitu setiap tawaran yang saya dapat kebiasaanya saya berbincang dulu dengan keluarga. Saya tidak ambil banyak tawaran dalam satu masa kerana tidak mahu terkejar-kejar.

"Mungkin kerana tarikh ditayangkan hampir sama setiap filem dan drama membuatkan orang sering melihat saya," jelasnya.

Dalam pada itu, Lisa yang memegang watak Erin dalam drama tersebut mengakui tidak berasa janggal mengenakan tudung sepanjang sesi penggambaran.

"Saya selesa mengenakan tudung, sebelum ini juga saya pernah berlakon watak bertudung malah tidak berasa kekok untuk mengenakan tudung di majlis-majlis agama.

"Lagi pula masyarakat kini lebih mudah menerima cerita-cerita seperti ini. Tapi untuk mengenakan terus, saya masih belum bersedia lagi. Mungkin satu hari nanti bila sudah sampai serunya saya akan bertudung.

Menceritakan watak dalam drama tersebut, Lisa memberitahu wataknya menjadi seorang wanita muslimah yang datang dari kampung demi mengejar cita-cita. Namun kerana sifat yang kelam kabut dia sering ditimpa masalah.

"Tidak susah untuk bawa watak ini sebab saya juga sedikit sebanyak begitu tapi cabaran utama ketika penggambaran adalah di stesen komuter.

"Kami terpaksa berlari keluar masuk dalam komuter semasa ia sedang berhenti seketika untuk mengambil penumpang," jelasnya ketika menceritakan pengalaman sepanjang penggambaran.

Drama bersiri 13 episod ini berkisarkan kehidupan empat orang wanita bertudung yang memiliki watak dan kisah tersendiri.

Drama yang turut dibintangi oleh Julia Ziegler, Linda Hashim dan Chermaine Poo ini bakal ditayangkan pada setiap hari Khamis, pukul 9.30 malam bermula 8 Julai ini menerusi Astro Prima.

Artikel Berikut

Artikel Lain